Harakahdaily
KOTA BHARU, 4 Jun: "Mengapa kita bercakap pasal prosedur undang-undang, mereka bunuh orang Islam tak ikut undang-undang, mereka sekat Gaza sampai mati kebuluran itu ikut undang-undang? Adakah Israel sebelum ini menghormati undang-undang?" soal Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latif Ahmad berhubung kenyataannya bahawa reaksi awal parti pembangkang yang mendesak dunia Islam agar bertindak segera terhadap kekejaman Israel yang menyerang konvoi kemanusiaan ke Gaza sebagai tong kosong dan berunsurkan politik.
"Dia (pembangkang) mengambil inisiatif tong kosong, mereka bercakap dan tak buat apa-apa, saya rasa mereka sebenarnya tak tau prosedur kerana mereka tak pernah jadi pemerintah, sementara kita ada pengalaman bukan kali pertama rakyat kita di tahan oleh macam-macam organisasi.
"Selama ini pendekatan kita amat positif dan membuahkan hasil, kita tak bolehlah ikut pembangkang,” kata Abd Latif selepas merasmikan persidangan mesyuarat cawangan Umno bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, jika demikian reaksi Abd Latif maknanya Umno sebenarnya yang berpolitik.
"Persoalannya kenapa tidak terima usul yang dibawa oleh Presiden (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) supaya diadakan sidang tergempar bagi membincangkan khusus tentang insiden tersebut?
"Kalau dia kata tin kosong, Dewan Rakyatlah tempat yang terbaik untuk kita menyatakan hasrat," katanya lagi.
Bagaimanapun, tegas Mujahid, Pakatan Rakyat (PR) akan meminta Dewan Rakyat membahaskan isu bantuan kemanusiaan yang disekat itu pada hari pertama persidangan yang bermula pada 7 Jun ini.
No comments:
Post a Comment