Tuesday, March 31, 2009

Kes cerai di Johor tertinggi

JOHOR BAHRU 30 Mac - Johor merupakan negeri yang mencatatkan kes penceraian tertinggi sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 2,023 kes.

Jumlah itu merangkumi hampir 19 peratus daripada keseluruhan kes penceraian yang dilaporkan di seluruh negara iaitu sebanyak 10,668 kes.

Jika dikira secara purata, lebih daripada lima kes penceraian dilaporkan dalam sehari di negeri ini.

Fakta itu yang menggemparkan penduduk negeri ini didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (gambar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Persoalannya, mengapa kes penceraian begitu tinggi di negeri ini?.

Bagi menjawab soalan itu, pandangan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut yang menyatakan trend 'kahwin hutang' dan kemampuan kewangan yang lemah menjadi antara punca utama penceraian, perlu diberi perhatian serius.

Menurut beliau, kini, sudah menjadi kelaziman kepada kebanyakan orang untuk meminjam daripada bank bagi membiayai hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi dan majlis kenduri perkahwinan secara besar-besaran.

Katanya, akibat berbelanja di luar kemampuan, pasangan suami isteri akhirnya dibebani hutang sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga dan keadaan tentu menjadi lebih buruk jika mereka tinggal di kawasan dengan sara hidup yang tinggi.

Beliau malah berkata, trend kahwin hutang itu juga dikhuatiri menyebabkan perkahwinan tidak mendapat berkat.

"Jika pinjaman dilakukan mengikut hukum Islam, tidak mengapa. Tetapi jika ada unsur riba, dibimbangi ia tidak mendapat berkat.

"Namun sebaik-baiknya elakkan daripada meminjam dan berbelanja mengikut kemampuan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi meneliti pandangan Nooh itu, Utusan Malaysia menjalankan sedikit kaji selidik ke atas seorang responden yang hanya mahu dikenali sebagai Azman dan tinggal di Johor Bahru, berhubung beban hutang ditanggungnya untuk menampung majlis perkahwinan.

Azman yang berusia lewat 20-an, berkelulusan ijazah sarjana muda dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan bekerja di sektor awam dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan, perlu menanggung isteri dan seorang anaknya.

Menurutnya, dengan pendapatan itu, dia tidak mampu menyimpan kerana semua wang gaji bulanannya digunakan untuk menyara keluarga dan membayar pelbagai hutang.

Katanya, termasuk dalam hutang itu adalah pinjaman bank sebanyak RM20,000 yang digunakan untuk membiayai hantaran perkahwinan sebanyak RM8,000 dan selebihnya untuk majlis kenduri perkahwinan serta pembelian kelengkapan rumah.

Disebabkan itu, katanya, ada masanya dia terpaksa meminjam daripada saudara-mara dan rakan-rakan apabila berlaku perkara di luar jangkaan seperti kerosakan yang perlu diperbaiki pada kenderaan dan rumah.

Berikut (lihat infografik) adalah antara perbelanjaan utama Azman dalam sebulan yang menyamai gaji bulanannya, kira-kira RM3,000.

Jelas, daripada soal selidik itu, sumber kewangan Azman tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarganya.

Itu bagi Azman yang mempunyai pekerjaan setaraf kelulusan ijazah sarjana muda dimilikinya, namun bagaimana pula dengan golongan berpendapatan rendah? Tentu terdapat tanggapan yang menyatakan sukar untuk melayari alam perkahwinan.

Namun, katanya, masalah berkenaan sebenarnya boleh diatasi sekiranya pasangan sentiasa menghayati ajaran Islam yang antara lain menganjurkan umatnya bersederhana dalam kehidupan.

Dengan cara itu, pasangan yang ingin berkahwin tidak perlu meminjam wang sebaliknya berbelanja mengikut kemampuan kerana membazir amat dibenci dalam ajaran Islam.

Beliau berkata, ia termasuk menganjurkan majlis kenduri perkahwinan yang ringkas, sederhana tetapi meriah di samping mengelakkan mengenakan wang hantaran yang jumlahnya keterlaluan hingga membebankan.

Justeru, Nooh menggesa agar semua pihak meneliti semula kadar hantaran yang terlalu tinggi dan elakkan pembaziran dengan mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.

No comments: