Monday, February 18, 2008

Kerajaan Sementara Merasuah Pengundi Dalam Pilihan Raya Ke 12?

Selepas Parlimen di bubarkan pada 13 Februari 2008, kerajaan sementara mengambil alih. Di Malaysia, sayangnya diteruskan oleh kerajaan yang sama iaitu kerajaan BN, yang selama ini mendatangkan banyak masalah kepada negara dan rakyat. Kenapa pemuka BN sibuk mengumumkan projek? Sepatutnya tidak ada menteri lain selain Perdana Menteri Sementara kerana Parlimen telah di bubarkan.

Berikut adalah contoh kegiatan kerajaan sementara (baca kerajaan BN) yang terang-terang menyalahgunakan kuasa kerajaan sementara, melanggar peraturan yang ada serta merasuah pengundi yang telah berlaku hari-hari selepas parlimen dibubarkan. Lepas pembubaran parlimen dan selepas penamaan calon pun, adakah lagi Menteri dan Timbalan Menteri? Selepas penamaan pun, yang kita tahu tidak ada PM. Lihat juga penggunaan sekolah untuk menarik undi. Seolah-olah BN sengaja tidak mahu rakyat yang cerdik atau yang boleh menggunakan akal.

1) RM1 juta baiki dewan perniagaan Cina
KUALA LUMPUR 14 Feb. - Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) memperuntukkan hampir RM1 juta bagi membantu Dewan Perniagaan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (DPCSKL) menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan bangunan lama pertubuhan itu di Jalan Maharajalela di sini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, setakat ini, pihaknya sudah memberi peruntukan sebanyak RM200,000 dua tahun lepas dan RM500,000 pula diserahkan pada hari ini...(UM, 15/2/08).

2) Empat projek RM170j majukan Bachok
BACHOK 14 Feb. - Selaras dengan slogan 'Bachok Baru, Bachok Maju', kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melakukan lonjakan pembangunan berganda melalui pelaksanaan empat projek utama bernilai kira- kira RM170 juta yang akan dimulakan secara berperingkat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jajahan itu akan muncul sebagai kawasan termaju dan menjana kegiatan ekonomi yang pesat termasuk melalui pembinaan hospital daerah dan kolej kejururawatan yang dijangka menelan belanja RM60 juta.
Selain itu katanya, Kolej Profesional Mara di Beris Kubur Besar sebanyak RM40 juta akan turut dibangunkan dan pembesaran muara Kuala Kemasin sebanyak RM60 juta bagi menggerakkan industri perikanan...(UM, 15/2/08).

3) Negara kebajikan: Kita boleh bankrap
SEPANG 14 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran Malaysia boleh bankrap jika konsep negara kebajikan yang ditawarkan oleh Pas diterima dan dipraktikkan di negara ini.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan Rumah Harapan Kanak-Kanak Malaysia di Kampung Baru Labu Lanjut, Salak Tinggi di sini hari ini.
Rumah perlindungan anak-anak yatim yang menghidap AIDS/HIV bernilai RM1.3 juta itu dikelolakan oleh Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM)..(UM, 15/2/08).

4 ) Lulus tanah bina kilang baja
KUALA LIPIS 17 Feb. – Kerajaan Pahang meluluskan tanah seluas empat hektar di Kecau Enam di sini, bagi pembinaan sebuah kilang baja kompos bernilai RM6 juta pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAdang Tengku, Abdul Rahman Mohamed berkata, apabila siap, kilang itu akan memproses sisa buangan tandan kelapa sawit untuk dibuat baja kompos selain memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 60 penduduk tempatan.

5) Peneroka dapat tanah tambahan
JERANTUT 17 Feb. – Seramai 387 peneroka Felda Sungai Tekam di sini, terharu apabila mendapat tanah tambahan seluas dua hektar seorang untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit.
Ketua Kampung Felda Sungai Tekam, Hashim Kadir. 73, berkata, pemberian tanah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu amat menggembirakan hati penduduk tanah rancangan itu...(UM, 18/2/08).

6) RM18 juta bangunkan 6 kolej komuniti di Kelantan
KOK LANAS: Kementerian Pengajian Tinggi memperuntukkan lebih RM18 juta bagi membangunkan enam kolej komuniti di Kelantan dalam usaha memartabatkan pembangunan modal insan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata enam kolej itu membabitkan dua kolej induk, iaitu di Kok Lanas dan Kuala Krai, manakala empat lagi ialah kolej cawangan di Jeli, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok...(BH, 18/2/08).

7) Elaun kursus jahitan Kemas naik RM150
SERI ISKANDAR: Mulai tahun ini, elaun bulanan peserta yang mengikuti Kursus latihan Jahitan Kemas dinaikkan daripada RM100 kepada RM150, manakala elaun makanan harian bertambah daripada RM9 kepada RM15.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, berkata pertambahan itu dilakukan sebagai usaha menarik minat lebih ramai belia luar bandar menyertai kursus berkenaan yang kini sudah diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Kementerian juga bersedia menambah lagi peruntukan RM5.5 juta disediakan untuk kursus ini sekarang jika terbukti ada usaha dan peluang meningkatkan lagi tahap kredibiliti kursus ini," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Latihan Jahitan Kemas di Institut Latihan Kemas di sini, semalam...(BH, 18/2/08).

8) Peneroka Felda Dilindungi Skim Insurans Berkelompok
TEMERLOH, 16 Feb (Bernama) -- Berkuatkuasa 1 Mac ini, para peneroka Felda di seluruh negara akan dilindungi Skim Insurans Berkelompok berkonsepkan syariah, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata polisi premium berkelompok itu melibatkan pembiayaan kira-kira RM9 juta setahun dan premium setiap peneroka adalah antara RM75 ke RM80 setahun.
"Premium tahunan ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Felda dan tiada sebarang premium dikenakan ke atas peneroka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bersama Rakyat dan Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Felda Lakum, dekat Lanchang, di sini...(BERNAMA, 16 Februari, 2008).

9) 12,000 rumah untuk kurang mampu
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat akan membina kira-kira 12,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh Kelantan menjelang 2010 bagi memudahkan pemilikan rumah oleh golongan berpendapatan rendah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata pembinaan perumahan itu sedang dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Katanya, ketika ini daripada 8,000 RMM yang dirancang, 3,300 sedang dibina di seluruh Kelantan, manakala daripada 4,000 RMR, 774 sudah siap dan diserahkan kepada pemilik serta 419 lagi dalam pembinaan.
Antara lokasi pembinaan perumahan itu termasuk sekitar Bachok, Kok Lanas, Kuala Krai dan Tumpat yang dijual pada harga antara RM60,000 dan RM70,000 seunit.
Beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan Pejabat SPNB cawangan Kelantan, di sini semalam. Hadir sama Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd Amin Mohd Salleh.
Sempena perasmian pejabat itu di Bachok petang semalam, 10 keluarga menerima kunci RMR yang siap dibina, manakala20 lagi penduduk menerima surat tawaran pembinaan RMR...(BH, 18/2/08).

10) Mendidik anak bangsa usaha tanpa noktah
SEREMBAN 19 Feb. - Menjadi pendidik dan mendidik anak bangsa tidak akan terhenti sampai bila-bila, bahkan ia merupakan usaha berterusan tanpa noktah.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, agenda pendidikan sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan, malahan ia dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan pelajar anak negeri ini cemerlang dalam semua peperiksaan.
''Saya mahu melihat pendidikan di kalangan anak-anak kita sentiasa meningkat. Bagi saya, ilmu itu terlalu penting kerana dengan ilmu sahajalah, rakyat akan berjaya mara ke hadapan," katanya pada majlis ramah mesra bersama warga pendidik Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) di Klana Resort di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pelajaran negeri, Abdullah Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerja Raya dan Pembangunan Usahawan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran negeri, Datuk Ismail Lasim serta turut dihadiri kira-kira 500 pengetua, guru besar dan pegawai pelajaran...(UM, 20/2/08).

11) RM2 juta bantu pereka animasi
KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi meluluskan dana sebanyak RM2 juta bagi membiayai projek dalam industri animasi dan kandungan kreatif digital.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis memberitahu, dana itu adalah bagi pereka-pereka animasi dan kandungan kreatif digital yang mempunyai projek tetapi tidak mempunyai modal untuk dipasarkan kepada syarikat multimedia.
''Pereka-pereka projek animasi dan kandungan kreatif digital ini selalunya berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan modal kerja bagi memulakan sesuatu projek.
''Dana ini disediakan untuk pereka memulakan projek animasi dan kandungan kreatif digital dengan pembiayaan sekali sahaja antara RM20,000 hingga RM100,000,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pusat Inovatif Kreatif dan Inkubator Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini...(UM, 20/2/08).

12) DUN Kahang dapat dua projek bernilai RM8 juta
KLUANG 19 Feb. - Kerajaan meluluskan peruntukan RM8 juta untuk melaksanakan dua projek iaitu menaik taraf jalan di Felda Ulu Denga, Kahang Barat dan Kahang Timur serta memperindahkan kawasan rekreasi Gunung Belumut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang.
Penyandang kerusi DUN Kahang, S. Ramis berkata, kerja menaik taraf jalan raya sepanjang 20 kilometer itu bermula dari Kampung Gajah dekat sini.
"Projek bernilai RM6 juta ini adalah di bawah peruntukan Ahli Parlimen dan permohonan bagi melaksanakan projek ini dibuat oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Ramis berkata, projek memperindahkan kawasan rekreasi Gunung Belumut pula membabitkan kos RM2 juta...(UM, 20/2/08).

13) Projek pembangunan luar bandar diperbanyakkan
MELAKA 19 Feb. – Lebih banyak projek pembangunan akan digerakkan terutama di kawasan luar bandar dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran 6.8 juta pelancong berkunjung ke Melaka pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai memandangkan bilangan pelancong yang datang ke negeri ini kian meningkat sepanjang tempoh empat tahun lalu sejak tahun 2004...(UM, 20/2/08).

14) Pelajar miskin MRSM dapat bantuan khas
PARIT 18 Feb. – Kerajaan akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan golongan pelajar miskin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menerusi Program Bantuan Khas mulai tahun ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka yang layak menerima bantuan itu adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM650 sebulan. Menerusi bantuan tersebut, kata beliau, pelajar berkenaan akan dikecualikan daripada bayaran asrama, pakaian seragam serta lain-lain keperluan sekolah.
‘‘Kita ambil kira (pemberian bantuan) dengan menggunakan piawaian garis kemiskinan iaitu keluarga yang memperoleh pendapatan di bawah RM650 sebulan.
‘‘Bagi mereka yang terlibat, semua perbelanjaan kemasukan dan kehadiran mereka di MRSM akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah MRSM Parit di sini hari ini...(UM, 19/2/08).

15) Gunakan kuasa undi dengan bijak
PEKAN 23 Feb. - Rakyat perlu menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka dengan membuat pemilihan terbaik dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pilihan raya umum pada 8 Mac ini bukan satu pilihan raya kecil, sebaliknya bagi membentuk kerajaan di peringkat nasional dan negeri.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak membuat sebarang eksperimen tetapi perlu melakukan perhitungan yang terbaik sebelum tangan mereka memangkah calon yang difikirkan sesuai.
"Bila hendak pangkah nanti, bisik dengan diri kita, siapa yang sepatutnya akan menubuhkan kerajaan peringkat nasional dan negeri.
''Bila hendak pilih nanti, pilih berdasarkan sesuatu perhitungan dan perkiraan kerana kuasa undi boleh beri rahmat pada kita untuk buat pilihan yang tepat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian dividen Tanam Semula Komersial (TSK) dan bantuan mangsa banjir serta anugerah pekebun kecil di sini hari ini...

16) 'Sekolah Cina terus dibantu'
JOHOR BAHRU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor apabila turut menyampaikan bantuan kewangan kepada sekolah berkenaan setiap tahun.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata BN menggunakan peruntukan Pejabat Menteri Besar menyalurkan bantuan kewangan kira-kira RM1.2 juta kepada SJKC di negeri ini, manakala sekolah swasta Cina menerima kira-kira RM800,000...(BH, 26/2/08).

17) Pelan Struktur Kampung Baru diiklan 1 April
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Datuk Seri Nasib Tun Razak berkata, Pelan Struktur Tempatan Kampung Baru akan diiklankan untuk tatapan umum mulai 1 April ini sebagai langkah pertama ke arah pembangunan dan pemodenan secara menyeluruh Kampung Baru.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah tersebut bertujuan bagi mendapatkan reaksi rakyat berhubung pelan pembangunan kampung berkenaan untuk dibuat penilaian dan perubahan pada konsep pembangunan tersebut.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah bersetuju dengan pelan pembangunan kampung tersebut dan ia akan tetap dilaksanakan.
‘‘Oleh itu, pengundi-pengundi (Parlimen) Titiwangsa (salah) satu projek yang akan dilaksanakan adalah pembangunan semula Kampung Baru kerana kita tidak mahu ada ‘slum area’ (kawasan perumahan orang miskin), tidak ada kawasan miskin Melayu, Cina atau India. Kita tidak mahu golongan miskin tegar di Wilayah Persekutuan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah bagi Parlimen Titiwangsa yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir di sini malam ini.

18) Perpustakaan untuk penduduk Ulu Putatan
PUTATAN 27 Feb. – Balai raya di Kampung Ulu Putatan yang sebelum ini dalam keadaan usang dan daif kini berubah wajah apabila diubah suai menjadi sebuah bangunan perpustakaan desa yang baru di daerah itu.
Majlis pelancaran bangunan perpustakaan yang menjadi kebanggaan penduduk kampung tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, semalam.
Berucap pada majlis itu, Yahya mahu penduduk di kawasan tersebut memanfaatkan sepenuhnya perpustakaan itu dan menjadikannya gedung ilmu untuk faedah masyarakat setempat.

19) Artis berkempen bantu calon BN
TASEK GELUGOR 27 Feb. - Kehadiran sekumpulan artis diketuai pelakon veteran terkenal, Latiff Ibrahim mencuri tumpuan lebih 500 pengunjung majlis jamuan Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) Tasek Gelugor, di sini semalam.
Mereka yang datang dari Kuala Lumpur berkempen untuk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 di sini tiba kira-kira pukul 9.30 malam pada majlis yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Keow, dekat sini.
Latiff turut disertai penyanyi dan pelakon veteran antaranya Hail Amir, Dahlan Zainuddin, Herman Tino dan A.R Badul.
Kehadiran artis-artis berkenaan dengan memakai baju tertera slogan ‘Undilah BN’ turut menarik perhatian calon kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang juga Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menemui masyarakat pelbagai kaum di majlis tersebut.

19) Najib: Give Barisan four years
Thursday, 28 February 2008
PASIR MAS: Give Barisan Nasional four years to rule Kelantan and kick it out if it fails to deliver, Datuk Seri Najib Tun Razak told the Kelantan people.
The Deputy Prime Minister said Barisan had many plans for the state and wanted a new and developed Kelantan.
“Four years is enough time for us to bring changes and show what we can do,” he said yesterday at the SM Tengku Panglima Raja here.

20) Parti pembangkang gemar temberang – Taib Mahmud
LAPOK (Baram) 27 Feb. – Parti pembangkang lebih suka ‘temberang’ daripada menyatakan kebenaran berhubung kejayaan Barisan Nasional (BN) membangunkan rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata, semua itu dilakukan oleh pembangkang semata-mata untuk meraih simpati pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.
Katanya, pembangkang juga akan terus berusaha sedaya upaya mencari kelemahan dan kesalahan BN walaupun terpaksa berbohong kepada rakyat.
“Mereka (pembangkang) tidak pernah puas hati dengan apa yang BN sudah buat untuk rakyat.
“Semua yang kita (BN) lakukan tidak ada yang baik di mata mereka. Oleh itu mereka gemar bersikap ‘temberang’ dengan memburuk-burukkan BN,” katanya ketika berucap di majlis peletakan batu asas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar Baram, kira-kira 150 kilometer dari Miri.

21) Kerajaan salur RM209.6 juta bantu sekolah agama
BALING 28 Feb. - Sebanyak RM209.6 juta telah disalurkan kerajaan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara sejak tiga tahun lalu bagi memastikan sekolah tersebut setaraf dengan sekolah-sekolah lain di negara ini.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bantuan kepada SABK itu telah dapat memberi manfaat kepada lebih 35,700 pelajar.
"Kita mahu memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pelajar terlibat," katanya kepada para pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya Parlimen Baling di Bilik Gerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.
Hishammuddin turut mengadakan lawatan pertamanya ke SABK An Najjah, Titi Gantung, Pulai dekat sini dan meluluskan permohonan bagi membina bangunan tambahan dan sebuah makmal komputer.
Hadir sama ialah calon BN bagi Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, calon DUN Kupang, Datuk Ismail Abu Bakar dan calon Bayu, Azmi Che Hussain.

22) ELECTION 2008: Kelantan BN pledges to reduce taxes
KOTA BARU: Petty traders and other business people will benefit greatly if Barisan Nasional comes to power in Kelantan.
In the supplementary manifesto for the state, BN is pledging to lower assessment rates and quit rent, and abolish minor taxes on petty traders.
These are among the pledges in Kelantan Barisan Nasional's supplementary manifesto to be unveiled tomorrow.
State BN chief Datuk Seri Annuar Musa said the manifesto would not only address the needs and problems of the rakyat but also focus on good governance.
He said Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi's visit to Kelantan to lay the foundation for Universiti Malaysia Kelantan's permanent campus in Tangok today was a clear signal of the coalition's determination to help the Kelantan people...(malaysia-today, 28/2/08).

23) RM590j projek rumah golongan miskin
KEPALA BATAS 28 Feb. – Kerajaan komited untuk melaksanakan pelbagai program bantuan kepada golongan miskin bagi memastikan matlamat membasmi kemiskinan tegar tercapai sepenuhnya pada 2010.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, yang menjadi keutamaan kerajaan sekarang ialah membina dan membaiki rumah rakyat termiskin di seluruh negara.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM590 juta telah disediakan bagi melaksanakan projek-projek pembinaan dan membaik pulih rumah golongan miskin yang dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
‘‘Sebahagian peruntukan ini sudah pun disalurkan dan ramai orang miskin di seluruh negara termasuk miskin tegar sudah mendapat manfaat.
‘‘Pembinaan perumahan akan menjadi keutamaan kerana kita mahu setiap rakyat mendapat kemudahan asas secukupnya,” katanya sebelum memulakan lawatan ke beberapa projek perumahan rakyat termiskin (PPR) sekitar Parlimen Kepala Batas di Lahar Minyak, Penaga di sini hari ini.

24) Kenaikan jawatan ATM
BUTTERWORTH 28 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, anggota tentera kini berpeluang untuk menikmati kenaikan pangkat berikutan pewujudan jawatan baru dalam pasukan angkatan tentera.
"Selain pembukaan markas angkatan tentera yang baru di seluruh negara yang akan juga mewujudkan peluang jawatan baru, kerajaan juga telah bersetuju untuk mewujudkan 645 lagi jawatan Leftenan Kolonel," katanya pada majlis perjumpaan dengan warga Pangkalan Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Telok Air Tawar dekat sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Panglima TUDM, Tan Sri Azizan Ariffin

25) Penantian 12 tahun peneroka Sendayan berakhir
SEREMBAN 28 Feb. - Penantian 12 tahun peneroka Felda Sendayan berakhir apabila kerajaan negeri menyerahkan kunci banglo dan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) kepada 493 peneroka di Sendayan dekat sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian kunci dan CF itu merupakan sebahagian daripada pakej yang ditawarkan oleh kerajaan kepada mereka selain 50 peratus lagi dalam bentuk wang tunai.
''Hari ini kerajaan negeri menunaikan janji untuk menyerahkan kunci banglo. Kita berikan juga sekali dengan CF supaya peneroka dapat terus tinggal di rumah tersebut.
''Ini adalah janji kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu melihat rakyat hidup dengan aman dan sejahtera," kata beliau kepada pemberita selepas menyerahkan kunci banglo dan CF kepada 493 peneroka tanah rancangan Felda itu.
Hadir sama Naib Ketua Pemuda UMNO yang juga calon BN Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan isterinya, Nori Abdullah.

26) Aibkan orang demi politik
PENDANG 29 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbuatan mengaibkan orang tidak boleh diterima tetapi para pemimpin Pas menghalalkannya demi kepentingan politik mereka.
‘‘Ia bukan sesuatu yang boleh diterima. Mengaibkan orang tak patut dilakukan tapi maknanya dari segi politik, Pas menghalalkan segala-galanya,” kata Najib kepada pemberita selepas berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat di Felda Sungai Tiang di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan ‘fatwa’ terbarunya dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan membenarkan semua calon parti itu yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.
Sementara itu, Najib memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM1.3 juta untuk membina rumah-rumah kedai di bawah program Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Felda Sungai Tiang bagi memberi kemudahan perniagaan kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
Projek yang dinamakan Kedai Rakyat itu mengandungi sebuah bangunan dua tingkat dengan 12 buah kedai. Selain itu, kata Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membina sebuah dewan serbaguna di kawasan Felda tersebut dan menyediakan sebuah kereta jenazah bernilai RM90,000....

27) Hospital Mersing dinaik taraf
MERSING 2 Mac – Hospital Mersing bakal menerima bangunan wad serta dewan pembedahan baru menerusi peruntukan berjumlah RM20 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.
Beliau berkata, projek penambahbaikan yang dijalankan di hospital tersebut dijangka bermula dalam masa terdekat ini bagi memberi keselesaan kepada penduduk di Mersing.
‘‘Memang terdapat cadangan untuk memindahkan Hospital Mersing di tapak baru, namun jika difikirkan, hospital ini memiliki keunikannya kerana terletak di kawasan tepi pantai.
‘‘Oleh itu, kerajaan memutuskan pendekatan lebih praktikal bagi menjalankan penambahbaikan Hospital Mersing di tapak sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan peringkat daerah Mersing di Padang Mini Stadium Mersing di sini hari ini.
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, T. Murukasvary dan calon BN DUN Endau, Zainal Abidin Othman.

28) Dewan pelancongan RM2j dibina di Bagan Datoh
BAGAN DATOH 2 Mac. - Kerajaan membina Dewan Pelancongan bernilai RM2 juta di persisiran pantai Sungai Perak berhampiran jeti Bagan Datoh bagi meningkatkan industri pelancongan sekali gus mengubah sosioekonomi penduduk setempat.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek pembinaan bangunan dewan atas tapak seluas 1.6 hektar yang dikendalikan Majlis Daerah Teluk Intan (MDTI) itu dijangka siap akhir tahun depan.
Katanya, tender kontrak sedang diuruskan MDTI dan kerja pembinaan akan bermula sebaik sahaja ia dianugerahkan kepada kontraktor berkelayakan.
''Usaha ini dilakukan kerana kerajaan mahu mengubah corak ekonomi penduduk tempatan di samping mempelbagaikan sumber pendapatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Program Pelancongan Pelajar di Bangunan Umno, Simpang Empat, Hutan Melintang dekat sini semalam.
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Shaarani Mahamad dan DUN Hutan Melintang, Tangasvari Suppiah dan beberapa pemimpin BN Parlimen Bagan Datoh.

29) Kerajaan rampas ‘jantung’ jadi isu pembangkang
SEREMBAN 2 Mac – Kerajaan telah berjaya merampas ‘jantung’ di bandar ini yang menjadi isu pembangkang pada pilihan raya 2004 lalu sehingga membawa kemenangan DAP di DUN Lobak, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
‘Jantung’ yang dimaksudkan oleh Mohamad itu ialah Pasar Besar Seremban yang sebelum ini menimbulkan kemarahan peniaga dan menjadi isu pembangkang untuk menawan Lobak, selain masalah jirat Cina di Jalan Lee Sam, di sini.
‘‘Hari ini ‘jantung’ itu telah kita rampas dari badannya (Seremban). Dalam hal ini, bila kita ambil ‘jantung’ (pasar) maka badannya akan rebah dan menjadi milik kita.
“Kini, mereka telah menyatakan sokongan kepada kerajaan dan BN,” kata Mohamad kepada pemberita selepas merasmikan SJK (C) Sungai Salak dan menyerahkan sumbangan kepada penduduk Kampung Seri Bahagia, di sini semalam.

29) Bela nasib rakyat keutamaan Awang Adek
KOTA BHARU 2 Mac - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang optimis pilihan raya kali ini akan menjanjikan perubahan di Kelantan menegaskan, pembelaan nasib golongan miskin akan menjadi keutamaan baginya jika menjadi Menteri Besar kelak.
Menurutnya, beliau pernah melalui saat-saat yang begitu sukar dalam keluarga yang dicengkam kemiskinan sehingga menyebabkan beliau dan tujuh adik-beradik lain 'kadangkala makan, kadangkala tidak'.
''Saya sendiri masih terdengar tangis arwah kakak yang begitu ingin belajar tetapi terpaksa berhenti sekolah kerana memberi laluan kepada saya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2 di sini petang ini.

30) BN tidak persia kepercayaan rakyat
KEPALA BATAS 2 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan Barisan Nasional (BN) tidak akan mempersia-siakan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada parti memerintah itu pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Perdana Menteri menegaskan, sokongan padu rakyat penting bagi memastikan BN dapat terus memacu pembangunan yang dirancang termasuk memberi tumpuan bagi meningkatkan kemajuan penduduk luar bandar.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat keluar beramai-ramai mengundi Sabtu ini bagi memastikan calon-calon BN menang besar.
‘‘Tidak sia-sia sokong BN pada pilihan raya umum nanti, mudah-mudahan kita capai kemenangan.
‘‘Saya harap semua pengundi keluar beramai-ramai dan pihak polis juga telah beri jaminan akan meningkatkan kawalan keselamatan pada hari itu supaya selamat dan tiada gangguan,’’ kata Abdullah.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan jalan baru dan Jambatan Pinang Tunggal di Pinang Tunggal di sini hari ini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Abdul Munit Kasmin.

31) Pas hanya 'janji' bazirkan wang rakyat
JOHOR BAHRU 3 Mac - Pas hari ini dibidas kerana tidak pernah menyatakan kaedah untuk menjana ekonomi negara sebaliknya hanya memberitahu rakyat bagaimana hendak menghabiskan wang kerajaan jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pas ketika berkempen hanya menyatakan cara-cara wang kerajaan mahu dibazirkan antaranya memberi elaun kepada ibu tunggal jika menang pilihan raya umum Sabtu ini.
Beliau berkata, tindakan parti itu sesuatu yang memalukan kerana wang yang akan dibelanjakan itu adalah wang kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN).
''Ia berlainan dengan cara BN kerana kita berusaha serta memikirkan cara untuk membangunkan ekonomi agar segenap lapisan masyarakat mengecapi kemakmuran.
''Nampaknya cara yang kita gunakan lebih daripada 50 tahun ini memang difahami dan diterima baik dan hakikat itu dapat dibuktikan apabila rakyat menaruh keyakinan dan harapan yang tinggi terhadap BN,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Giat Mara Bersama Rakyat Parlimen Pasir Gudang, Taman Mawar, Pasir Gudang di sini hari ini.

32) 1RM1.6b bina rumah tentera
KUANTAN 3 Mac - Kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi melaksanakan 38 projek perumahan anggota tentera dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, 10,000 rumah akan dibina di seluruh negara dengan 7,000 daripadanya akan dibina di Lembah Klang.
Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, pembinaan lebih banyak rumah bertujuan memastikan anggota tentera tidak tinggal di kawasan setinggan atau di rumah yang kurang selesa di luar kem.
''Berbanding sekitar tahun 1970-an, ada anggota tentera terpaksa tinggal di kawasan setinggan dan rumah yang hanya mempunyai satu bilik.
''Kini kita bina rumah yang lebih luas dan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan ramah mesra bersama anggota tentera di Markas 4 Briged, Kem Batu 10 di sini hari ini.
Selain itu, Najib memberitahu, kerajaan meluluskan 645 jawatan tambahan bagi membolehkan anggota tentera kumpulan pertengahan yang berpangkat Mejar dinaikkan pangkat kepada Leftenan Kolonel.
Beliau berkata, pada masa ini Kementerian Pertahanan menerima 900 permohonan kenaikan pangkat di kalangan anggota tentera berpangkat Mejar.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan kerajaan RM700,000 iaitu membina bangunan dua tingkat bagi kemudahan anak anggota tentera mengikuti kelas agama dan fardu ain (KAFA) di kem tersebut.
Sementara itu ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, Najib berkata, kerajaan sentiasa peka untuk menyediakan barisan generasi muda dengan pelbagai latihan dan kemahiran.
IKBN yang berkeluasan 32 hektar dan bernilai RM110 juta itu dijangka siap sepe nuhnya pada Februari 2010. Ia adalah satu daripada enam IKBN yang dijayakan di bawah projek Rancangan Malaysia Ke sembilan (RMK-9).
Selain Pekan, Pahang, IKBN akan turut dibina di Pedu, Kedah; Pengerang, Johor; Kuala Selangor, Selangor; Kelantan dan Terengganu.

33) Rakyat Kelantan jangan tolak tuah - Muhyiddin
KOTA BHARU 3 Mac - Rakyat Kelantan diminta tidak menolak 'tuah' atau manfaat besar yang bakal mereka kecapi ekoran tawaran Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk melakukan perubahan di negeri ini.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan jaminan kerajaan Pusat menyediakan peruntukan hampir RM1 bilion setahun sekiranya BN memerintah, banyak usaha boleh dijayakan demi kesejahteraan rakyat tanpa sebarang halangan.
Kata beliau, apa yang penting pada masa ini bukan lagi soal emosi, sentimen parti atau pemimpin, sebaliknya ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu undi untuk kepentingan negeri.
''Kita kena fikirkan masalah pokok yang melanda negeri kita sekarang. Hutang kerajaan negeri bukan terletak pada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Nik Mat mahupun Datuk Husam Musa, tetapi bebanan itu pada rakyat," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hasil Ladang Merdeka Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Peringat dekat sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi KADA, Datuk Seri Annuar Musa, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad dan calon BN bagi DUN Melor, Mohd. Azmi Ishak yang juga Ahli Lembaga KADA.

34) Isu rumah terbengkalai Bukit Botak diberi perhatian
KUALA LUMPUR 4 Mac - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal berjanji akan menyelesaikan masalah rumah terbengkalai di Kampung Bukit Botak, Selayang.
Menurutnya, beliau akan memastikan projek perumahan kos rendah di kawasan seluas 56 hektar itu disiapkan dengan segera oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
"Saya sedar masalah ini sudah berlarutan begitu lama iaitu sejak 2001 dan rumah yang dibina menjadi terbengkalai kerana salah memilih kontraktor membangunkan kawasan tersebut.
"Hanya pada 2005 PKNS mengambil alih sebahagian daripada pembangunan tersebut dan terpaksa menanggung semua masalah yang wujud,'' katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas keluhan 1,115 keluarga setinggan yang masih ditempatkan di kediaman sementara termasuk 548 keluarga yang terpaksa menyewa apabila perkampungan setinggan mereka dirobohkan untuk dibangunkan dengan rumah kos rendah.
Bagaimanapun, projek tersebut terbengkalai menyebabkan penduduk terbabit terpaksa terus tinggal di penempatan sementara atau menyewa rumah.
Mereka yang menyewa dijanjikan subsidi wang sewa rumah sebanyak RM300 sebulan tetapi kontraktor gagal memenuhi janjinya itu.
Bagaimanapun, kemelut yang melanda 548 penduduk setinggan itu berakhir semalam apabila PKNS menjelaskan tunggakan sewa rumah berjumlah RM1.26 juta.
Penyerahan cek kepada semua penduduk terbabit telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di sini, semalam.

34) IPD Jasin bernilai RM70 juta dibina
JASIN 4 Mac - Sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru bernilai RM70 juta akan dibina tidak lama lagi di sini bagi menggantikan IPD sedia ada yang usang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, IPD Jasin yang baru itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2009 dan menempatkan lebih ramai anggota polis.
Menurut beliau, projek pembinaan yang dibiayai Kementerian Dalam Negeri itu turut dilengkapi asrama dan rumah kakitangan yang lebih selesa dan moden.
''Ini semua untuk menjamin keselamatan dan keamanan rakyat. Apabila keadaan negara aman dan selamat maka rakyat akan hidup makmur.
''Saya percaya IPD Jasin ini akan menjadi ibu pejabat polis paling cantik di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan IPD Jasin yang baru di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Mortadza Nazarene dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Wira Ahmad Hamzah.

35) Penduduk miskin bandar dibela
SEREMBAN 4 Mac – Nasib penduduk miskin di kawasan bandar terus mendapat perhatian kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
Sebanyak 100 penduduk berpendapatan rendah dari kawasan seliaan MPS hari ini menerima pelbagai bantuan di bawah program tersebut yang dimulakan sejak 2005.
Majlis penyampaian cek bantuan PPKB kepada penerima yang layak disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Flat Tun Dr. Ismail, Lobak di sini.

36) i-Pintar tingkatkan mutu pengajaran
KEPALA BATAS 4 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin program i-Pintar yang dilancarkan hari ini mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah- sekolah luar bandar di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan program seumpama itu penting dalam membantu kerajaan mengukuhkan usaha pembinaan modal insan secara lebih menyeluruh termasuk membantu murid-murid di kawasan luar bandar.
Justeru, beliau mahu program pendidikan diperluaskan ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi memastikan matlamatnya dicapai secara berkesan.
‘‘Saya percaya menerusi i-Pintar dalam masa yang singkat kemahiran serta mutu pembelajaran anak-anak kita di luar bandar dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi lagi.
‘‘Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu pendidikan anak- anak,” katanya ketika melancarkan program tersebut di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di sini hari ini.

37) Stesen bas RM120 juta
SUNGAI PETANI 5 Mac - Bandar Sungai Petani akan mempunyai mercu tanda baru apabila sebuah kompleks di tengah-tengah pusat bandar yang menempatkan stesen bas, teksi dan perniagaan bernilai RM120 juta siap sepenuhnya kira-kira dua tahun lagi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kompleks pengangkutan serba lengkap berkeluasan 3.18 hektar tersebut akan dibina di tapak stesen bas sedia ada di Jalan Petri.
Katanya, projek tersebut dibina oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan usaha sama SPK Maju (M) Sdn. Bhd.
''Projek ini sebenarnya dirancang sejak 1993. Atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan ia terpaksa ditangguh.
''Bagaimanapun, setelah mengambil kira kepentingan warga Sungai Petani, kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco baru-baru ini telah meluluskan projek tersebut dan ia dijangka boleh bermula dalam tempoh terdekat,'' katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah projek kompleks stesen bas, teksi dan perniagaan baru di sini petang ini.
Turut hadir Menteri Penerangan yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Petani, Datuk Seri Zainuddin Maidin; calon BN Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain; Yang Dipertua MPSPK, Adzmi Din dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Khazali Din.


 




.....bersambung sampai hari pilihan raya nanti....supaya rakyat boleh nampak dan berfikir sendiri.

No comments: