Thursday, October 20, 2011

Senaraikan projek terbengkalai seluruh negara

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Kerajaan perlu menjelaskan punca utama kelewatan atau tertangguhnya projek-projek berkepentingan awam di seluruh negara, kata Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Katanya, selain kerajaan perlu menyenaraikan semua projek terbengkalai, syarikat yang bertanggungjawab juga perlu diberikan amaran, lapor KeadilanDaily.

“Untuk makluman selepas tertangguh, kos untuk memulihkan semula projek meningkat kepada 50 peratus dari harga tender asal. Sedangkan sebahagian besar wang yang diperuntukkan itu telah pun digunakan.

“Apa yang menyedihkan ialah projek-projek itu adalah untuk kepentingan rakyat dan orang miskin,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat.

Kamarul berkata antara projek terbengkalai termasuk Hospital Shah Alam, Lebuhraya Seremban-Linggi di Negeri Sembilan, Kem Tentera di Skudai, Johor dan Pelabuhan Tuna di Pulau Pinang.

“Jangan ulangi untuk beri projek kepada syarikat tertentu dan broker sahaja kerana kesannya membebankan,” tegas Kamarul.

Dalam pada itu, menyentuh kadar hutang semasa negara yang berjumlah RM437 bilion dengan kadar faedah 5 peratus setahun, Kamarul menjangkakan Malaysia akan mempunyai hutang terkumpul RM1 trilion pada tahun 2020.

“Apa langkah kerajaan untuk menyelesaikan hutang piutang, sedangkan belum tentu kita dapat mengawal jumlah hutang yang ada sekarang. Apakah pendapatan negara meningkat dengan kadar sama munasabah dengan hutang semasa?” soal Kamarul.

Tambahnya, budaya hutang kritikal dicerminkan melalui statistik 41 belia muflis setiap hari di negara ini kerana masalah kad kredit, hutang kenderaan dan bayaran pinjaman perumahan.

“Lebih separuh dari gaji mereka digunakan untuk membayar hutang. Ini sangat bahaya. Kita tak mahu generasi muda yang diharapkan untuk mentadbir negara ini terjebak dalam hutang.

“Apakah ini yang kita mahu ketika Malaysia mahu menjadi negara maju dalam masa 9 tahun?” soal Kamarul.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6083-senaraikan-projek-terbengkalai-seluruh-negara

No comments: