Wednesday, March 25, 2009

GMP kekalkan perjuangan

KUALA LUMPUR 24 Mac - Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP-PPSMI) menolak dakwaan bahawa mereka mulai alpa dalam perjuangan menghapuskan PPSMI.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Ahmad menegaskan, pertemuannya dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini bertujuan memahami serta mendalami pendirian masing-masing berhubung isu pelaksanaan PPSMI.

''Malangnya, pertemuan dalam suasana yang ceria itu menimbulkan pelbagai persepsi dan tohmahan kepada GMP.

''Perjuangan kami masih kekal iaitu mahu memansuhkan pelaksanaan PPSMI dan ini sedang dalam kajian kementerian untuk dipertimbangkan termasuk akan diusulkan ke Kabinet dalam jangka masa terdekat,'' katanya pada sidang akhbar Gelombang Kedua GMP di Rumah Pena di sini hari ini.

Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Menurut Hassan, pertemuannya dengan Hishammuddin 19 Mac lalu dibuat dalam keadaan santai dan diplomasi.

Suasana itu, jelasnya, menimbulkan persepsi bahawa GMP tidak serius dan sudah alpa akan perjuangannya menghapuskan PPSMI.

Katanya, pandangan seperti itu tidak benar sama sekali dan GMP sehingga hari ini masih meneruskan usaha menghapuskan pelaksanaan PPSMI dan mendesak kerajaan menukar kembali dasar pembelajaran seperti sebelum tahun 2003.

''Malah, kami berjaya mengusulkan supaya dilakukan transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah dan prasekolah sebagai gantian kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

''Selain itu, perbincangan kami juga berkisar tentang perbincangan mewajibkan pengajian Sejarah di sekolah rendah,'' katanya.

Menyentuh tentang siasatan pihak polis berhubung tindakan GMP menganjurkan perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI, Hassan memberitahu, beliau telah memberi kenyataan kepada polis dan masih belum mendapat maklum balas.

''Saya difahamkan sekumpulan polis akan datang ke sini (Rumah Pena) hari ini untuk mendapatkan keterangan daripada kami.

''Tapi, masih belum muncul lagi. Tunggu dan lihat saja lah,'' katanya.

Ulasan: Lawan tetap lawan, kerana rakyat bersama-sama GMP. UMNO sebagai pagar yang makan padi. Lebih 50 tahun kita merdeka, rupa-rupanya UMNO masih mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu yang di ilhamkan oleh Tun Mahathir bersendirian yang jelas bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan. Pelaksanaan PPSMI adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan Seksyen 2 dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan BN/UMNO sendiri yang tidak patuh kepada undang-undang negara. Bagaikan ketam menyuruh anaknya berjalan betul.

1 comment:

محمد إدريس said...

Teaching science and maths in English can have grave effects on Malaysia. Read my latest blog entry to find out more.

Thanks!