Perdana Menteri berkata, sekarang bukannya waktu untuk mereka berdebat atau mengupas sesuatu isu secara retorik kerana perbuatan seperti itu tidak akan memberi faedah terhadap usaha memajukan negara.
''Dalam proses Malaysia memasuki fasa menuju ke arah negara maju selepas 52 tahun merdeka, kita harus sedar bahawa banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa kita hadapi. Dunia sekarang telah berubah dan menuntut kita bekerja lebih keras.
''Oleh itu untuk berhadapan cabaran serta perubahan yang berlaku, negara amat memerlukan amalan politik yang lebih matang. Elakkan sebarang perdebatan dan perkara yang bersifat retorik," katanya dalam blog 1Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, saranannya itu amat berkait rapat dengan usaha kerajaan untuk membina kekuatan dan semangat yang tinggi di kalangan rakyat dan pemimpin negara ini dalam mencapai cita-cita tersebut.
''Negara ini kita akan wariskan kepada generasi akan datang dan saya amat berharap dengan kerjasama semua pihak tidak kira kaum kita mampu menyediakan negara yang mempunyai masa depan lebih cerah untuk mereka," katanya.
Dalam pada itu Najib berkata, erti kemerdekaan amat bermakna buat dirinya kerana beliau membesar ketika negara baru mencapai kemerdekaan daripada British.
''Saya lahir empat tahun sebelum negara merdeka. Pada masa itu negara ini masih baru dan muda dan saya menyaksikan bagaimana negara ini mengalami perubahan. Saya akui semangat patriotik saya amat tinggi.
''Saya juga adalah anak kepada salah seorang Perdana Menteri dan anak saudara kepada seorang lagi Perdana Menteri. Semangat patriotik mereka mengalir ke dalam diri saya. Seperti mana mereka, saya juga berjanji dan berjuang untuk kesejahteraan negara ini," katanya.
Sementara itu beliau berkata, usia 52 tahun merdeka bukan satu masa yang panjang tetapi dalam tempoh tersebut Malaysia berjaya mengecapi pelbagai kejayaan antaranya daripada negara berteraskan pertanian kepada negara berasaskan pembuatan serta perkhidmatan.
''Begitu juga dengan kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan. Pada tahun 1957, lebih sebahagian rakyat kita hidup dalam keadaan miskin tetapi pada masa ini kurang daripada empat peratus mereka yang hidup dalam keadaan miskin.
''Usaha ini (pembasmian kemiskinan) akan diteruskan dan kejayaan ketika menurunkan kadar kemiskinan adalah hasil daripada tumpuan kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendidikan serta kesihatan.
Ulasan: Jangan hanya bercakap, tetapi perlukan pelaksanaan selalu.
1. Pembangunan ialah hak rakyat dan hindarkan dari menjadi modal politik. Elakkan juga merampas demokrasi melalui jalan belakang.
2. Oleh kerana negara ini akan diwariskan kepada generasi akan datang, maka berhati-hatilah dengan penyelewengan dan rasuah kerana akan menyebabkan negara kehilangan sumber. Wajar untuk jadikan negara kita bebas rasuah.
3. Semangat patriotik bermula dari dalam diri kerana sayangkan negara bukan berpeluang untuk mengikis khazanah negara.
4. Ramai lagi rakyat biasa yang bukan anak kepada salah seorang Perdana Menteri dan bukan anak saudara kepada seorang lagi Perdana Menteri tetapi semangat cintakan negara sangat tinggi. Apakah mengharapkan semangat patriotik generasi lalu mengalir ke dalam diri kita? Kitalah mesti membina jiwa merdeka dalam diri kita.
No comments:
Post a Comment