JABALIYA 20 Jan. - Kemusnahan yang berlaku di Genting Gaza akibat bedilan Israel selama lebih tiga minggu, digambarkan sebagai sepuluh kali lebih dahsyat daripada gempa bumi.
Rumah, kilang dan pohon zaitun yang dahulunya berdiri tegak di sebuah kawasan di pekan utara Gaza ini habis musnah dan kini hanya tinggal timbunan runtuhan.
"Kemusnahan ini sepuluh kali lebih dahsyat daripada apa yang berlaku selepas gempa bumi," kata seorang jurutera, Ashraf Faraj, 42.
Tidak ada sebuah pun bangunan yang masih berdiri sejauh beberapa ratus meter di kawasan perumahan Qirem dan Abed Rabbo di pekan ini,.
Jabaliya adalah antara kawasan pertama yang dicerobohi oleh tentera Israel yang membedil wilayah ini selama 22 hari dalam usaha untuk menumpaskan pejuang Hamas.
Seorang ahli perniagaan, Mohammad Hassan yang berumur 52 tahun tidak dapat menahan sebak apabila melihat kemusnahan di depan matanya.
Beliau telah kehilangan segala-gala termasuk rumahnya, depot tempat beliau menyimpan barang serta hotel yang dibinanya sebagai tempat penginapan untuk pelanggan.
"Mengapa mereka memusnahkan segala-galanya," rintih Mohammad yang lebih dikenali sebagai Abu Rami, tokoh popular di wilayah miskin ini.
Anggaran pertama oleh penaksir bebas menunjukkan, aset bernilai hampir AS$2 bilion (RM7 bilion) hancur musnah di Gaza, termasuk 4,100 rumah, 1,500 kilang dan bengkel, 20 masjid, 31 pejabat keselamatan dan 10 saluran bekalan air atau kumbahan.
Kebanyakan penduduk Gaza seperti Mohammad menjadi bingung melihat kemusnahan begitu meluas dan berkata, mereka tidak tahu bagaimana hendak memulakan kerja pembersihan…
&
Bantuan berbilion dolar diperlukan
NEW YORK 20 Jan. - Bantuan kemanusiaan berjumlah ratusan juta dolar diperlukan segera untuk membantu 1.4 juta penduduk di Genting Gaza manakala berbilion-bilion dolar diperlukan bagi membina semula bangunan dan infrastruktur yang musnah di wilayah Palestin itu.
Ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), John Holmes berkata, sesetengah kawasan kediaman hampir ranap sama sekali dan banyak rumah hanya tinggal timbunan runtuhan.
Air kumbahan mengalir di jalan raya dan bom yang masih hidup juga menimbulkan ancaman besar kepada penduduk, katanya semalam.
Walaupun bekalan air paip dapat dipulihkan kepada 100,000 penduduk kelmarin, namun 400,000 penduduk lagi masih tidak mendapat air bersih dan bekalan elektrik hanya disalurkan tidak sampai setengah hari, menurut pegawai kanan PBB itu.
Sejumlah 100,000 penduduk hilang tempat tinggal dan keperluan untuk bekalan makanan serta rawatan perubatan amat besar.
"Mungkin tidak jelas siapa sebenarnya yang memenangi konflik ini, kalau pun konsep tersebut membawa apa-apa makna di Gaza tetapi saya fikir adalah nyata siapa yang menjadi mangsa dan mereka adalah penduduk awam di Gaza dan sebilangan kecil penduduk awam di selatan Israel," kata Holmes kepada wartawan di ibu pejabat PBB di sini.
Menurut angka korban terbaru Kementerian Kesihatan Palestin, seramai 1,314 orang termasuk 416 kanak-kanak dan 106 wanita terkorban di Gaza manakala 5,320 lagi termasuk 1,855 kanak-kanak dan 795 wanita cedera.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon memberitahu wartawan di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir kelmarin, beliau akan menghantar satu pasukan PBB untuk mentaksirkan keperluan kemanusiaan penduduk di Gaza. - AP
Ulasan: Janganlah kita biasanya sewaktu berkuasa membuat kerosakan di muka bumi, sesudah Allah memperbaikinya. Apakah alasan yang akan di kemukakan nanti di depan Allah?
No comments:
Post a Comment