Wednesday, September 16, 2009

Aktivis hak asasi kecam undang-undang rejam di Aceh

JAKARTA 15 Sept. - Aktivis hak asasi di Indonesia hari ini mengutuk pelaksanaan undang-undang Islam yang mengenakan hukuman rejam hingga mati ke atas pesalah zina di wilayah Acheh, dengan menyifatkannya sebagai 'kejam dan merendahkan martabat'.

Undang-undang tersebut yang disokong puak konservatif di Aceh, juga turut mengenakan hukuman sebat sehingga 400 kali ke atas kesalahan rogol, minum arak, homoseks dan judi.

Undang-undang itu diluluskan oleh penggubal undang-undang wilayah utara pulau Sumatera itu, semalam, bagi menggantikan elemen kanun jenayah Indonesia dengan Syariah atau undang-undang Islam bagi umat Islam.

Ia mengenakan penalti hukuman mati ke atas mereka yang berkahwin dan 100 kali sebatan bagi yang belum berkahwin jika didapati bersalah berzina.

"Undang-undang yang diluluskan di Aceh itu sungguh kejam dan menjatuhkan martabat kemanusiaan," dakwa Ketua Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Komnas HAM), Idfhal Kasim kepada AFP.

Kasim berkata, golongan sekular dan kumpulan hak asasi akan mengemukakan rayuan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono agar pelaksanaan undang-undang tersebut dikaji semula.

"Semua ini akan membawa Aceh kembali kepada kehidupan silam. Membaling batu (ke atas pesalah zina) seolah -olah Aceh masih berada pada tahun 1940-an dan 50an," kata Kasim, yang menyifatkan ia akan mendorong golongan konservatif untuk memperluaskan undang-undang Syariah ke peringkat kebangsaan pula.

Undang-undang kontroversi itu diluluskan di Acheh beberapa minggu sebelum perhimpunan baru wilayah-wilayah lebih sederhana yang dikuasai oleh Parti Aceh yang didominasi bekas pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM) mengambil alih kuasa.

Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf sendiri yang merupakan bekas pejuang GAM menentang pelaksanaan undang-undang Syariah.

Irwandi telah menggesa kelulusan rang undang-undang itu ditangguhkan.

Ma'ruf Amin, ketua Majlis Ulama Indonesia, badan utama Islam di negara ini, bagaimanapun menyambut baik undang-undang baru itu.

"Majlis menyokong penuh pelaksanaan undang-undang Syariah di wilayah yang sedia menerimanya seperti di Aceh, yang mempunyai kuasa autonomi. Ini bukan soal ia bagus atau tidak.

"Bagi orang Islam, undang-udang Syariah adalah yang terbaik dan ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, di mana sahaja. Selagi semua pihak bersetuju, ia tidak ada masalah," kata Ma'ruf.

Aceh telah melaksanakan undang-undang Syariah yang sederhana sejak 2001 sebagai sebahagian pakej autonomi yang diberikan oleh Jakarta untuk mematahkan sentimen menyokong kemerdekaan di kalangan penduduk tempatan.

Puak pemisah Aceh mula melancarkan penentang terhadap kerajaan Indonesia pada 1976 dan tamat pada 2005 melalui satu perjanjian damai. – AFP

Ulasan: Bagi orang Islam di mana sahaja, undang-undang Syariah adalah yang TERBAIK dan ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, di mana sahaja.  Tahniah kepada Aceh kerana menjadi guru kepada dunia yang semakin rosak ini. Zina hanya merendahkan martabat kaun wanita. Selepas ini marilah kita berdepan dengan masalah penyelewengan, mencuri dan rasuah pula...


No comments: