Monday, September 07, 2009

Kerajaan Pusat kencing Rakyat Pendang

ISU BANJIR :

“Mana peruntukan tangani banjir?” 

PENDANG 07 September 2009– Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman mengesa Kerajaan Pusat agar dapat menunaikan beberapa janji mereka untuk menangani masalah banjir di kawasan Pendang yang kerap berlaku setiap tahun apabila hujan turun berlarutan.

Menurutnya, Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika melawat daerah Pendang sebelum ini berjanji akan memberi peruntukan bagi menangani masalah banjir di kawasan ini.

Sebanyak RM27 juta dijanjikan untuk mendalamkan Sungai Pendang dan kerja-kerja pembersihan tetapi menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga kini belum mendapat apa-apa peruntukan daripada projek itu.

“Setiap tahun daerah ini pasti akan dilanda banjir teruk di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti setiap tahun berlaku disebabkan kawasan rumah mereka yang rendah dan berdekatan Sungai Pendang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hayati berkata, Sungai Pendang dan beberapa sungai lain seperti Sungai Chegar, Sungai Rambai yang cetek tidak dapat menampung aliran air yang banyak yang mengalir dari hulu sungai menyebabkan air melimpah ke penempatan penduduk.

Beliau berkata, antara mangsa yang dipindahkan setiap tahun kebanyakan terdiri daripada mereka yang sama kerana kawasan penempatan mereka berada di kawasan rendah berdekatan Sungai Pendang yang sering kali berlaku banjir.

Selain Kerajaan Pusat berjanji untuk mendalamkan Sungai Pendang, penduduk juga dijanjikan penempatan semula di kawasan yang jauh dari sungai bagi mengelak berlakunya banjir, tetapi sehingga kini tiada apa-apa berita diperolehi.

“Hanya kawasan tanah saja telah disediakan oleh pihak kerajaan tempatan. Sehingga kini peruntukan untuk membangunkan kawasan tersebut tidak ada,” katanya.

Beliau berharap segala janji Kerajaan Pusat tersebut dapat ditunaikan dan langkah seberapa segera perlu diambil demi kebaikan semua pihak. 

http://kedahlanie.blogspot.com/2009/09/isu-banjir-kerajaan-pusat-kencing.html

No comments: