Thursday, November 05, 2009

Dipenjarakan secara salah & diseksa: 5 tahanan Muslim terima bayaran

NEW YORK 4 Nov. - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan membayar sebanyak AS$1.26 juta (RM4.3 juta) kepada lima lelaki beragama Islam yang ditahan selama berbulan-bulan tanpa dakwaan selepas serangan 11 September 2001, setelah mereka memfailkan saman kerana dipenjarakan secara salah dan diseksa.

Kelima-lima mereka mendakwa dilayan tanpa perikemanusiaan dan menghinakan di pusat tahanan Brooklyn, termasuk kurungan seorang diri, dipukul teruk, dihambur kata-kata kesat berterusan dan dihalang daripada berhubung dengan anggota keluarga dan peguam.

Peguam untuk Pusat Hak Perlembagaan (CCR), Rachel Meeropol yang membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan Brooklyn berkata, ia adalah bayaran penyelesaian terbesar setakat ini berhubung dakwaan penyeksaan di AS.

Menurut CCR, Jabatan Kehakiman bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan yang difailkan pada 2002 itu selepas beratus-ratus pendatang ditahan dan dipenjarakan selama berbulan-bulan selepas insiden serangan 11 September itu.

Jurucakap Jabatan Kehakiman gagal dihubungi bagi mendapatkan sebarang ulasan mengenai kes itu, yang mana kerajaan AS tidak mengakui bertanggungjawab atau melakukan kesalahan.

Kelima-lima lelaki itu akan dibebaskan selepas didapati tidak mempunyai kaitan dengan keganasan sebelum diusir keluar.

Salah seorang daripada mereka, Yasser Ebrahim akan menerima bayaran tertinggi berjumlah AS$356,250 (RM1.2 juta) tidak termasuk yuran guaman.

"Selepas tujuh tahun yang panjang, saya lega kerana dapat membina semula kehidupan. Kami telah dinafikan hak dan diseksa hanya kerana agama dan warna kulit kami," kata Yasser. – REUTERS

Ulasan: Mahkamah dunia mungkin adil mungkin tidak. Hujungnya nanti semua kita akan menyaksikan mahkamah akhirat dan setiap diri akan bertanggung jawab apa yang kita lakukan.

No comments: