DALLAS 3 Nov. - Sebuah pengendali klinik kesihatan Texas menyatakan kesal kerana memberitahu seorang doktor beragama Islam yang memohon pekerjaan bahawa dia tidak boleh memakai tudung dan akan menjelaskan polisi syarikat berhubung penyesuaian beragama untuk pekerja.
Dr. Hena Zaki sebelum ini berkata, dia terkejut apabila pegawai CareNow memberitahunya sendiri bulan lalu dan kemudian melalui e-mel, bahawa polisi syarikat yang melarang pemakaian topi turut melibatkan tudung atau hijab.
Berpangkalan di Coppel, syarikat CareNow yang mempunyai lebih 20 buah klinik kecemasan ringan di kawasan Dallas-Fort Worth menyifatkan, larangan pemakaian tudung itu sebagai satu salah faham dan pihaknya merancang untuk melatih pekerja mengelak kekeliruan pada masa depan.
"Kami berharap untuk bertemu dengan Dr. Hena dan berbincang tentang peluang kerja yang mungkin ada. Doktor muda yang pintar sepertinya sentiasa dicari syarikat kami,'' kata Presiden CareNow dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu.
Majlis Hubungan Amerika-Islam Washington (CAIR) turut menulis kepada CareNow dan menjelaskan undang-undang persekutuan memerlukan majikan mengikut budi bicara bagi menyesuaikan amalan beragama oleh seseorang pekerja.
"Kami gembira bahawa hak melaksanakan amalan agama semua pekerja dan bakal pekerja CareNow diakui dan dihormati,'' kata jurucakap CAIR, Ibrahim Hooper semalam.
Dr. Hena dari Plano, sedang mengikuti satu lawatan ke sebuah klinik CareNow di sub bandar Allen, utara Dallas apabila seorang pengarah perubatan daerah, Dr. Martin Jones memberitahu Dr Hena, dia tidak mahu doktor wanita itu terkejut semasa orientasi bahawa polisi tanpa topi yang diamalkan syarikat turut melibatkan tudungnya.
Selepas menghantar e-mel kepada jabatan sumber manusia CareNow bertanyakan polisi tersebut, pengarah perubatan Dr. Marc Anduss memberi maklum balas ia adalah benar.
Suami Dr. Hena, Rehan Zaki berkata, isterinya masih belum menentukan sama ada dia masih berminat untuk bekerja dengan CareNow.
"Matlamat utama kami adalah untuk memastikan dalam situasi seperti ini, terdapat hitam putih berhubung penyesuaian beragama yang ketat dalam buku panduan pekerja,'' ujarnya. – AP
Ulasan: Hidup beragama indah dan bahagia.
No comments:
Post a Comment