Thursday, February 05, 2009

Najib berjaya ulangi sejarah Tun Razak

05 Feb 2009 2:10PM

SEKIRANYA... diulangi sekiranya BN berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak seperti mana diperkatakan sejak semalam dan hari ini ia memberi signifiken tersendiri kepada pengarah perancangan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan itu, iaitu Mohd Najib Razak. Kejayaan ini memberi makna dan erti besar kepada Najib dan wajarlah kalau beliau bergembira, bertepuk tangan dan ketawa besar.

Banyak signifikan-signifikannya. Pertama kejayaan itu cukup manis dan bererti kerana Najib baru saja mengambil alih Pengerusi Perhubungan Umno Perak daripada Tajol Mohd Rosli Ghazali. Kejayaan dalam masa singkat itu menunjukkan ‘kebolehan’ dan kebijaksanaan Najib sebagai pemimpin Umno.

Kejayaan itu memberi dalil bahawa Najib berkemampuan untuk memulihkan Umno. Kejayaan itu juga orang akan menganggap Najib sebagai bisa, bijak berketrampilan dalam politik.

Signifiken lain ia memberi kekuatan dan keyakinan kepada Najib apabila beliau mengambil alih kepimpinan Umno daripada Abdullah Badawi pada Mac kelak.

Apa yang diharap kejayaan Najib menawan kerajaan Pakatan tanpa pilihan raya itu permulaan menarik pada era kepimpinannya nanti.

Apabila merenung mengenai apa yang berlaku semalam, Najib yang mengumumkan bahawa BN Perak sudah ada majoriti untuk menubuhkan kerajaan apabila empat Adun, Jamaluddin Mohd Radzi, Othman Jailu, Hee Yit Fong dan Nasaruddin Hisham menyertai BN menyebabkan saya teringat kepada apa yang berlaku 48 tahun lalu di Terengganu.

Hampir lima dekad lalu satu kejadian yang hampir sama tetapi tidak serupa telah berlaku dalam arena politik negara ini, iaitu mengenai kejatuhan atau tumbangnya kerajaan Pas di Terengganu.

Senario dan kronologi kejatuhan kerajaan Terengganu itu sama dengan apa yang berlaku di Perak kini.

Kerajaan Pas Terengganu jatuh apabila berlakunya lompat melompat parti. Peristiwa lompat melompat di Terengganu itu hampir sama kelakuan dan tabiat dengan lompat melompat di Perak kini.

Ia bermula dengan seorang Adun dari Parti Negara, melompat menyertai Pas kemudian dilantik menjadi Exco.

Rentetan itu ia diikuti dengan kejadian melompat parti daripada tiga Adun Pas ke dalam Perikatan termasuk speaker yang berlaku secara penuh tragis dan taktikal sifatnya.

Lompatan itu bukan berlaku di luar tetapi di dalam Dewan persidangan apabila Adun Pas menyokong undi tidak percaya yang dikemukakan Perikatan.

Kerana berlaku lompat melompoat itulah akhirnya menyebabkan kerajaan Pas Terengganu hanya bertahan selama satu tahun setengah sahaja.

Begitu jugalah apa yang berlaku di Perak. Kejatuhannya kerana berlaku lompat melompat. Ia dimulakan dengan Adun Bota, Nasaruddin Hisham yang melompat menyertai PKR.

Dari tindakan itulah menyebabkan dua ahli PKR bermasalah (berhadapan dengan tuduhan rasuah) mengambil sikap dingin kepada parti yang mana akhirnya menyebabkan parti hilang kepercayaan kepada keduanya.

Apa yang dilakukan oleh Nasaruddin itu ialah sebagai permulaan kepada peristiwa lompat melompat yang membawa kajatuhan sebuah kerajaan.

Ini sama dengan apa dilakukan oleh Adun parti negara itu. Apabila itu berlaku ia menyebabkan pihak lawan kerajaan iaitu Perikatan atau BN akan berusaha untuk menawan hati Adun lain.

Lompatan itu memberi ilham untuk mereka melakukan sesuatu atas dasar tundak balas.
Kejadian lompatan itu juga mencetuskan semangat dan mencabar pihaknya untuk berusaha sedaya mungkin bagi menarik mana-mana Adun kerajaan menyokongnya.

Sekiranya tidak ada perisitwa lompat melompat itu ia tidak akan mengusik keadaan yang tenang sebelum itu.

Walaupun BN atau Perikatan ada niat tetapi ia tidak mudah untuk mencetuskan apa-apa tindakan ataupun tidak terjadi sedrastik itu.

Berbalik kepada apa yang hendak diperkatakan tadi, apabila mengenangkan apa yang berlaku di Terengganu itu saya teringat kepada Tun Razak Hussein.

Tun Razaklah yang menjadi pengarah kepada projek menjatuhkan kerajaan Pas Terengganu itu.

Andaian ini berpandukan kepada kedudukan dan jawatan yang dipegangnya. Siapakah Tun Razak? Dia ialah bapak kepada Najib.

Sekali lagi ada persamaan dalam kedua peristiwa itu dari segi watak – terserah untuk dikatakan protoganis atau antoganis, mereka adalah anak beranak.

Waktu berlaku kejatuhan kerajaan Terengganu itu, Tun Razak ialah timbalan perdana menteri dan juga menteri pertahanan. Jawatan itu sama dengan disandang Najib ketika ini. Najib adalah timbalan perdana menteri dan bekas menteri pertahanan.

Saya tidak mengatakan Tun Razak menjadi pengarah dalam rampasan kuasa di Terengganu tetapi semasa kejadian itu berlaku tahun 1961 Tun Razak adalah penjawat jawatan itu.

Apakah dengan kedudukan dan jawatan itu memungkinkan mereka mudah mencapai apa-apa yang disasarkan? Seorang yang menjadi menteri pertahanan sudah tentu arif dengan strategi pertahanan dan serangan. Sukar untuk dijelaskan tetapi sejarah telah melakarinya dan itu realitinya.

Cuma dalam beberapa persamaan dan signifikan itu pada saya apa yang berlaku ada tahun 1961 di Terengganuu itu lebih bermaruah dengan apa yang berlaku di Perak kini.

Kejatuhan kerajaan Terengganu dirasakan lebih gentleman kerana ia dibuat di sidang Dewan Undangan Negeri menerusi satu usul undi tidak percaya, tetapi pengumuman kejatuhan kerajaan Perak dibuat di pejabat Timbalan Perdana Menteri Putrajaya yang kelihatan arrogant dan begitu berkuasa!

Kesimpulannya bapa borek anak pastilah rintik!

Punca: msomelayu.blogspot.com

No comments: