Wednesday, November 04, 2009

Belajarlah di satu sekolah

KUALA LUMPUR 3 Nov. - "Untuk menjadi bangsa Malaysia, sekurang- kurangnya belajarlah untuk pergi ke sekolah yang sama." Itulah luahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran di negara ini.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, masyarakat pelbagai kaum di negara ini diberikan begitu banyak kebebasan dan menikmati kadar toleransi yang amat tinggi terutama daripada masyarakat Melayu.

"Di Filipina, jangan harap hendak ada sekolah Cina atau India. Di Indonesia pun jangan harap, di Thailand belajar guna bahasa Thailand, nama pun kena tukar, di sini semuanya bebas, tetapi paling kurang pergilah ke sekolah yang sama," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pertunjukan seni Rhythm of the 21st Century - Monologues of Raja Shahriman. 

Beliau mengulas cadangan agar sistem persekolahan satu aliran diperkenalkan di negara ini.

Kata Dr. Mahathir, beliau merupakan pemimpin yang pernah mencadangkan penubuhan Sekolah Wawasan yang mengekalkan semua ciri-ciri sekolah pelbagai aliran tetapi hanya berkongsi kemudahan sekolah sahaja secara bersama.

Namun, cadangan itu pun ditolak sepenuhnya.

Masalahnya kata beliau, ia berpunca daripada golongan pendidik Cina yang mahu menjadikan pendidikan aliran mereka umpama di negara China.

Katanya, golongan pendidik Cina kalau boleh tidak mahu anak-anak Cina bersentuh pun anak-anak kaum lain terutama Melayu.

"Tidak ada negara di dunia ini yang mengamalkan sistem tiga aliran," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan padu terhadap cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran berkenaan kerana perpaduan yang terbaik akan hanya dapat dibentuk melalui pendidikan.

No comments: