Thursday, August 12, 2010

Umno/BN mahu membonsaikan minda mahasiwa

KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai larangan mahasiswa berpolitik membuktikan bagaimana Umno BN secara terancang mahu membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat.

Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu mengenai larangan mahasiswa melibatkan diri di dalam politik kepartian dikekalkan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Muhyiddin memberikan justifikasi bahawa larangan tersebut kekal kerana mahasiswa masih terikat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Apakah bezanya dengan kalangan guru yang kini dibenarkan berpolitik, jika hendak diberikan hak yang sama kepada mahasiswa dan juga para pensyarah universiti?” soalnya dalam satu kenyataan.

Katanya, AMK yakin dan percaya, puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana sekiranya hak yang sama diberikan kepada mahasiswa, maka sudah pasti isu-isu rakyat yang kritis akan didepani oleh mahasiswa dengan begitu aktif sehingga melemaskan Umno BN.

Sehubungan itu, ujarnya AMK mencabar Umno/BN melalui Muhyiddin untuk mengharamkan atau menamatkan operasi Kelab Umno mahupun Kelab Aspirasi yang ditaja Umno di IPTA dan IPTS S seluruh negara dan luar negara yang secara jelas membuktikan keterlibatan Umno ke dalam kampus.

Demikian juga, katanya dicabar mengheret Puteri Umno ke mahkamah kerana secara terbuka beraktiviti di dalam kampus, yang terbaru di UiTM Shah Alam melibatkan pelancaran Skuad Vogue Puteri Umno Malaysia.

Beliau menambah, AMK juga mencabar Ketua Pemuda Umno dan MCA, Khairy Jamaluddin dan Wee Ka Siong yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak mahasiswa berpolitik untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka tanpa sebarang dolak dalih di sebalik alasan 'akur dan taat kepada kepimpinan parti'.

“Realitinya, mahasiswa merupakan ejen perubahan massa. Mewujudkan budaya ketakutan ke atas mahasiswa di Malaysia, hanya mengesahkan apa yang dinukilkan oleh penyair Indonesia lewat puisinya Takut '66 Takut '98, "Presiden (Perdana Menteri) Takut Pada Mahasiswa!,” ujarnya.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook pula mengutuk keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

“DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan Kabinet pada hari ini yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik,” ujarnya.

Ini, katanya merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar-pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

“Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Tambahnya, keputusan Kabinet pada hari ini menunjukkan bahawa Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan.

Keputusan itu juga, ujarnya membuktikan bahawa sayap Pemuda Barisan Nasional khasnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

“Malahan, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan ini juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri,” katanya lagi

Tegasnya, DAPSY akan terus mendesak supaya Auku dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

DAPSY, ujarnya yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan.

“Keputusan Kabinet hari ini akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda pada pilihanraya umum yang ke-13 kelak,” katanya lagi.
Harakahdaily  

No comments: