Felda: Benteng menanah
http://cetusan-hati.blogspot.com/
Felda terbangun dari keringat dan azam politik. Dalam membangun warganya, terdengar suara rungutan seakan ada penindasan dalam bantuan. Jika tidak dengan lingkungan terkongkong, barangkali warganya telah jauh lebih makmur.
Namun, sedikit peraturan yang kurang memihak kepada warga yang keringatnya ditumpahkan dikatakan mustahak untuk menghasilkan kejayaan kolektif dalam bentuk lembaga besar Felda yang kaya raya.
Tekanan itu disamakan dengan pengorbanan.
Hari ini, jika warga Felda yang telah berkorban itu dikhianati, wajarkah kita berdiam diri?
Hari ini, tanda-tanda Felda telah dikhianati muncul satu demi satu, tetapi jawapannya yang memuaskan hati tidak muncul seperti dinanti.
1. Benarkah Felda telah melabur RM 500 juta, ulang, RM 500 juta di Boston & Cincinatti di Amerika tiga tahun lalu? Apa jadi dengan pelaburan dalam Twin Rivers INC?
Benarkah pelaburan ini telah hangus?
Benarkah RM 500 juta ini bukannya pelaburan tetapi cara untuk wang Felda 'dileburkan'?
Tentulah pelaburan sebesar itu dibuat dengan pertimbangan yang halus dan sebab yang menasabah. Kerana pelaburannya besar, jawapan yang terang sangat dinantikan.
Jika pelaburan itu dibuat dengan pertimbangan teliti, mustahil ia boleh lesap begitu sahaja.
Jika pertimbangannya hanya kerana mengikut telunjuk satu dua orang sahaja, kita tidak tahu berapa banyak lagi wang Felda 'lebur' dengan cara ini. Apa lagi, jika 'peleburan' itu memang dirancang dan ada yang girang mengaut keuntungan darinya.
2. Kenapa Felda mengambil keputusan membina bangunan ibu pejabatnya di premis termahal sehingga kosnya melambung? Adakah Felda merasa ia telah menjadi elit ekonomi dan perlu mengasingkan diri di tempat ekslusif dengan membelanjakan wang titik peluh lebih seratus ribu warganya yang setengahnya masih merempat?
Dari asalnya kos hanya sekitar RM 220 juta, kini meningkat melebihi RM 660 juta. Apakah faedah yang akan diperolehi oleh para peneroka Felda?
Adakah Felda memerlukan bangunan bertaraf tujuh bintang setaraf dengan KLCC?
Siapakah yang membuat keputusan ini? Apa asas keputusan ini?
Jawapan telus dan berterus teranglah yang akan membantu Felda terus utuh dan harapan warga Felda tidak punah.
Pengakuan Kerajaan di Dewan Rakyat bahawa akaun Felda telah merosot berbillion ringgit dalam sekelip mata membuktikan berita-berita tentang wang Felda diurus sesuka hati mula menampakkan ada kebenarannya.
Namun, penjelasan Kerajaan hanya mengukuhkan apa yang kita dengar. RM 2 billion yang kononnya surut kerana digunakan untuk program tanam semula semacam mengiyakan wang sebanyak itu memang telah hilang.
Bagi menjawab wang iu memang telah hilang tetapi mengelakkan warga Felda melenting, ia dikaitkan dengan tanam semula. Padahal, tabung tanam semula telah sedia wujud dari potongan para peneroka dan ia telah diletakkan dalam akaun yang berasingan. Satu perkara dua kali kira.
Rakyat, terutama orang Melayu perlukan jawapan. Jawapan yang paling baik ialah melantik odit bebas dengan satu laporan di Parlimen diperlukan. Bukan hanya jawapan politik Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
Lagi pun, Felda bukan milik UMNO. Felda tidak harus dibenarkan 'cair' bersekali dengan trend bocornya kerugian satu demi satu konglomerat negara kita.
Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kerajaan Kelantan.
Ulasan: Ceritanya sama sepanjang 53 tahun UMNO memerintah negara – pemimpin mereka dalam pelbagai peringkat menghabiskan duit rakyat untuk menambahkan harta peribadi melalui kroni. Masanya sudah tiba untuk rakyat menjadi hakim dan memilih hanya orang yang berakhlak dan berwibawa menjadi pemimpin yang mentadbir negara kita.
No comments:
Post a Comment