KUALA LUMPUR 31 Ogos - Seramai 200 remaja termasuk 60 perempuan ditahan dalam operasi 'Masih Ada Yang Sayang' kerana terbabit dalam kegiatan tidak bermoral ketika sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 awal pagi ini.
Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar Ampang Jaya dalam operasi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor, bermula pukul 1 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 pagi ini.
Operasi itu diadakan bagi membendung golongan muda yang semakin cenderung menyambut ambang kemerdekaan dengan melakukan kegiatan dan aktiviti yang tidak bermoral.
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah untuk diberi khidmat kaunseling, ceramah dan motivasi.
Pengerusi Perkid, Masridzi Sat berkata, kebanyakan remaja yang ditahan dalam operasi itu berusia lingkungan 20-an.
Operasi Masih Ada Yang Sayang merupakan operasi khas yang dianjurkan Perkid untuk memantau kegiatan tidak bermoral golongan muda terutamanya ketika ambang perayaan Tahun Baru dan Kemerdekaan.
Apa yang menarik ialah mereka yang ditahan tidak dihukum, sebaliknya pendekatan berdakwah secara halus diguna pakai untuk menangani dan menasihat remaja berkenaan kerana ia dianggap lebih berkesan.
Ulasan: Mengapa kita bersusah-payah mengambil peluang untuk merosakkan diri dan orang lain? Diri dan maruah kita bukanlah untuk diratah lahap oleh orang yang tiada ikatan nikah dengan kita. Dimanakah jiwa merdeka?
No comments:
Post a Comment