UMNO - kenapa nak sangat Ulama'?
Oleh: sunsnake08
Reputasi UMNO memang diketahui umum tercalar sangat teruk dengan isu kelulusan judi bolasepak ini. Didalam keadaan prestasi bolasepak Malaysia yang lagi teruk daripada Tanzania ini, sememangnya langkah kerajaan tidak bersangkut-paut langsung dengan usaha meningkatkan mutu bolasepak negara.
Sekalipun Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO telah mengumumkan menarik balik sebarang kelulusan lesen judi bolasepak, tindakan kerajaan Malaysia gagal memahami dosa dan kesalahan judi ini benar-benar menyebabkan rakyat Malaysia terutama golongan atas pagar 'berfikir semula' sokongan mereka kepada UMNO. Malahan ahli-ahli UMNO sendiri ramai yang mendesak agar kerajaan mengkaji semula tindakan tersebut.
Didalam suasana yang kelam-kabut inilah sekonyong-konyongnya UMNO mula bercakap mengenai perlunya kumpulan ulama' didalam UMNO. Entah bagaimana mereka mendapat ilham tidaklah diketahui tetapi jelas ini adalah suatu tindakan seolah-olah cuba melenyapkan persepsi rakyat yang mula meragui akan keperihatinan UMNO terhadap hukum-hakam Islam.
Untuk mengatakan UMNO memainkan isu ulama' ini untuk memadamkan reputasi PAS sebagai Parti yang bertunjang Islam adalah mustahil kerana dasar perlembagaan UMNO sendiri meletakkan bangsa Melayu sebagai asas perjuangannya! Manakan mungkin Islam mampu didaulatkan melalui perjuangan kebangsaan? Hakikatnya sejak merdeka sehingga sekarang UMNO jelas gagal mendaulatkan Islam malahan telah 'berjaya' menghancurkan sahsiah umat Islam di Malaysia yang bermajoritikan bangsa melayu.
Pada pendapat penulis, usaha UMNO dengan mengusahakan kemasukan kononnya 40 orang ulama' sebagai bukti UMNO serius mahukan Islam adalah suatu retorik yang sangat sia-sia! Manakan mungkin ulama'-ulama' muda ini mampu mereformasikan 'Islam' UMNO sedangkan sekian banyak golongan agama yang akhirnya menjadi 'tukun tiruan' didalam organisasi UMNO.
Nama-nama seperti Firdaus di Pulau Pinang, Masyitah di Kedah dan Najmuddin Elias di Perak adalah antara nama-nama besar golongan agama yang terbukti hanya digunakan oleh UMNO dalam usaha meng'halal'kan apa-apa tindakannya menentang arus hukum-hakam Islam.
Kesimpulannya, usaha UMNO membawa berpuluh agamawan ini adalah suatu usaha yang pastinya akan sia-sia kerana Islam adalah agama kebenaran. Kepura-puraan dalam Islam adalah suatu yang tidak mungkin akan secocok-cocok dengan kemenangan dan adalah mustahil Islam akan berjaya didaulatkan didalam UMNO.
Seringkali UMNO menuduh PAS menggunakan Islam sebagai alat tetapi hakikatnya kini UMNO melihat kebenaran Islam yang dibawa oleh PAS sebagai senjata yang mampu menghancurkan asabiyah mereka!
Sumber: sunsnake@budakbalun 27062010
Ulasan: Rasululah SAW pun tidak menggunakan kaedah bekerjasama dengan pemimpin besar Quraisy seperti Abu Jahal dan bapa saudaranya Abu Lahab walaupun pihak Quraisy bersetuju untuk menerima Rasulullah SAW sebagai pemimpin tertinggi/raja.
No comments:
Post a Comment