Monday, June 07, 2010

Heret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan bersama dengan negara-negara lain yang berjuang prinsip hak asasi manusia bagi mengheret dan menghukum Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Mereka mengutuk sekeras-kerasnya tentera laut Israel menyerang kapal menghantar barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza, menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 19 orang dan lebih 30 cedera.

Tindakan zalim dan pembunuhan Israel terhadap sukarelawan kemanusiaan bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa; sekatan barangan bantuan kemanusiaan kepada orang Palestin yang perlu diselamatkan, telah mencabul hak asasi rakyat negara itu untuk mendapatkan keperluan hidup.

Bagi mereka, sungguhpun kerajaan Israel telah melepaskan 124 orang termasuk 12 orang warga negara Malaysia, kerajaan Malaysia harus mengambil tindakan terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel.

Mereka juga menyarankan rakyat negara ini supaya terus meneliti perlakuan kejam dan penganiayaan rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang bertentangan dengan konvesyen antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan itu termasuk menduduki tanah Palestin, membina kawasan kediaman di tanah yang diduduki, meroboh rumah dan mengusir orang Palestin, membina tembok pemisah bagi menyekat tanah wilayah Palestin secara haram, menutup lima pintu masuk perbatasan di sekitar Tebing Barat Israel dan Gaza serta mengawal pengedaran barangan, menyerang kawasan kediaman Palestin dengan senjata berat yang membunuh ramai orang Palestin yang tidak bersalah.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa masyarakat antarabangsa mesti memberi tekanan berterusan kepada Israel supaya kembali ke meja perundingan dan meminta Amerika Syarikat tidak lagi membenarkan tindakan ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia oleh Israel.

No comments: