Tuesday, June 28, 2011

Perhimpunan Bersih tetap diteruskan

Perhimpunan Bersih tetap diteruskan - Ambiga

KUALA LUMPUR 27 Jun - Perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2 tetap akan diadakan pada 9 Julai ini walaupun Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Ambiga berkata, Bersih tidak akan menukar pendiriannya untuk menganjurkan perhimpunan haram itu di sini meskipun dihalang pihak berkuasa dan pihak lain.

Menurutnya yang juga bekas Presiden Majlis Peguam, beliau tidak terkejut dengan laporan polis yang mencecah lebih 1,500 daripada pelbagai pihak yang mahukan polis menghalang Bersih.

"Perhimpunan Bersih akan diteruskan juga kerana kami tahu polis tidak akan mengeluarkan permit kerana ia hanya demonstrasi aman untuk menuntut demokrasi.

"Kehadiran dua kumpulan lain iaitu Pemuda UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mengugat hasrat kami itu dan mereka boleh bersama kami jika mahu," katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan kepada polis di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Ambiga dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dipanggil polis untuk direkod keterangan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana cuba mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Mengulas mengenai penahanan 31 penyokong Bersih di Pulau Pinang yang cuba menghidupkan semula fahaman komunis bagi menjatuhkan kerajaan kelmarin, Ambiga mengecam tindakan polis itu.

Menurutnya, Seksyen 122 Kanun Keseksaan telah lama diguna pakai dan tidak relevan untuk digunakan ketika ini.

"Kerajaan tidak sepatutnya mengambil tindakan terhadap 31 orang itu kerana kisah komunis adalah cerita lama dan tidak difikirkan lagi ketika ini.

"Mereka adalah rakyat negara ini dan berhak bertindak demikian. Bersih juga tidak akan menghalang mereka hadir pada perhimpunan itu," jelasnya.

Sementara itu, A. Samad Said memberitahu, beliau enggan berfikir mengenai orang Melayu sahaja ketika ini kerana perlu berjuang menuntut demokrasi untuk semua.

"Kita perlu fikir tentang kaum lain juga iaitu Cina dan India kerana mereka juga rakyat negara ini," kata pejuang Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang pengenalan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah.

Ulasan: Nampaklah keikhlasan anak 1Malaysia untuk berdemonstrasi aman demi menuntut demokrasi negara tercinta.  

No comments: