Thursday, November 19, 2009

Tanah longgar, hujan punca tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

SHAH ALAM 18 Nov. - Ikatan tanah yang longgar pada cerun yang ditambak semasa pembangunan dan kurang penyelenggaraan merupakan antara punca kejadian tanah runtuh di Taman Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang pada 6 Disember tahun lalu.

Jawatankuasa Teknikal Kajian Tanah Runtuh dalam laporannya juga memberitahu, kerosakan sistem perparitan di kawasan cerun serta hujan lebat yang kerap pada Oktober dan November turut menjadi punca kejadian.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan laporan itu berkata, rekahan tanah yang berterusan menyebabkan rekahan sedia di kawasan perumahan tersebut bertambah besar.

''Faktor-faktor ini diburukkan lagi dengan kebocoran saluran paip di sepanjang kawasan projek perumahan terbengkalai di kawasan berkenaan.

''Kebocoran saluran paip yang aktif di kawasan perumahan terbengkalai telah meningkatkan kandungan air dalam tanah di kawasan cerun,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 6 Disember tahun lalu, 14 rumah mewah di kawasan itu musnah dan lima nyawa terkorban. 

Menurut Abdul Khalid, jawatankuasa berkenaan juga mengenal pasti tiga siri gelinciran yang mengakibatkan tanah runtuh pada hari kejadian dengan setiap satu berlaku selang tiga hingga lima minit.

''Tanah runtuh berkenaan melibatkan kawasan seluas empat hektar," katanya.

Tambahnya, jawatankuasa itu yang dianggotai beberapa jabatan kerajaan dan swasta seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kumpulan Ikram Sdn. Bhd. turut mencadangkan beberapa langkah bagi mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, antara langkah itu adalah membaik pulih sistem perparitan di kawasan itu, memasang alat pengesan di kawasan berisiko tinggi, mengadakan pemantauan di kawasan cerun yang mempunyai rekahan serta menjalankan penyelengaraan terhadap sistem perparitan dan kumbahan secara berkala…. 

Ulasan: Selalunya tindakan manusia (bersungguh melakukan sesuatu yang tidak mengikut peraturan atau lalai mengikut peraturan) menyebabkan berlakunya kemalangan.

No comments: