Wednesday, March 09, 2011

Ini zaman suara raya rakyat

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mengajak semua ahli Dewan Rakyat supaya mengambil pedoman dari kebangkitan suara raya rakyat yang berlaku di seluruh dunia Islam.

Ini, katanya kerana dunia pada hari ini sudah berubah di mana zaman penguasa memberi amaran kepada rakyat supaya mengikut telunjuknya sudah berakhir.

Katanya, zaman kerajaan menjadi penguasa sudah berakhir dalam dunia Islam.

Ini zaman suara raya rakyat. Kita perlu hadam bahawa dalam arus ini, rakyat yang memberi amaran kepada penguasa, bukannya penguasa menakut-nakutkan rakyat dengan ugutan dipenjara, dihadapkan ke mahkamah atau digantung dari Parlimen,” ujarnya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat petang semalam.

Justeru itu, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua badan yang bertanggungjawab perlu mengambil pedoman dari kebangkitan rakyat di Timur Tengah.

Tambahnya, jangan sampai pilihanraya umum hanya memuncakkan kemarahan rakyat dan kerajaan yang dipilih di saluran peti undi ditumbangkan oleh rakyat tidak sampai dua bulan selepas pilihan raya, kerana kerajaan yang dipilih dengan cara manipulasi undi adalah kerajaan yang tidak sah di mata rakyat.

Beliau menambah, dalam masa tiga tahun Parlimen Kedua Belas berlangsung, dengan kehadiran wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat satu persatu tindakan Barisan Nasional yang membelakangkan rakyat dihentikan.

Katanya, bermula dengan desakan supaya pengenalan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ditangguhkan sehinggalah beberapa syarat yang membela rakyat dicapai dahulu, sehinggalah pemansuhan judi bola yang cuba dilaksanakan secara senyap-senyap oleh Barisan Nasional.

Menurutnya, kematangan rakyat Malaysia yang dizahirkan di peti undi pilihanraya tiga tahun lalu membuka lembaran baru dalam sejarah negara kita.

“Dewan Rakyat pada hari ini adalah dewan yang diperkasakan dengan suara rakyat. Kehadiran wakil-wakil dari Pakatan Rakyat memberi makna kepada fungsi dan perjalanan Dewan Rakyat, bukannya dewan kosong yang jarang dikunjungi wakil-wakil Barisan Nasional sebelumnya,” ujarnya.

Pun begitu, katanya Barisan Nasional tetap mengintai ruang untuk menggunakan Dewan Rakyat pada hari ini bagi menutup suara rakyat.

Menurutnya, apabila wakil-wakil rakyat mempersoalkan kewajaran membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membayar syarikat asing yang ada kaitan dengan perisikan Yahudi bagi menjalankan kempen-kempen kerajaan, Ketua Pembangkang dan tiga wakil rakyat digantung.

“Dalam suasana itu, kita kembali bersidang dengan hikmah yang jelas untuk dihayati. Suara rakyat yang dilambangkan oleh 8 Mac akan terus berkumandang di Dewan Rakyat tidak kira apa helah yang akan digunakan Barisan Nasional selepas ini,” ujarnya.

Beliau menambah, tempoh dua bulan sejak dewan ditangguhkan akhir tahun lalu menyaksikan perubahan mendadak dunia.

Katanya, penggal ketiga ditangguhkan dalam suasana dunia Islam di Timur Tengah masih di bawah telunjuk diktator-diktator yang telah berkuasa berdekad-dekad lamanya.

“Sewaktu dewan ditangguhkan dulu, tidak ada seorang pun yang berada di dalam dan di luar dewan ini, hatta mereka yang sering melawat ibu kota-ibu kota Timur Tengah pun akhir-akhir ini, yang dapat menduga bahawa diktator-diktator ini boleh ditumpaskan oleh rakyat mereka dalam masa sesingkat dua bulan,” katanya.

Beliau berkata, Hosni Mobarak ada segala-galanya di mana seluruh sistem negara dan kerajaan berada dalam genggamannya, semua bentuk tentangan yang boleh mencabarnya telah dicantas dan aktivis politik yang tidak disukainya dipenjarakan sewenang-wenangnya.

Tambahnya, corong-corong televisyen secara berterusan menyiarkan saban hari imej-imej seorang diktator yang harus ditakuti dan diikuti rakyatnya.

Mesir, katanya diperintah dibawah undang-undang darurat sejak tahun 1967 di mana dalam pilihanraya parlimen 2010 yang berlangsung serentak dengan sidang dewan ini Disember lalu, partinya menang 95% dari semua kerusi parlimen yang dipertandingkan.

“Makanya, tidak ada sesiapa pun yang boleh menyangka sebulan selepas itu Hosni Mobarak hilang tampuk pemerintahan dan dalam sekelip mata, Mesir yang ada hari ini adalah Mesir yang cukup berbeza,” katanya.

Beliau menambah, Hosni Mobarak, isterinya dan keluarga terus menghilangkan diri seperti mana Ben Ali dan isterinya dan keluarga; pada waktu rakyat Mesir bangkit menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban.

Katanya, diktator-diktator yang sekian lama berkuasa ini tenggelam dalam sekelip mata di tengah-tengah gelombang suara rakyat yang tidak boleh dihentikan oleh sesiapa pun.

“Apakah Hosni Mobarak tidak menguasai setiap aparatus kerajaan, tentera dan polis? Apakah pengendalian pilihanraya tidak dipesongkan supaya partinya menang besar dalam pilihanraya terbaru?

“Apakah Hosni Mobarak membenarkan sekelumit ruang pun bagi media melaporkan secara adil dan terbuka?” soalnya.

Namun, ujarnya apabila suara rakyat sudah menjadi suararaya, semuanya akan tenggelam.

Katanya, keputusan pilihan raya yang diadu-domba akan hanyut bersama-sama pimpinan bobrok yang tidak pernah serik mencari manipulasi untuk menghalalkan penipuan di peti undi.

“Sebab itu, penggal Dewan Rakyat kali ini perlu memandang serius perkembangan tidak sihat bersabit manipulasi pilihanraya dan ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang semakin dipersoalkan.

"Selepas tsunami 8 Mac, kegilaan untuk memanipulasi perjalanan pilihanraya demi menjamin kemenangan Barisan Nasional semakin menjadi-jadi,” katanya.

No comments: