Tuesday, December 16, 2008

Siapa luluskan 99 projek lereng bukit?

KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 telah mengemparkan seluruh rakyat Malaysia. 15 tahun lalu, ditempat yang sama kondominium Highland Towers tumbang menyembah bumi. Kejadian terbaru di Bukit Antarabangsa ini membuktikan ada pihak yang tidak mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku. Malah lebih teruk lagi ada pula yang cuba mengambil sikap lepas tangan atas kesilapan yang telah lama mereka lakukan.
Untuk mendapatkan maklumat tentang pembinaan projek-projek di lereng-lereng bukit yang dikatakan melanggar undang-undang yang telah diluluskan pada tahun 2001, Harakah mendapatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa yang juga Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang sudi untuk mendedahkan penyelewengan ini.
Nota: Pada tahun 2001 sudah ada satu garis panduan yang diwartakan yang disebut Total Planning Guide Line yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Di mana garis panduan ini menetapkan pembangunan di kategori tiga iaitu cerun di atas 25 darjah dan empat iaitu cerun di atas 35 darjah mestilah dihentikan serta merta. Garis panduan serta undang-undang sudah ada pada tahun 2001 tetapi kelulusan masih diberikan pada tahun 2004 hingga 2007. Maknanya, undang-undang sudah tidak dihormati lagi. Undang-undang sudah diluluskan pada tahun 2001 tetapi kenapa dari tahun 2004 hingga 2007 terdapat 99 projek lereng bukit yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri yang sememangnya BN? (Harakah, 16 Disember 2008 | 17 Dzulhijjah 1429 Hijrah).

Ulasan: TPM Najib sendiri mendedahkan pemaju telah melobi dan mendesak kerajaan melaksanakan projek pembinaan di kawasan bukit. Persoalan yang timbul sepanjang BN/UMNO memerintah ialah siapa yang sebenarnya berkuasa: kerajaan yang di beri mandate oleh rakyat ATAU wang rasuah dari pemaju dan kontraktor? Terbukti lagi dan lagi bahawa kerajaan BN/UMNO ternyata sukar mengawal diri dari rasuah dan terlalu sayangkan wang daripada rakyat.

Harga petrol, diesel turun kali ke-7
PUTRAJAYA 15 Dis. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini, kali ketujuh sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, petrol RON97 diturunkan daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter, manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.80 kepada RM1.70 sen seliter.
“Penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter ini adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.
“Berkuat kuasa tarikh yang sama (tengah malam ini) juga, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen seliter daripada RM1.43 kepada RM1.30 seliter seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini,” kata Perdana Menteri.
Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.35 (RM165.73) setong.
Harga minyak petrol dan diesel mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong…

Ulasan: Ini berlaku dalam keadaan BN/UMNO semakin lemah. Bagus juga kalau rakyat memilih parti yang lain selain BN/UMNO untuk menjadi kerajaan Malaysia. Kerajaan yang sebenarnya ialah yang tegak membela rakyat bila-bila masa pun.

BPR tutup kes menantu Nik Aziz
KOTA BHARU 15 Dis. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menutup siasatan berhubung dakwaan penyelewengan kuasa oleh Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan pelantikannya sebagai pegawai kanan di perbadanan itu.
Pengarah BPR negeri, Mohd. Jaafar Hussen berkata, pihaknya mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh Ariff Fahmi Abdul Rahman yang juga menantu kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dakwaan surat layang terhadapnya adalah tidak berasas.
“Seperti biasa apabila siasatan selesai pihak kita telah menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan jabatan itu pada bulan lalu telah mengarahkannya ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebelum majlis penutupan Seminar Pencegahan Rasuah Melalui Kawalan Sistem yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah II BPR, Datuk Zakaria Jaafar di sini hari ini.
Mohd. Jaafar ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap Ariff Fahmi yang mula disiasat oleh BPR pada 7 Ogos lalu, setelah pihaknya menerima surat layang yang turut disebarkan kepada pihak media berhubung salah laku menantu Nik Abdul Aziz itu…

Ulasan: Macam mana dengan siasatan 18 kes berprofil tinggi?

Wartakan larangan pembangunan
KUALA LUMPUR 15 Dis. – Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mendapati masih banyak kawasan tadahan air di negara ini yang belum diwartakan sebagai kawasan larangan pembangunan, pertanian dan pembalakan.
Pengarah Eksekutifnya, Dr. Loh Chi Leong berkata, keadaan itu menyebabkan banyak aktiviti dijalankan di sekitar kawasan tadahan air tanpa kawalan undang-undang.
Beliau berkata, di sesetengah tempat, permit membalak masih dikeluarkan oleh pihak berkuasa walaupun ia merupakan kawasan tadahan air.
‘‘Justeru, kami menggesa kerajaan menerusi Jabatan Perhutanan mewartakan kawasan tadahan air di negara ini sebagai kawasan larangan pembangunan secepat mungkin,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan kerajaan dan pihak berwajib bagi menangani kemungkinan tiga empangan air utama di Lembah Klang pecah dalam jangka masa panjang jika kerja-kerja pembangunan di sekelilingnya tidak dihentikan segera.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Pengerusi Eksekutif, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail bahawa tiga empangan iaitu Empangan Langat, Empangan Semenyih dan Empangan Klang Gates menghadapi kemungkinan tersebut….

Ulasan: Banyak undang-undang tidak berjalan bila pemerintah gemarkan rasuah. Jom pilih kerajaan yang SIFAR RASUAH.

No comments: