2010/08/24 GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa kerajaan mengharamkan sejenis minuman ringan beralkohol yang menggunakan label buah-buahan.
Presidennya SM Mohamed Idris berkata, minuman ringan itu didapati mengandungi alkohol sehingga 5.5 peratus dan ia dijual secara meluas di pasar raya dan kedai 24 jam dan bebas dibeli oleh golongan remaja dan kanak-kanak.
"Minuman itu dijual dalam botol dan tin yang berwarna-warni dengan tujuan untuk menarik perhatian golongan muda terutama kanak-kanak sedangkan kandungan alkohol 5.5 peratus itu adalah tinggi dan tidak wajar dijual kepada kanak-kanak," katanya pada sidang akhbar di sini.
Beliau mendakwa maklumat mengenai kandungan alkohol dalam minuman itu dicetak dengan kecil dan sukar dibaca, membuatkan pengguna menyangka ia adalah minuman ringan berperisa buah-buahan.
"Kerajaan harus memandang serius penjualan minuman itu kerana undang-undang negara dengan jelas menyatakan penjualan minuman alkohol adalah dilarang kepada golongan berumur bawah 18 tahun," katanya.
Idris berkata, CAP menerima banyak aduan ibu bapa yang menyatakan anak mereka mula menggemari minuman ringan beralkohol itu. - BERNAMA
Ulasan: Selamatkan generasi akan datang dari menggemari arak.
No comments:
Post a Comment