Tuesday, March 10, 2009

Tiada dalang dalam GMP

KUALA LUMPUR 9 Mac – “Saya sendiri tidak rela dipanggil boneka kerana apa yang saya perjuangkan ini adalah berdasarkan kepada akal dan ilmu saya.

“Saya boleh berfikir, ada jiwa, saya makhluk Allah dan saya bukan monyet. Tidak ada dalang di belakang GMP tetapi jika hendak cakap juga, terserahlah.’’

Demikian ditegaskan Pengerusi Gerakan Memansuhkan Pendidikan dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad ketika menafikan bahawa perjuangan menghapuskan dasar itu tidak pernah didalangi mana-mana pihak.

Beliau berkata, ia sebaliknya terbit daripada kesedaran para pejuang bahasa untuk memartabatkan bahasa Melayu dan bahasa ibunda di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak tertentu tidak menuduh GMP sebagai alat tunggangan politik pembangkang hanya semata-mata adanya pembabitan pemimpin parti pembangkang dalam perhimpunan dan perarakan kelmarin.

Sambil mengingatkan GMP bukannya boneka yang mudah diperalatkan oleh mana-mana pihak termasuk parti politik, beliau berkata, pejuang bahasa dalam badan itu mempunyai prinsip, maruah dan teras perjuangan yang jelas.

“Tidak ada dalang dalam perhimpunan dan perarakan yang berlaku kelmarin. Semuanya berlaku secara spontan iaitu atas kesedaran masing-masing. Bagi saya mereka merupakan penyokong kepada perjuangan GMP.

“GMP bukannya boneka dan GMP juga bukan wayang kulit. Satu penghinaan bagi kami jika ada orang yang sanggup menggelar kami dengan perkataan itu. Kami bukan alat mana-mana pihak,’’ tegasnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat GMP di rumah Pena di sini hari ini.

Semalam Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI jelas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan kelmarin.

Hishammuddin berkata, berdasarkan apa yang berlaku jelas memperlihatkan bahawa pertimbangan mereka bukanlah bersandarkan perjuangan pendidikan kerana sanggup melanggar undang-undang, mengaitkan institusi istana dan mencemarkan imej masjid.

Dalam hubungan ini Hassan berkata, matlamat GMP jelas iaitu mahu kerajaan mengembalikan semua dasar lama iaitu pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik hendaklah diajar dalam bahasa Melayu dan bahasa ibunda masing-masing bagi kaum Cina dan India dan bukannya bahasa Inggeris.

“Misi GMP jelas iaitu PPSMI perlu dimansuhkan segera kerana ia akan merosakkan bahasa Melayu dan bahasa ibunda secara keseluruhannya.

“PPSMI akan menyekat perkembangan bahasa Melayu khususnya sebagai bahasa sains dan teknologi.

“Dasar yang lama dahulu sudah cukup baik dan sudah cukup cantik tetapi mengapa tiba-tiba ia diubah hingga membantutkan perkembangan bahasa kita,” ujarnya.

Justeru katanya, jika perjuangan pihaknya itu mendapat sokongan daripada beribu-ribu orang termasuk pembangkang, badan itu tidak boleh menolaknya sebaliknya penghargaan perlu diberikan kepada mereka kerana mendokong misi GMP.

Ulasan: Tahniah kepada yang telah hadir ke Himpunan 100,000 Rakyat Memansuhkan PPSMI pada Sabtu, 7/3/09 di KL. Bersama-sama kita melakarkan sejarah perjuangan menyelamatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Cukuplah tulisan jawi lupus sewaktu UMNO memegang kuasa di negara ini. Selagi tidak di mansuhkan Dasar PPSMI oleh kerajaan BN/UMNO selagi itulah rakyat akan berhimpun lagi dan lagi menyatakan ketidakpuasan hati kita. Mana ada negara yang menjadi maju dengan meninggalkan bahasa sendiri? Mari kita pertahankan terus Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan bahasa ilmu seperti pernah berlaku sebelum ini (sehingga 2003).

1 comment:

awang kata said...

Saya kenal Dato' Hassan Ahmad dan saya percaya cakapnya bukan seperti cakap ahli politik yang berlidah dua.