Friday, August 27, 2010

Hukum syariah mampu atasi gejala sosial

ALOR SETAR, 19 Ogos: Hanya undang-undang syariah yang mampu untuk mengatasi masalah gejala sosial yang sedang menjadi satu serangan besar kepada masyarakat dan rakyat negara ini kebelakangan ini.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria sebagai mengulas masalah pembuangan bayi yang semakin ketara kini.

Menurut beliau lagi, undang-undang syariah bukan saja mampu untuk menghukum pesalah tetapi juga berperanan mendidik serta memberi pelajaran kepada masyarakat supaya menghindari perbuatan tersebut.

"Pelaksanaan undang-undang syariah yang begitu longgar adalah antara punca pelbagai gejala sosial semakin berleluasa di dalam negara ini. Ia juga membuktikan Kerajaan Pusat yang sedia ada gagal dan lemah kerana sering akur kepada desakan segelintir pertubuhan bukan kerajaan yang kononnya untuk mempertahankan hak asasi manusia," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, masalah keruntuhan moral yang begitu meruncing dalam negara menunjukkan ianya adalah satu kegagalan kepimpinan Kerajaan Pusat yang enggan merujuk kepada undang-undang Islam yang mana ia mampu memberi kesejahteraan kepada seluruh umat manusia.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sebanyak 257,000 bilangan anak luar nikah bagi tempoh 2005 hingga 2008 telah didaftarkan.

Jumlah ini juga mempamerkan betapa seriusnya gejala sosial yang berlaku dalam negara akibat daripada kegagalan pihak berwajib untuk melaksanakan undang-undang syariah sepertimana yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Tambahnya lagi, undang-undang syariah amat jelas kerana ia adalah bagi menjaga agama, nyawa, keturunan, maruah, akal serta harta benda.

"Oleh kerana itu maka pelaksanaan hukuman lebih berat sepertimana yang diuar-uarkan kebelakangan ini sepatutnya dikaji semula supaya ia tidak akan menimbulkan kesulitan lain pada masa yang datang," ujarnya lagi.


No comments: