Wednesday, December 24, 2008

Jangan dikomersialkan kenduri kahwin

JOHOR BAHRU 23 Dis. - Majlis perkahwinan tidak sewajarnya dikomersialkan seolah-olah menjadi satu perniagaan besar-besaran yang mengutamakan keuntungan.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot berkata, trend majlis perkahwinan artis yang ditaja pihak korporat, wajar diperhalusi supaya tidak lari daripada matlamat sebenar diadakan majlis itu.

"Tidak wajar jika pihak yang menaja majlis perkahwinan itu bermatlamat semata-mata mendapatkan keuntungan melampau, misalnya menerusi penajaan iklan dan hak penyiaran.

"Bagaimanapun, jika ada unsur sukarela, kerjasama dan tolong menolong antara kedua belah pihak, tanpa wujud kepentingan perniagaan atau peribadi yang berlebihan dan bukannya untuk ambil kesempatan, maka ia dibolehkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini

Beliau berkata demikian bagi mengulas trend perkahwinan artis tempatan yang diadakan secara besar-besaran dan mendapat tajaan pihak korporat, malah disiarkan secara langsung di televisyen.

Tanpa merujuk kepada mana-mana artis, Nooh berkata, penajaan pihak korporat dalam majlis perkahwinan yang bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial dengan mengadakan jamuan makan kepada orang ramai dan meraikan pasangan pengantin juga diharuskan.

Katanya, matlamat diadakan majlis perkahwinan adalah mengumumkan atau memberitahu orang ramai tentang hubungan perkahwinan sah antara pasangan pengantin bagi mengelakkan fitnah.

Beliau berkata, kenduri diadakan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan untuk berterima kasih kepada saudara mara serta rakan-rakan yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan perkahwinan itu.

Katanya, majlis perkahwinan secara besar-besaran dibolehkan sekiranya mempunyai kemampuan dan tidak berniat untuk bermegah.

"Bagaimanapun, dalam apa pun perkara, yang terbaik adalah melakukannya dengan penuh kesederhanaan.

"Berjimat cermat, perlu sederhana, jangan sampai jadi bakhil dan jangan pula boros berlebihan sehingga membazir," katanya…

Ulasan: Pastikan majlis kenduri kahwin yang kita susah-susah anjurkan itu mendapat redha Allah. Antaranya elakkan percampuran bebas sewaktu mengambil makan dan juga makan bersama-sama. Usahakan di asingkan jemputan berdasarkan jantina. Pengantin perempuan pun hendaklah berpakaian mengikut adab Islam.

Pemberian beg cenderamata kenduri membazir
KEPALA BATAS 23 Dis. - Amalan memberi beg cenderamata kepada tetamu pada majlis kenduri kahwin yang menjadi trend ketika ini disifatkan sebagai membazir.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim memberitahu, lazimnya beg tersebut berisi makanan tradisional dan dianggarkan kosnya sekitar RM2.

Katanya, memandangkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, beliau merasakan amalan itu wajar dihentikan.

''Membazir, kos beg RM1, begitu juga dengan dodol dan bahulu yang diisi dalam beg itu berharga RM1. Lebih baik duit itu digunakan untuk membeli keperluan lain.

''Memang ketika ini musim kenduri. Enam, tujuh kenduri sehari. Kadang-kadang saya dapat tujuh beg sehari begitu juga isteri saya. Ini membazir kuih yang banyak itu tiada siapa yang mahu makan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis penyerahan bantuan pakaian seragam sekolah 2008 oleh Perda di Dewan Budi Penyayang di sini hari ini.

Di majlis itu, seramai 350 pelajar miskin sekitar Seberang Perai menerima sumbangan tersebut berupa baju, seluar, stokin dan beg sekolah bernilai RM160 setiap seorang.

Menurut Azhar, apabila ditanya tuan rumah pemberian beg itu sudah menjadi amalan ketika ini dan ia wajar diikut.

''Jadi ikut-ikutan. Jika tidak buat orang lain kata apa pula. Itu sebabnya. Bagi saya ia membazir dan wajar dihentikan," katanya…

Ulasan: Hentikan pembaziran di majlis keduri kahwin kerana orang yang membazir di anggap sebagai saudara syaitan.

Australia silap dakwa doktor warga India
SYDNEY 23 Dis. - Kerajaan Australia hari ini mengaku melakukan kesilapan demi kesilapan pada peringkat tertinggi apabila pihaknya mendakwa seorang doktor India kerana disyaki terlibat dengan keganasan di United Kingdom (UK) pada 2007.
Peguam Negara, Robert McClelland berkata, undang-undang antikeganasan Australia akan dipinda selepas satu laporan rasmi mendapati polis Australia tidak mempunyai sebarang bukti untuk mendakwa Dr. Mohamed Haneef berhubung percubaan meletupkan bom di Glasgow, Scotland dan London…

Ulasan: Negara maju tidak malu melakukan kesilapan. Mungkin negara kita tidak pernah melakukan kesilapan demi kesilapan pada peringkat tertinggi apabila pihaknya menangkap atau mendakwa seseorang?

No comments: