Nik Nasri Malek
8 Mac ialah Hari Wanita Sedunia. Tema pada tahun ini ialah: ‘Equal access to education, training and science and technology: Pathway to decent work for women’ (Peluang sama rata mendapatkan pendidikan, latihan, sains dan teknologi: Jalan meraih kerjaya yang baik kepada wanita). Temanya hanyalah sebahagian dari keseluruhan aktiviti hidup seorang wanita.
Dalam sejarah kemanusiaan, Adam sebagai manusia pertama di dunia didampingkan dengan Hawa. Zuriat berkembang. Lelaki dan wanita punya hak dan tanggungjawab yang ditetapkan Allah menurut fitrah kejadian mereka. Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW, wanita hanya menjadi alat memuaskan nafsu. Kalau berkahwin, lelaki boleh berkahwin seramai mungkin. Hak dan tanggungjawab diabaikan. Kalau tidak sayang, boleh dibiarkan tanpa bertali. Mahu mencari kemuliaan, anak perempuan ditanam hidup-hidup.
Ringkasnya, kehidupan di zaman jahiliah menjadikan wanita seperti hamba sahaja. Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW. Berlakulah perubahan dalam struktur masyarakat Arab. Antaranya aspek sosial berkaitan lelaki dan wanita, rumahtangga dan kekeluargaan. Lahir dalam Islam ini hukum-hakam yang begitu banyak berkaitan rumahtangga dan kekeluargaan seperti talaq, lian, ila, zihar, nafkah dan lain-lain. Kesemua hukum ini bermaksud menyusun dan membentuk sistem kekeluargaan dengan memberikan keadilan kepada suami dan isteri, lelaki dan wanita. Hak dan tanggungjawab dipertegaskan dalam kesemua hukum ini. Taqwa sentiasa disebut di dalam al-Quran mengiringi hukum talaq dan lain-lain, agar tindakan yang dibuat didasarkan kepada akal waras dan nilai pahala dosa, bukan emosi semata-mata yang kemudiannya menzalimi wanita.
Alangkah cantiknya hukum Islam ini yang telah mengeluarkan wanita dari lembah kehinaan, alat dan objek seks semata-mata dan menjadi bahan pemerdagangan manusia tidak bertamadun.
Selepas lebih 1,500 tahun, jahiliah moden meliputi kembali. Wanita bersedia menjadikan dirinya baha pemuas nafsu. Yang diiklankan kereta model baharu tetapi wanita berkain nipis dan jarang yang ditonjolkan. Pertandingan lumba kereta tetapi wanita tak cukup kain yang memegang payung. Filem seram tetapi aksi mandi basah yang kamera fokuskan. Berumahtangga tetapi isteri dijadikan sasaran dera dan melepas geram. Maruah wanita lebih murah dari barangan di pasar malam. Wanita membiarkan diri, tubuh dan maruah dieksploit oleh mereka yang tiada taqwa. Salah siapa?
Islam tidak menunggu Hari Wanita untuk berbicara tentang wanita. Al-Quran dan hadis membicarakan wanita sepanjang masa. Surah an-Nisa’, an-Nur, at-Talaq dan lain-lain menggambarkan keprihatinan Islam terhadap martabat wanita. Perjuangan PAS menegakkan Islam dalam bentuknya yang syumul termasuklah keinginan memartabatkan wanita dengan ertikata sebenar, bukan dalam bidang pendidikan, kerjaya, sains dan teknologi sahaja.
Nik Nasri Malek,
Ketua Lajnah Ulama Pelapis,
Dewan Ulama PAS Terengganu.
No comments:
Post a Comment