KUALA LUMPUR 2 Jun - ''Saya tidak takut mati.''Tegas Pengerusi Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Palestin, Noorazman Mohd. Samsuddin mengenai ancaman yang diterima ketika kapal Mavi Marmara yang dinaikinya ditawan tentera Israel, pagi kelmarin.
Noorazman berkata, meskipun dikepung tentera rejim yang diketahui dunia sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan, beliau tidak gentar berhadapan dengan sebarang kemungkinan.
''Saya tidak ada rasa takut. Biarlah apa hendak berlaku termasuk kematian kerana pada fikiran saya ketika itu adalah untuk melaksanakan misi kemanusiaan terhadap penduduk Palestin yang ditindas.
''Apa yang saya dan aktivis kemanusiaan lain lalui sepanjang ditahan tentera Israel cukup memeritkan.
''Tangan kami diikat, ada yang ditendang, ditembak malah terbunuh dalam serangan berkenaan. Ia jelas menunjukkan Israel sangat kejam kepada sesiapa sahaja,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Noorazman kini berada di Jordan dan masih menunggu persiapan yang diatur Wisma Putra untuk membawa beliau dan 11 sukarelawan lain pulang ke tanah air.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi (waktu Malaysia) kelmarin, 19 orang dilaporkan terbunuh dan ramai lagi cedera apabila komando Israel menyerang Mavi Marmara yang mendahului beberapa kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah serta peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.
Wisma Putra semalam mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada di dalam Mavi Marmara selamat.
Noorazman berkata, ketika serangan, beliau berada di tingkat tiga kapal berkenaan bersama beberapa rakan senegara dan aktivis luar.
''Tentera Israel pada awalnya menembak kapal menggunakan peluru getah. Mereka kemudiannya bertindak melepaskan peluru hidup.
''Ada juga aktivis Malaysia yang terkena peluru getah. Tetapi kecederaan yang mereka alami tidak serius.
''Selepas berjaya menawan, kami semua diarah duduk di atas lantai dengan tangan diikat menggunakan tali sebelum dibawa ke pusat tahanan tentera Israel di Vir Sheba,'' ujarnya.
Beiau berkata, cara tentera Israel bertindak sememangnya sangat kasar, tanpa menghiraukan bahawa mereka yang berada di atas kapal adalah aktivis kemanusiaan.
''Untuk menahan Mavi Marmara, mereka menggunakan 25 kapal perang dan 35 bot komando termasuk helikopter.
''Semasa di pusat tahanan, saya menjangkakan kami semua akan ditahan selama sebulan atau lebih. Tetapi, Alhamdulillah kami dibebaskan awal,'' katanya.
Ditanya mengenai keadaan di pusat tahanan Israel di Vir Sheba, Noorazman memberitahu, ia adalah pusat tahanan baru dan belum didiami sesiapa sebelum ini.
''Ada beberapa bahagian pusat tahanan itu masih dalam proses pembinaan,'' katanya sambil menambah bahawa mereka dijangka pulang ke tanah air Jumaat atau Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment