Monday, October 24, 2011

IKRAM harap polis, majikan telus pada Aziz Bari

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah pertubuhan Islam bukan kerajaan, yang memperjuangkan kecemerlangan akademik berprinsip, menyatakan kegusaran dan rasa kecewa di atas tindakan yang sedang dikenakan ke atas ahli akademik dan pakar undang-undang perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Presidennya, Dr Parid Sheikh Ahmad berkata, IKRAM berpendirian bahawa kebebasan memberi pandangan adalah hak setiap rakyat Malaysia, khususnya bagi seorang ahli akademik, yang dijamin oleh Perlembagaan.

“IKRAM percaya bahawa sebagai seorang ahli akademik, Prof. Abdul Aziz berhak menyatakan pandangannya dalam bidang kepakaran beliau demi kepentingan masyarakat dan agama,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, pihaknya turut bersimpati di atas segala celaan dan tohmahan yang dilontarkan ke atas peribadi Prof. Abdul Aziz, dan sepatutnya mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau membalas dengan hujah secra professional.

Justeru, beliau mengajak seluruh masyarakat, terutamanya para pemimpin, untuk mengambil iktibar daripada peristiwa Amirul Mukminin Khalifah Umar al-Khattab ditegur oleh seorang wanita yang bercanggah dengan hasrat Khalifah untuk menetapkan kadar mahar bagi wanita yang hendak dikahwini, dan teguran itu telah diterima oleh Khalifah dengan sikap berlapang dada.

IKRAM, ujarnya menyokong kebebasan akademik yang termaktub dalam artikel-artikel 26 dan 27 dokumen UNESCO yang bertajuk Recommedations Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel yang menegaskan bahawa para ahli akademik mempunyai hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan menyatakan pendapat mereka terhadap dasar-dasar negara dan dasar-dasar yang memberi kesan kepada pendidikan tinggi dan mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa hukuman semata-mata kerana menggunakan hak tersebut.

Tambahnya, IKRAM berharap pihak polis dan majikan Prof. Abdul Aziz akan bertindak secara telus serta memberikan keadilan yang sewajarnya kepada beliau.

Ulasan: Nampaknya ada tangan menekan UIA supaya stafnya agar tidak bising berdasarkan kepakarannya. Siapa menang?


 

No comments: