KUALA LUMPUR 4 Nov. – Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memberikan wang ihsan petroleum kepada Kelantan mulai tahun depan. Perdana Menteri berkata, pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri berkenaan.
Ini kerana, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, daripada segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu tiada hak menuntut royalti kerana pada masa ini tiada pengeluaran petroleum dari perairan kedua-dua negeri itu yang ditakrif lebih tiga batu nautika (5.55 kilometer) dari tikas air surut atau pesisir.
Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu berkata, wang ihsan itu akan diberi dalam bentuk projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan di Kelantan…
Dalam pada itu, suasana dalam Dewan Rakyat menjadi panas antara penyokong kerajaan dan pembangkang yang mempertikaikan penggunaan istilah wang ihsan, bukannya royalti.
Salahuddin dalam soalan tambahannya meminta penjelasan Najib mengapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya royalti seperti termaktub dalam Akta 144 Petronas.
“Istilah wang ihsan timbul selepas Pas memerintah Terengganu sedangkan dalam akta itu jelas menyebut royalti bukan wang ihsan, kami rakyat Kelantan memperjuangkan hak kami, tiada bumi Malaysia tanpa negeri dan pantai Kelantan.
“Rakyat Kelantan bukannya peminta sedekah, mereka hanya mahukan hak mereka yang jelas termaktub dalam peruntukan undang-undang, minta penjelasan,” katanya.
Najib kemudian menjawab: “Janganlah cuba mempolitikkan perkara ini, tidak habis-habis dengan politik.”
Ketika inilah wakil pembangkang membuat kecoh dengan mencelah mempertikaikan jawapan Perdana Menteri itu, antaranya Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam).
“Buktikan 1Malaysia, bayarlah... itu adalah hak Kelantan,” kata Dzulkefly.
“Hak ini mesti diiktiraf, orang Kelantan dah tolak BN. Prinsipnya ialah keadilan, royalti ini bukan hak Pusat tetapi milik Kelantan,” celah Khalid.
“Saya tetap tidak berpuas hati. Kenapa istilah wang ihsan digunakan, bukannya royalti?” kata Salahuddin.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang turut mencelah berkata: “Inilah jenis manusia, apabila diberi tetapi tidak mahu dan tidak pandai mengucapkan terima kasih. Perdana Menteri sudah beri penjelasan, apa lagi nak jelaskan.
“Saya cadangkan peruntukan ini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) kerana ia adalah hak Kerajaan Persekutuan.”..
Ulasan: Lebih baik semak semula perjanjian asal di antara Peronas dan Kelantan dan melaksanakan sahaja tanggungjawab membayar royalti sekiranya memang terdepat dalam perjanjian itu. Kalau betul tidak ada peruntukan Petronas dalam perjanjian itu untuk membayar royalti barulah kerajaan BN boleh menjaja seluruh dunia pemberian wang ehsannya kepada rakyat Kelantan.
Tiada guna kita membuat perjanjian @ kontrak tapi tidak mengotakannya. Lebih baik mansuh saja Akta Kontrak yang di guna pakai selama ini. Juga apa hak di sisi undang-undang untuk kerajaan BN menahan Petronas daripada membayar royalti?
No comments:
Post a Comment