Tuesday, June 28, 2011

Bersih 2.0: Jangan sampai rakyat benci polis

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) mengingatkan polis bahawa tindakan mereka kebelakangan ini yang menangkap orang yang memakai baju Bersih 2.0 sewenang-wenangnya akan menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat, yang asalkan tertumpu pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertukar kepada pihak polis.

“Tindakan polis kebelakangan ini akan menyebabkan rakyat yang asalnya tidak berpuas hati dengan SPR bertukar kepada polis,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau turut mengecam tangkapan polis terhadap aktivitis yang memakai atau menjual baju Bersih 2.0 sebagai satu yang amat bertentangan dengan hak asasi manusia dan nilai undang-undang.

“Tindakan menangkap mereka yang memakai baju Bersih atau menjual baju Bersih adalah nyata bertentangan dengan peraturan dan undang-undang.

 “Atas alasan apa mereka ditangkap dan peruntukan mana yang digunakan (untuk menangkap mereka)?” soal beliau.

Kebelakangan ini, Bersih 2.0 bukan saja tidak diberi ruang bernafas oleh para pemimpin Umno BN yang tidak berhenti-henti mengecam perhimpunan pada 9 Julai ini.

Malah, katanya pihak polis sudah turut serta untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0 daripada berlaku dengan melancarkan gerakan di seluruh negara bagi menghalang badan pemantau pilihanraya itu daripada mempromosi perhimpunannya.

Sehingga kini, 81 orang telah ditahan polis dan jumlahnya dijangka meningkat ketika Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) memperhebatkan lagi kempennya dalam tempoh dua minggu sebelum perhimpunan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan polis bahawa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bukan perhimpunan untuk menentang polis, tetapi untuk membaiki sistem pilihan raya.

Polis, kata beliau seharusnya melaksanakan tugas dengan adil dan saksama kepada semua rakyat…

Ulasan: Tugas dan  tanggungjawab asas polis ialah untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara dalam membanteras jenayah danjuga menjaga keselamatan rakyat. Dan mempertahankan pilihanraya yang bersih dan adil. Bukan mempertahankan pilihanraya yang tidak bersih dan tidak adil.

No comments: