Thursday, February 05, 2009

Najib bertindak, umum terburu-buru tanpa dapat perkenan Sultan

IPOH, 5 Feb (Hrkh) - Sepatutnya Ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang mendapat sokongan majoriti Dewan, dan bukannya Pengerusi Umno Negeri Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengadap Sultan Perak Raja Azlan Shah bagi proses pembetukan sebuah kerajaan negeri yang baru yang kononnya akan berada di bawah Barisan Nasional (BN).

Dari segi proses dan prosedur, Najib jelas mencabuli urusan undang-undang tubuh negeri dan institusi rara-raja melayu apabila tanpa sebarang kapisiti terus bertemu Raja Azlan sedangkan beliau tiada sebarang kaitan dengan urusan Dewan undangan Negeri.

Demikian ulas Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Mahfuz Omar berhubung situasi mutakhir yang berlaku di Perak ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya beliau merasa sangsi dengan tindakan tergesa-gesa Najib mengumumkan secara terbuka bahawa kerajaan Perak dikuasai BN tanpa menunggu terlebih dahulu restu dan perkenan Sultan Perak.

"Apa muslihat Najib yang tidak mengikut proses undang-undang malah mempunyai agenda tersendiri untuk membelakang perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Perak.

"Yang layak bertemu Sultan ialah Adun yang mewakili majoriti dewan bukannya seorang ahli parlimen yang tiada kaitannya dengan kerajaan negeri ini," katanya.

Katanya insiden ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dan amat memalukan bagi seorang yang dicanang sebagai calon Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Pengerusi BN sendiri pun tidak 'mencampuri' urusan istana dan negeri Perak.

"Tindakan Najib ini menunjukkan Adun-adun yang kononya akan kuasai Perak tidak mendapat sokongan Dewan, apatah lagi daripada majoriti rakyat negeri Perak.

"Cara terbaik untuk memastikan mendapat sokongan baru, sewajarnya Dun dibubarkan dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar bersih dan berwibawa di samping membentuk kestabilan politik yang lebih utuh," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Ulasan: Kerana kuasa sanggup buat apa saja. Malu bukan kepalang kerana seorang menteri kanan merangkap TPM membuat hal.
Petikan dari harakahdaily.net: Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin berkata tiada sebab bagi beliau untuk meletakkan jawatan seperti yang disarankan oleh Pengerusi BN Perak, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Katanya, beliau masih menjadi ketua kerajaan negeri sehinggalah Sultan Perak membubarkan dewan undangan negeri.

Ataupun, katanya, BN perlu mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya untuk memaksa beliau meletakkan jawatan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh malam tadi, Mohd Nizar berkata saranan Najib yang juga timbalan perdana menteri itu, tidak mencerminkan apa yang terkandung dalam perlembagaan negeri Perak.

Menurut perlembagaan Perak, kata Mohd Nizar, Pakatan masih merupakan sebuah kerajaan yang sah kecuali dewan undangan negeri bersidang untuk meluluskan undi tidak percaya atau jika kerajaan Pakatan meletak jawatan.

Beliau mengingatkan bahawa proses menukar kerajaan "tidak sama seperti menukar warung kopi".

Mohd Nizar juga membidas Najib kerana didakwanya cuba mengambil alih kuasa di Perak melalui cara yang tidak sah.

Sebaliknya, kata beliau, Najib hanya mahu menakut-nakut rakyat dan melakukan sesuatu tanpa menghormati perlembagaan.

No comments: