Oleh Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi
Baru-baru ini saya terbaca tentang universiti awam kita yang gagal menduduki senarai 400 universiti terbaik dunia mengikut sistem penyenaraian Times Higher Education WorldUniversity Rankings. Mengejutkan. Atau perlukah kita terkejut?
Saya menulis rencana ini untuk menunjukkan bahawa institut pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia sudah hilang segala bentuk tanggungjawab dalam pembangunan bangsa (nation) dan hanya ghairah mengejar kedudukan ranking.
Mengapa saya mengajar di universiti
Apabila saya menyertai UTM, hampir 25 tahun lalu, apa yang saya mahu lakukan adalah semata-mata untuk menyelidiki seni bina Islam dan Malaysia, dan menggunakan pengetahuan itu bagi menghasilkan seni bina yang lebih bermakna kepada masyarakat kita di negara ini serta menyumbang kepada pembangunan intelektual dan pemikiran tentang seni bina Islam.
Saya berjanji pada diri sendiri untuk menulis seberapa banyak buku, kertas akademik, rencana media massa dan media elektronik untuk menyebarkan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan yang ada.
Saya juga berjanji pada diri saya bahawa saya mesti melatih sekurang-kurangnya 20 sarjana PhD yang akan membangunkan dua bidang akademik dan mewujudkan beberapa pusat seni bina Islam, masjid dan pembangunan komuniti, perumahan yang lebih baik dan seni bina kemasyarakatan. Itu sahaja.
Tidak pernah dalam sejarah kerjaya saya, terfikir saya untuk menjadi world class atau memaksa diri untuk “tokoh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa” atau membantu UTM menjadi satu daripada 10 universiti terbaik dunia. Tidak pernah sama sekali.
Mengapa? Semata-mata kerana saya rasa ilmu seni bina sepatutnya membantu kita hidup dalam persekitaran yang lebih bermakna dan berdaya mampan.
Saya juga mahu menghasilkan seberapa banyak alat bantuan pengajaran seperti video dan portal laman web yang akan menjadikan pembelajaran sebagai sesuatu yang menyeronokkan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga orang awam yang dapat membantu mempengaruhi dasar-dasar politik yang bakal mengubah undang-undang kecil pembinaan atau garis panduan untuk pembinaan masjid, rumah, sekolah, bangunan komuniti dan banyak lagi.
Setahu saya, tugas seorang ahli akademik adalah untuk membantu masyarakat memahami keadaan mengikut kepakaran dalam bidang khususnya. Bukan untuk mengejar geran bernilai berjuta-juta ringgit. Bukan untuk mendapatkan Geneva Award. Bukan untuk bergambar tersenyum lebar bersama dengan Perdana Menteri. Jika ditakdirkan pun saya mendapat ketiga-tiga perkara ini, baguslah, tetapi saya tidak akan keluh-kesah tak tidur malam memikirkan bagaimana mahu menjadi seorang superstar.
Apa yang IPTA lakukan hari ini
Apa yang telah berlaku kepada universiti-universiti kita sekarang? Naib-naib Canselor tidak peduli tentang pembangunan negara bangsa tetapi hanya berminat memperkenalkan dasar-dasar pengurusan yang akan membolehkan IPTA “melonjak jauh” memasuki sistem ranking bertaraf dunia.
Bagaimana mereka melakukannya? Mula-mula sekali mereka membuat promosi universiti melalui jurnal-jurnal antarabangsa terkenal yang mempunyai indeks penerbitan Scopus atau ISI. Dengarnya, untik disiarkan dalam kebanyakan jurnal ini, harga yang perlu dibayar amat mahal sekali.
Kemudian pengurusan universiti kita ini mengupah khidmat pakar asing yang mereka rasakan mampu menulis kertas akademik yang lebih baik daripada ahli akademik kita untuk mendapat pengiktirafan. Jadi, tidak banyak ruang untuk “sumbangan kepada komuniti dan masyarakat’ tetapi hanya untuk kertas akademik dan geran penyelidikan, dan begitulah seterusnya.
Ia menjadi satu perlumbaan yang gila dan saingan yang tidak masuk akal semata-mata mengejar pengiktirafan. Kini “pengiktirafan”, “world class”, “ranking” menjadi kata-kata hikmat dalam dunia akademik semasa.
Apa kesan keghairahan mengejar ranking
Apakah kesan daripada pendekatan baru ini kepada pengurusan universiti kita? Tidak ramai yang mahu menulis buku teks untuk pelajar. Hampir tidak ada ahli akademik yang mahu menulis rencana atau buku popular menjelaskan tentang ilmu pengetahuan mereka kepada masyarakat.
Setiap ahli akademik akan melihat pelajar pasca-siswazah mereka sebagai individu yang hanya menghasilkan kertas akademik yang bakal mengharumkan nama pensyarah sebagai sebagai penulis untuk jurnal akademik.
Penyelia pengajian PhD dan ijazah sarjana tidak peduli lagi tentang usaha memupuk sarjana tetapi hanya melayan pelajar sebagai orang suruhan untuk mengendalikan seminar, menulis kertas akademik, mencari data, dan melayan mereka sebagai pembantu makmal.
Bagaimana pula dengan sarjana dan ahli akademik muda? Selepas mendapat PhD mereka terpaksa berdepan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang menjadikan mereka tidak ada masa untuk renungan hidup.
Jadi apa yang sarjana muda ini lakukan? Lima dari mereka akan memeterai perjanjian bahawa jika seorang dari mereka, atau seorang dari mana-mana pelajar pasca-ijazah mereka menghasilkan satu kertas akademik, kesemua nama mereka akan terpampang di atas kertas itu.
Melalui cara ini, sarjana-sarjana muda ini akan memenuhkan CV masing-masing dengan pelbagai kertas akademik yang tidak ada kena-mengena dengan bidang kepakaran mereka.
Satu lagi bencana menimpa apabila sistem KPI yang berteraskan kertas akademik diamalkan. Pelajar pra-siswazah terkantong-kantong sendirian untuk mempertahankan kertas akademik mereka apabila pensyarah-pensyarah mereka terlalu sibuk mencari geran, terbang ke sana sini untuk menyampaikan syarahan dan menguruskan seminar, menulis kertas akademik atau naik turun pejabat Menteri untuk meminta itu dan ini.
Pemerintah sebagai inspirasi dunia akademik
Dahulunya penyelidikan dan pusat penyelidikan diwujudkan untuk merintis usaha pembangunan dalam bidang akademik yang akan membantu rakyat kita.
Tetapi hari ini saya melihat pusat-pusat pengajian ditubuhkan dan buku-buku diterbitkan atas isu-isu yang berkaitan dengan Perdana Menteri.
Saya pernah mendengar tentang sebuah IPTA yang memberi sejumlah besar peruntukan kewangan untuk kajian mengenai Islam Hadhari dari idea seorang bekas Perdana Menteri. Baru-baru ini pula satu penyelidikan dilakukan dan seminar diadakan tentang seni bina Bugis, semata-mata kerana seorang pemimpin besar negara adalah dari keturunan Bugis!
Naib-naib Canselor sibuk dengan permainan perhubungan awam kerana ingin menarik geran dan peruntukan, dan banyak masa dan usaha di IPTA telah ditumpukan kepada perhubungan awam.
Di manakah kewibawaan ahli akademik dan sarjana kita? Di manakah “jarak pendirian falsafah dan moral” di antara mereka dan pihak yang berkuasa? Jika ahli akademik dan sarjana terikat dan tunduk kepada pemerintah, siapa yang akan memberitahu rakyat tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu diubah?
Memang sentiasa ada ketakutan di kalangan ahli akademik bahawa mereka tidak akan dinaikkan pangkat jika mengigit tangan pemerintah.
Malah Majlis Profesor Negara kelihatanya sangat takut dan sanggup membodek pemerintah dan ini telah memalukan idealisme ketinggian moral dunia akademik.
Para profesor sepatutnya menjadi teras ilmu pengetahuan untuk kebaikan rakyat tetapi mereka memilih untuk membodek bagi mendapatkan pangkat, kedudukan, projek dan geran.
Saya lebih gembira berbual tentang keadaan negara dengan pemandu teksi berbanding dengan pihak pengurusan universiti dan golongan yang kononnya bergelar akademik.
Di benak fikiran saya, universiti-universiti kita sepatutnya menghentikan keghairahan mereka terhadap sistem ranking, dan masya’Allah, hentikanlah daripada bersaing untuk mendapatkan status Research University atau Apex University.
Utamakan rakyat Malaysia
Kerajaan sepatutnya berhenti daripada menggalakkan perlumbaan keanak-anakan ini untuk menumpukan kepada pemberian geran dan keistimewaan kepada sarjana, fakulti dan institusi yang akan dapat memberi khidmat sepenuhnya kepada rakyat kita yang lebih memerlukannya.
Jika ditakdirkan kita berjaya memberi sumbangan kepada dunia, baguslah, tetapi janganlah pinggirkan ahli akademik kita yang menangani isu tempatan atau menulis untuk jurnal tempatan atau menerbitkan buku tempatan.
Kita mesti menjadi Malaysian First (Utamakan Rakyat Malaysia) dan dunia di tempat kedua. Mengapalah kita ghairah sangat untuk dunia sedangkan di negara kita ada berlambak masalah yang perlu diselesaikan?
Jika kita menumpukan semua sumber akademik yang ada untuk membantu pelajar kita, membantu guru sekolah mengajar anak kita, membantu rakyat kita memahami isu-isu ekonomi, alam sekitar, agama dan lain-lain lagi, saya melihat bahawa kita telah pun memberi satu sumbangan yang besar.
Setelah kita berjaya laksanakan itu semua, jika sistem ranking oleh Times mahu mengiktiraf kita mengikut kriterianya dalam excellence in academia, baguslah, tetapi jika kita gagal mencapai piawaian mereka, peduli apa kita!
Sekarang apa yang kita ada? Kita tidak termasuk dalam senarai 400 universiti terbaik dunia. Rakyat Malaysia tidak tahu pun apa yang universiti kita sumbangkan kecuali mengajar pelajar kita untuk mendapatkan pekerjaan.
Kita ada sekumpulan ahli akademik yang kecewa dan tertekan. Ahli-ahli akademik ini yang hanya menulis dan bercakap dalam Bahasa Melayu merasa diri mereka dipinggirkan. Jurnal tempatan semakin berkurangan dan hambar. Tidak ramai yang mahu menulis buku untuk Dewan Bahasa & Pustaka atau penerbitan universiti.
Pelajar pra-siswazah kita tidak mempunyai wibawa sebagai pemimpin kerana mereka tidak dilayan seperti orang dewasa, dan mereka juga tidak dilihat sebagai pemimpin masa depan, hanya sebagai kanak-kanak sekolah yang mahu lulus kertas peperiksaan.
Apa dah jadi? Apa lagi nak jadi?
Permainan menghitung petikan tulisan akademik untuk mencerminkan kehebatan ilmiah adalah sesuatu yang melucukan. Sesetengah ahli akademik meluangkan sebahagian besar masa mereka untuk mengira berapa banyak petikan tulisan mereka; malah memantau dan meminta rakan-rakan akademik lain memetik tulisan mereka.
Apa yang menyedihkan ialah ada pengurusan akademik yang hanya mengambil kira petikan tulisan-tulisan ini untuk kenaikan pangkat.
Apa yang menggembirakan saya
Saya tidak pernah peduli untuk melihat kembali berapa ramai sarjana yang memetik hasil kerja saya. Saya lebih gembira apabila mengetahui seorang guru besar sekolah Australia memetik tulisan saya tentang seni bina nasional untuk dibincangkan dengan kakitangan dan pelajar sekolahnya.
Saya juga gembira apabila laman web Majlis Peguam memuatnaikkan tulisan saya mengenai jenayah yang telah disiarkan dalam akhbar The Star. Saya amat bangga apabila rencana saya mengenai orang bukan Islam dan masjid dipaparkan dalam blog Lim Kit Siang, dan apabila majalah Christian Herald menyiarkan tulisan saya mengenai isu azan.
Bagi saya, itu semua adalah petikan hasil kerja yang dapat merapatkan hubungan rakyat dan perpaduan negara. Sudah tentu ada ahli akademik yang memperkecilkan hasil kerja saya dengan mengatakan semua ini rendah mutu akademiknya kerana tidak diberi ulasan sebaya atau academic peer review.
Kepada ahli akademik seperti ini, saya ingin katakan bahawa saya tidak menyertai dunia akademik untuk masuk ke dalam satu kumpulan elit yang hanya bergaul sesama sendiri, tetapi saya menyertai universiti kerana mahu berbuat sesuatu yang baik untuk rakyat dan negara kita.
Apa yang perlu kita lakukan
Jadi, ini yang saya mahu kerajaan dan semua universiti kita lakukan. Hentikan kegilaan usaha mendapatkan status Research University dan berikan sahaja RM50 juta kepada semua IPTA untuk mempupuk bakat sarjana muda mereka.
Lebih baik kita belanjakan wang itu untuk membentuk generasi akademik akan datang daripada membina sebuah lagi masjid besar bernilai RM300 juta atau beberapa Menara Warisan atau melaksanakan semula lanskap Putrajaya setiap kali sambutan Hari Kebangsaan diadakan.
Hentikan juga kegilaan mengejar status Apex University yang telah menjadikan setiap IPTA melihat yang lain sebagai saingan untuk mengejar penerbitan akademik dan geran semata-mata.
IPTA di Malaysia pada suatu masa dahulu adalah satu keluarga yang besar tetapi sekarang mereka bercakaran untuk menyimpan kemahiran yang ada dan enggan berkongsi bakat.
Apabila UKM memohon mendapatkan khidmat saya untuk dipinjamkan selama dua tahun bagi menghasilkan penyelidikan tentang budaya dan seni bina Islam, UTM telah menolaknya tanpa berbincang dengan saya. Begitulah keangkuhan dan amalan kuku besi serta sifat “kedekut” yang wujud dalam IPTA hari ini.
Gelombang Pertama ahli akademik kita berusaha untuk mewujudkan tapak ilimiah serta menghasilkan graduan untuk keperluan industri.
Kita sekarang dalam Gelombang Kedua yang mana kita perlu menghasilkan suasana penyelidikan yang baru, menghasilkan graduan yang bukan sahaja pekerja tetapi juga pemimpin, dan mempersiapsediakan sarjana muda dalam kajian pasca-siswazah untuk menghadapi Gelombang Ketiga, iaitu inovasi dan keusahawanan, selain meningkatkan tapak Gelombang Kedua.
Dengan cara yang perlahan tetapi pasti berjaya ini, Gelombang Keempat dan Kelima akan memastikan kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Barat. Tamadun dan kreativiti tidak boleh dipaksa dan dilajukan walau pun beribu bilion ringgit dibelanjakan.
Kunci kejayaan
Memupuk sarjana muda adalah kunci kejayaan. Ahli-ahli akademik veteran perlu memastikan setiap tugasan yang diberi kepada mereka yang muda adalah tugasan yang kita sendiri mampu laksanakan jika usia kita masih muda. Dan bukan diberi kepada mereka untuk ditiru seperti cut and paste semata-mata untuk mendapatkan kenaikan pangkat kita sendiri.
Peruntukan kewangan mesti diutamakan kepada sebanyak mungkin sarjana muda dan bukannya kepada segelintir ahli akademik veteran. Kasih sayang dan rasa hormat mesti ditunjukkan kepada yang muda manakala sistem anugerah boleh-laksana perlu diwujudkan untuk memberi galakan yang sewajarnya.
Akhir sekali, apa yang paling penting adalah untuk mengajar sarjana muda bahawa tugas utama mereka dalam pembangunan bangsa (nation) adalah mendahulukan rakyat dan kepada kemanusiaan.
Usaha mereka bukan semata-mata untuk kerjaya mementingkan diri dan hidup dalam kumpulan elit, tetapi mesti berteraskan moral dan kerohanian. – Roketkini.com
Penulis adalah Profesor Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia.
No comments:
Post a Comment