KUALA LUMPUR 2 Jun – ‘‘Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.’’
Demikian kata wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26, ketika menceritakan pengalaman ngeri dan layanan diterimanya semasa ditahan tentera Israel selepas kapal Mavi Marmara yang dinaikinya diserang tentera rejim itu, pagi kelmarin.
Menurut Ashwad, dia tidak menyangka Israel akan bertindak menyerang kapal tersebut kerana mereka yang menaikinya hanyalah orang awam serta aktivis keamanan.
“Malam Ahad lalu, pada pukul 7.45 malam, saya sempat menghubungi bilik berita Astro Awani dan menghantar e-mel kepada editor untuk memaklumkan bahan berita yang akan saya hantar nanti.
“Namun, pada pukul 11 malam, saya dapat laporan bahawa tentera Israel sudah mengepung kami dan kemudiannya bertindak menyerang sekitar 2.45 pagi esoknya.
“Tentera Israel datang dan menyerang secara bertubi-tubi menggunakan peluru hidup. Saya sempat merangkak di atas lantai yang berlumuran darah untuk menyelamatkan diri,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi (waktu Malaysia) kelmarin, 19 orang dilaporkan terbunuh dan ramai lagi cedera apabila komando Israel menyerang Mavi Marmara yang mendahului beberapa kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah serta peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.
Ashwad dan seorang lagi krew Astro Awani, Shamsulkamal Abdul Latip, 43, dilaporkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Istanbul, Turki pada 23 Mei lalu sebelum ke Pelabuhan Antalya, dengan menaiki kapal tersebut untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan itu.
Semalam, Wisma Putra mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada di dalam Mavi Marmara berada di dalam keadaan selamat.
Mengulas lanjut, Ashwad berkata, selain bot dan kapal tentera milik Israel, tiga buah helikopter turut digunakan oleh tentera rejim untuk menawan Mavi Marmara.
‘‘Ketika cuba melarikan diri, tanpa saya sedari seorang tentera Israel sudah menghalakan laser penentu sasaran senapangnya ke kepala saya.
‘‘Saya sudah tidak boleh berbuat apa-apa dan bertindak menyerah diri serta bertawakal kepada Allah.
‘‘Tangan saya kemudiannya diikat dan diarah supaya berada di atas dek kapal. Kapal kami kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod,’’ jelasnya.
Kata Ashwad, sebaik tiba di pelabuhan dan menjalani pemeriksaan, kesemua mereka telah ditahan di sebuah penjara di Vir Sheba.
‘‘Sepanjang diikat di atas kapal dan dalam perjalanan ke penjara yang mengambil masa 12 jam, kami tidak diberikan makanan.
‘‘Cuma dapat minum air sahaja. Di penjara pula, kami hanya diberi makan roti dan sayur. Kami diherdik dan dilayan seperti banduan,’’ jelasnya.
Ashwad turut menafikan dakwaan tentera Israel bahawa Mavi Marmara membawa senjata.
‘Ketika diserang, krew kapal hanya gunakan pili bomba untuk menyemburkan air bagi menghalang tentera Israel menaiki kapal.
‘‘Disebabkan diserang, mereka hanya menggunakan besi-besi yang ada di atas kapal untuk mempertahankan diri,’’ jelasnya.
Mengenai keadaan Shamsulkamal, katanya, ketika diserang tentera Israel, kelibat jurukamera itu tidak dapat dilihatnya.
‘‘Kami terpisah dan saya tidak tahu di mana dia berada ketika itu. Syukur, kerana kami dapat berjumpa semula di Jordan selepas dibebaskan.
‘‘Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz dan kami akan mengadakan pertemuan serta mesyuarat untuk proses pulang ke tanah air,’’ tambahnya.
No comments:
Post a Comment