Monday, October 31, 2011

Martabatkan semula bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-8 yang berakhir hari ini mahu bahasa Melayu dimartabat dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.

Pada masa sama, kongres mengumumkan penubuhan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan yang berperanan sebagai badan pemantau usaha-usaha memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selain itu, kerajaan didesak menggunakan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti diperuntukkan di dalam Perlembagaan dan bukannya bahasa Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Resolusi Kongres, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ketika membentangkan resolusi tersebut berkata, kongres juga menggesa semua kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta segera menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Sebanyak lapan ketetapan diputuskan iaitu: 

l Sistem pendidikan - Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran hendaklah bertegas iaitu dengan berlandaskan Perlembagaan serta akta berkaitan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Sebarang dasar yang melanggar undang-undang seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) hendaklah dilarang.

2 Kerajaan Tempatan - Kerajaan negeri dikehendaki menyeragamkan peruntukan undang-undang berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan nama jalan, bangunan dan iklan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dan begitu juga urusan meluluskan permit dan lesen hendaklah selaras dengan kedudukan bahasa kebangsaan.

3 Ekonomi dan kewangan - Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara hendaklah melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan bahasa itu sebagai penggerak utama sistem ekonomi negara.

4 Pengajian tinggi - Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan selain berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan.

5 Perkhidmatan awam - Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua tadbiran negara dan menjadikan JPA sebagai pelindung bahasa kebangsaan.

6 Media, komunikasi dan penyiaran - Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh rakyat.

7 Perlembagaan - Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan berasaskan undang-undang.

8 Pemasyarakatan Persuratan Melayu - Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyakkan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua bidang ilmu.

Sementara itu, Pengerusi Kongres, Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar dalam ucapan penangguhan meminta semua pihak khususnya golongan pemimpin supaya menjadi peneraju utama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. UM

No comments: