Friday, June 24, 2011

Singapura ceroboh ruang udara provokasi bahaya

Kunta Kinte original: Ceroboh ruang udara provokasi bahaya

2011/06/24 MINGGU ini Kunta Kinte nak cakap sikit lagi pasal pertahanan. Kita dah cakap hal ini, tapi Kunta Kinte nak cakap balik sekali lagi. 

Ada orang kata pertahanan ni membazir. Jadi banyaklah yang tak suka bila kita beli kelengkapan pertahanan. Kunta Kinte pun tak suka kalau kita cara boros dan seleweng dengan bagi komisen besar-besar kepada kroni dan member. 

Tapi, kalau dibeli dengan berhemah, diselenggara dan diguna dengan cekap, Kunta Kinte tak ada masalah. Masalahnya, kita kerap dengar kelengkapan dibeli tak boleh pakai, tak dijaga atau hilang macam itu saja. 
 
Kita dah dengar pasal kapal tentera laut terbakar, senjata kena curi oleh pelampau agama dan enjin kapal terbang kena kebas. Malu satu hal. Satu dunia tahu standard pertahanan kita satu hal lagi. 

Jadi Kunta Kinte harap Menteri Pertahanan janganlah setakat hebat pakai uniform tentera dan ke hulu ke hilir diiring oleh pengiring bermotosikal Polis Tentera saja. Ingatlah anda dipilih oleh rakyat jelata dan anda bertanggungjawab kepada kami semua. Lebih-lebih lagilah jeneral-jeneral kita yang segak-segak itu. 

Kalau enjin jet dalam stor pun kena curi, macam mana kita nak percaya keselamatan negara kita terkawal dan terjamin? 

Tup, tup baru-baru ni kita dengar pula pasal beribu-ribu pencerobohan oleh kapal terbang Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) ke atas ruang udara kita. 
Takkanlah ini cerita bohong pasal bukan dibuat di kedai kopi atau di tepi jalan, tapi di Parlimen. Bukan alang kepalang punya cerita. Macam pakat-pakat pula. Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, tanya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, jawab. 

Bukan main-main punya jawab – sejak 2008, pesawat RSAF ceroboh masuk ruang udara kita 2,508 kali. Adoi mak, kalau niat mereka jahat, dah ‘kaboom’ kita. Jahat atau tidak, ceroboh ruang udara orang lain tetap salah. Kita wajib ambil tindakan. 

Tak apalah kalau Singapura nafi. Itu kerja dia. Dia wajib nafi. Kalau dia tak nafi, sahlah dia buat kerja provokasi itu. Macam mana pun Singapura nafi, kita susah nak percaya. Lagi-lagilah kalau kita tahu kekuatan, ideologi dan doktrin pertahanan Singapura. 

Mula-mula sekali, Singapura adalah antara negara di dunia yang belanja nisbah paling tinggi daripada belanjawan negara ke atas pertahanan. Kedua, persenjataannya adalah antara yang paling canggih di dunia. Ketiga, dan paling penting, adalah doktrin pertahanannya. 

Doktrin pertahanan Singapura sama dengan doktrin pertahanan Israel. Israel anggap semua negara jirannya sebagai berpotensi jadi musuh. Israel percaya kepada ‘pre-emptive strike’ – serang dulu sebelum diserang. 

Akhir sekali, jangan berperang dalam wilayah sendiri, tapi berperang dalam wilayah musuh. Sebab itu kita tengok Israel tawan banyak wilayah Arab dan pegang sampai hari ini macam Tebing Barat dan Golan Heights. 

Jadi, biarlah macam mana pun Singapura nafi, Kunta Kinte tetap tak percaya. Cuma Kunta Kinte nak tanya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri kita, mereka buat apa bila kapal terbang RSAF cabul dan ceroboh ruang udara kita? 

Takkan setakat tiga, empat tahun sekali bagi tahu Parlimen kot? Itu pun pasal ada Ahli Parlimen tanya. 

Kunta Kinte tak pula baca dalam surat khabar Menteri Pertahanan atau Menteri Luar bantah kepada Singapura. Kalau terlepas pandang, Kunta Kinte minta ampun. 

Yang kita baca, pemimpin kita asyik puji Singapura, pujuk pelaburan Singapura dan main golf dengan pemimpin Singapura. 

Tup, tup masa kita asyik nak berbaik-baik dengan Singapura, tentera udara dia jadikan pelanggaran ruang udara kita sebagai latihan. 

Minta izinlah, Kunta Kinte nak tanya apa guna kita ada radar mahal-mahal, pesawat pejuang canggih dan juruterbang handal-handal, kalau pesawat perang Singapura keluar masuk ruang udara kita beratus kali sebulan? 

Bukanlah Kunta Kinte nak suruh kita perang dengan sesiapa. Barang dijauhkan Allah. Tapi, takkan sekali pun kita tak ‘scramble’ pesawat Sukhoi Su-30, F-18 Hornet atau MIG-29 Fulcrum pi tengok apa budak-budak Singapura tu dok buat masuk ruang udara kita? 

Takkan pesawat TUDM kita yang lebih laju daripada bunyi itu sesuai untuk pertunjukan udara saja kot? Takkan bila pesawat perang asing masuk ruang udara kita secara haram, kita tak boleh hantar pesawat pejuang kita pergi tengok apa mereka dok buat? 

Maaf cakaplah, kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte sangat kecewa dan bimbang dengan sikap sambil lewa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar tangani pencerobohan oleh pesawat perang RSAF ini. 

Betullah Singapura tahu banyak rahsia pertahanan dan lokasi strategik kita. Apa nak buat, mereka ada pesawat amaran awal dan kawalan (AWAC) yang boleh intip berbatu-batu dari udara dan ambil gambar lokasi tentera dan strategik kita. 

Tapi, takkanlah bila mereka ceroboh ruang udara kita, kita nak duduk bersenang diri juga dan tunggu Ahli Parlimen tanya baru nak bagi tau? 

Yang Kunta Kinte takut, walhasil balik asal, itu pasal tak hasil. Cakap tak serupa bikin. Wallahualam.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KuntaKinteoriginal_Cerobohruangudaraprovokasibahaya/Article

Ulasan:Bersetuju dengan Kunta Kinte. Huhuhu...

No comments: