Friday, October 21, 2011

Kedudukan bahasa Melayu belum boleh dibangga - DBP

KUALA TERENGGANU 20 Okt. - Penarafan dan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem berkerajaan belum berada pada tahap yang boleh dibanggakan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz mengakui, ia masih jauh ke belakang jika dibandingkan dengan kegemilangannya pada zaman silam di era kerajaan Melayu Melaka.

''Sehingga kini penarafan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan masih belum mantap dan meluas dalam erti kata sebenar," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, Pengarah DBP Wilayah Timur, Azmi Ibrahim dan pakar bahasa, Dr. S. Nathesan.

Beliau merujuk kedudukan bahasa rasmi itu selepas kemerdekaan yang diterjemahkan dalam sistem persekolahan, pentadbiran, bahasa komunikasi sosial, bahasa perpaduan, bahasa perniagaan, bahasa ilmu dan budaya tinggi.

Termuzi berkata, pada zaman kerajaan Melayu Melaka, bahasa Melayu mencerminkan budaya tinggi, bukan sahaja sebagai 'lingua franca' malah dalam semua urusan termasuk bahasa diplomatik dan undang-undang.

Katanya, DBP yang diamanahkan untuk menyebarluaskan bahasa Melayu akan terus melaksanakan program bagi memartabat, memantap, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa bahasa itu.

Sementara itu, Nathesan berkata, tidak ada kaum yang boleh menuntut pemilikan mutlak terhadap bangsa kebangsaan kerana ia milik bersama seluruh rakyat.

Beliau menegaskan, identiti rakyat negara yang berbilang bangsa disatukan melalui bahasa kebangsaan seperti rakyat Thailand, Jerman, Rusia dan Denmark dikenali di dunia kerana bahasa kebangsaan mereka.

''Di negara Eropah, Australia atau Amerika Syarikat, penduduknya berbilang bangsa namun tidak wujud istilah orang Inggeris Australia atau orang Cina Amerika Syarikat. Mereka dirujuk sebagai rakyat.

''Kita tercabar untuk mewujudkan situasi seumpama ini tetapi ia bukanlah satu utopia dan boleh menjadi kenyataan jika kita semua membulatkan tekad untuk berusaha mencapai hasrat murni itu," ujarnya.

Ulasan: UMNO kena bertanggungjawab kerana UMNO memerintah negara sejak merdeka. Tapi apa diharap daripada UMNO?

No comments: