2010/08/20 PAHLAWAN Negara, Pegawai Waran I (B) Kanang anak Langkau, menyifatkan tiada kebebasan yang lebih hebat selain daripada nikmat mencapai kemerdekaan dengan rakyat bebas untuk bergerak ke mana-mana tanpa ada perasaan takut atau bimbang.
Kanang yang menjadi penerima tunggal dua pingat tertinggi negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) berkata, beliau bangga menjadi seorang rakyat Malaysia malah usia mudanya habis digunakan bagi mempertahankan negara ini.
Katanya, erti menjadi seorang rakyat Malaysia adalah terlalu besar kerana apabila melihat kembali keadaan di negara tertentu, negara ini bertuah kerana dapat menyelesaikan masalah ancaman dengan cepat berbanding negara tertentu yang masih bergolak.
"Sesiapa saja yang menjadi rakyat Malaysia adalah bertuah kerana di negara kita semua dapat hidup dalam keadaan damai dengan tiada halangan bagi kita berpegang pada agama, adat dan budaya masing-masing.
"Dulu kerajaan terpaksa membelanjakan banyak wang bagi menangani ancaman dengan usaha membangunkan kawasan luar bandar berhadapan banyak kesukaran, tetapi hari ini kita semua sudah bebas melakukan apa saja dikehendaki asalkan ia tidak menyalahi undang-undang," katanya kepada Berita Harian.
Kanang berkata, kesusahan hidup serta kesedihan melihat rakan seperjuangan gugur menjadi pendorong untuk terus mempertahankan negara walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri.
"Saya lahir dalam keluarga susah dan dibesarkan tanpa ayah, ketika itu tiada siapa yang memberi semangat atau inspirasi untuk berjaya tetapi selepas menyertai askar, semangat mahu berjuang timbul dengan sendiri sama seperti kata keramat 'agi idup agi ngelaban'.
"Namun perjuangan itu tidak harus berakhir di sini, kerana kita perlu meneruskan usaha membangunkan negara dan menolong rakyat miskin serta memajukan lagi ekonomi negara agar suasana tenteram dapat dikekalkan," katanya.
Beliau berkata, merdeka memberi erti tersendiri kepada dirinya berdasarkan pengalaman terpaksa bertempur dengan musuh, mengalami kecederaan serta melihat ramai anggota pasukan keselamatan gugur di medan pertempuran.
"Saya tidak pernah kesal berjuang mempertahankan negara, tetapi sedih dengan sikap segelintir rakyat yang tidak mahu mengambil tahu apa erti kemerdekaan,” katanya.
Ulasan: Lawan tetap lawan. Bebaskan Malaysia dari penjajahan BN.
No comments:
Post a Comment