Tuesday, February 17, 2009

PPSMI: Gapena tidak berganjak

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tidak akan berganjak daripada perjuangan menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun terpaksa berhadapan dengan tentangan pelbagai pihak.

Ketua II Gapena, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, Gapena perlu bertindak sedemikian kerana ia melibatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu yang kini semakin terpinggir dalam sistem pendidikan arus perdana.

Sambil menafikan usaha tersebut mempunyai agenda untuk menjatuhkan individu tertentu, beliau berkata, Gapena konsisten dalam memperjuangkan isu PPSMI iaitu sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2002.

''Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan pelaksanaan PPSMI enam tahun lalu, Gapena mula bertindak menentang pelaksanaannya kerana kita melihat PPSMI akan memberi kesan yang amat buruk kepada perkembangan bahasa Melayu.

''Sehubungan itu tidak timbul isu yang dibangkitkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kita mula memperjuangkannya sekarang. Mungkin pada masa dahulu penentangan yang dibuat oleh Gapena sengaja tidak mahu dihebahkan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama pemimpin kanan Gapena antaranya Ketua I Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, Setiausaha I Gapena, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Gapena, Datuk Tengku Alaudin Tengku Abd. Majid…
&
Laporan polis PPSMI: Menteri Pelajaran bidas Gapena
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) kerana membuat satu laporan polis terhadap kementerian itu hari ini.

Laporan polis Gapena itu adalah bagi membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Hishammuddin yang dihubungi oleh Utusan Malaysia mempersoalkan agenda Gapena kerana bertindak selepas enam tahun dasar itu diperkenalkan.

Menurut beliau, tindakan badan gabungan penulis itu juga boleh menjejaskan kredibiliti mereka suatu hari nanti.

"Laporan polis? Enam tahun tak buat apa-apa, tiba-tiba buat demonstrasi anjur itu ini, saya tidak tahu apa sebenarnya agenda mereka.

"Alangkah sia-sia tindakan mereka ini jika keputusan yang dibuat kerajaan boleh memenuhi kehendak semua pihak dan akhirnya kredibiliti mereka sendiri terjejas," katanya.

Beliau mengulas tindakan Gapena membuat laporan polis terhadap kementeriannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, PPSMI menyalahi Seksyen 17(1) Akta Pendidikan yang memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan.

Menurut Ismail, ia juga bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu untuk semua.

Turut memberi tekanan kepada Kementerian Pelajaran ialah Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) yang bertekad mengadakan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada pertengahan bulan depan….

Ulasan: Lawan tetap lawan sampai menang. Sayangnya, sebuah parti yang bersemangat kebangsaan Melayu UMNO mempelopori Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sewaktu di puncak kekuasaannya. Eloklah kita bersama-sama menyokong Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) yang bertekad mengadakan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada pertengahan bulan depan demi anak cucu kita.

No comments: