KUALA LUMPUR 22 Jan. – Rakyat Malaysia secara puratanya mengambil 25 sudu teh atau 125 gram gula sehari.
Jumlah itu bersamaan dengan 3.75 kilogram atau 750 sudu teh sebulan.
Hasil kajian itu tahun lalu, Kementerian Kesihatan merumuskan kira-kira 95 peratus rakyat di negara ini dikategorikan sebagai penghidap masalah ketagihan gula dalam pemakanan seharian.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad (gambar) berkata, corak pengambilan itu juga secara tidak langsung menjadikan rakyat Malaysia sebagai pengguna gula yang paling tinggi di Asia Tenggara.
‘‘Masalah ketagihan gula ini dikatakan turut menjadi punca masalah penyakit diabetes yang dihidapi 3.6 juta orang di negara ini.
‘‘Bukan itu sahaja, gula juga menjadi punca 62 peratus wanita serta 48 peratus lelaki di negara ini menghidap obesiti iaitu masalah kegemukan melampau,’’ katanya ketika dihubungi hari ini…
&
Ketagihan gula tahap serius
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Rakyat negara ini tidak menyedari pada setiap hari mereka mengambil gula dari pagi hingga malam.
Pengambilan gula itu dilakukan secara sedar atau tidak sedar menerusi tabiat makan dan minum yang 'mewajibkan' rasa manis.
Pegawai diet dari Hospital Kuala Lumpur, L. Mageswary berkata, mereka bersarapan dengan teh tarik dan kuih-muih yang manis seolah-olah satu kemestian dalam menu.
Katanya, bagi makanan tengah hari dan malam pula, mereka mengambil minuman ringan, teh O, air sirap bandung dan bubur kacang yang menyamai lima sudu teh gula.
''Hakikatnya, semua makanan tersebut menggunakan susu pekat manis dan bukan susu berkalori rendah. Ia mempunyai kandungan gula tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai senario ketagihan gula di kalangan rakyat negara ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, hasil kajian tahun lalu mendapati rakyat Malaysia secara puratanya mengambil 25 sudu teh atau 125 gram gula sehari. Jumlah itu bersamaan dengan 3.75 kilogram atau 750 sudu teh sebulan.
Hasil kajian itu, Kementerian Kesihatan merumuskan, kira-kira 95 peratus rakyat di negara ini dikategorikan sebagai penghidap masalah ketagihan gula dalam pemakanan seharian.
Mageswary berkata, menerusi pemerhatiannya dalam kerja harian, kebanyakan pesakit kencing manis telah memilih antara teh tarik dan sirap manis berkrim dalam rutin pemakanan mereka sebelum itu.
Sementara itu, pakar pemakanan dari Hospital Pantai Mutiara, Pulau Pinang, Evelyn Chieng menyifatkan ketagihan rakyat Malaysia terhadap gula sebagai serius.
Beliau berkata, ini berikutan rata-ratanya mereka memilih untuk membeli makanan yang disediakan oleh penjaja.
Jelasnya, penjaja tidak akan teragak-agak menggunakan gula dengan banyak agar makanan lebih manis sekali gus lazat atau menyelerakan.
''Di pasaran, penjaja misalnya menjual makanan kegemaran rakyat negara ini termasuk kuih nyonya dan teh tarik yang sangat manis," katanya.
Ditanya mengenai kajian serta pemerhatian terhadap penggunaan gula secara berlebihan oleh rakyat negara ini, beliau berkata, usaha tersebut belum pernah dijalankan setakat ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Institut Kencing Manis Negara (NADI) pernah menjalankan kajian seumpama itu untuk memantau senario ketagihan gula oleh rakyat negara ini.
Ulasan: Dua benda berwarna putih yang kita belikan untuk keluarga kita adalah sebenarnya RACUN. Hidup lebih sihat tanpa GULA dan GARAM. Rasa membawa masalah kepada kesihatan kita.
No comments:
Post a Comment