Tuesday, November 03, 2009

Presiden Indonesia arah siasatan komplot menjatuhkan KPK

JAKARTA 2 Nov. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (gambar) hari ini mengarahkan siasatan mengenai dakwaan terdapatnya komplot untuk menjatuhkan Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK), badan yang dianggap sebagai senjata utama dalam kempen memerangi rasuah dan usaha untuk menarik pelaburan.

Susilo akan mengeluarkan perintah presiden bagi menubuhkan sebuah pasukan bebas yang akan menyiasat penahanan dua timbalan ketua KPK, kata Menteri Hal-Ehwal Keselamatan dan Politik, Djoko Suyanto.

"Petang ini, penubuhan sebuah pasukan bebas bagi mengesahkan fakta dan proses undang-undang berkaitan penahanan Chandra Hamzah dan Bibit Samad Riyanto telah dipersetujui," kata menteri itu.

Keputusan itu dibuat selepas desakan semakin lantang disuarakan hari ini supaya Susilo mempertahankan KPK.

Kesanggupan Presiden untuk berbuat demikian dilihat sebagai ujian utama komitmen beliau terhadap melaksanakan pembaharuan demokratik ketika beliau baru memulakan penggal keduanya sebagai Presiden.

Aktivis antirasuah menuduh polis memfailkan tuduhan palsu dalam penangkapan dua timbalan ketua KPK minggu lalu, dengan tujuan untuk melemahkan kuasa badan tersebut, setelah ketua KPK digantung tugas beberapa bulan lepas dan dibicarakan atas tuduhan membunuh.

Chandra dan Bibit, dua daripada empat timbalan ketua KPK, didakwa menyalahgunakan kuasa kerana mengeluarkan larangan perjalanan yang tidak wajar ke atas seorang suspek rasuah, tetapi mereka menafikan tuduhan itu.

Kes tersebut meningkatkan tentangan terhadap pasukan polis dan menimbulkan cabaran getir bagi kerajaan baru Susilo yang mengangkat sumpah bulan lepas untuk berkhidmat selama lima tahun lagi.

"Inilah masanya untuk Susilo menunaikan janjinya kerana terdapat usaha tersusun untuk menjejaskan kempen memerangi rasuah di Indonesia," kata Timbalan Pengarah Eksekutif badan pemantau rasuah, Tranparency International cawangan Indonesia, Rezki Wibowo...

Ulasan: Sudah tentu orang yang seronok menikmati rasuah selama ini tidak bergembira bila KPK menjerat di sana sini untuk membawa yang terlibat ke muka pengadilan. Rakyat seluruh dunia menyokong penuh usaha KPK.


No comments: