Subky Latif
HUKUM terhadap orang murtad iaitu orang yang meninggalkan agama Islam dan orang Islam yang terkeluar dari agamanya ada dalam Islam dan Islam pernah menguatkuasakannya.
Justeru itu tiap-tiap negara Islam patut ada undang-undang itu dan tidaklah sempurna pentadbiran Islam sebuah negara Islam kira-kira tidak ada peruntukan melaksanakan hukum itu.
Tanah Melayu sebelum dijajah oleh kuasa barat – Portugis, Belanda dan Inggeris – ada peraturan itu. Perlembagaan Reid yang disediakan oleh British untuk kemerdekaan Tanah Melayu tidak memperuntukkannya, mungkin kerana bertaklid perlembagaan itu adalah untuk negara baru yang merdeka itu sedang murtad itu adalah terletak di bawah kuasa Raja-Raja.
Kerana undang-undang murtad itu adalah satu dari seribu dari ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW, maka menjadi kewajipan bagi PAS menyokongnya tidak kira dari mana datangnya.
Kecuali jika dipastikan rangnya datang dari iblis. Jika rang itu dari iblis, kita sokong maka sokongan itu bukan kerana ia peraturan yang dituntut Allah, tetapi ia dibuat atas suruhan iblis. Mengikut perintah iblis adalah kufur.
Presiden PAS Ustaz Haji Abdul Hadi Awang semasa menjadi Timbalan Presiden dulu pernah membentang usul persendirian di Parlimen bagi menguatkuasakan undang-undang murtad. Rang usul itu dirangka oleh Almarhum Haji Idris Othman, seorang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara yang pernah menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan dan Pesuruhjaya Hisbah semasa PAS memerintah Terengganu tahun 2000.
Percubaan PAS itu tidak pernah diberi laluan oleh Parlimen. Rang usul itu dimasukkan dalam jadual agenda sidang Dewan Rakyat berkali-kali. Tetapi ia tidak pernah dapat dibentangkan.
Disebabkan peraturan itu tidak ada, maka ramailah orang Islam yang murtad. Sekitar 20 tahun hampir setiap hari harian perdana berbahasa Inggeris menyiarkan iklan notis penganut Islam murtad. Semua notis itu diluluskan oleh mahkamah dan tiada cara jabatan pendaftaran dapat mengingkari keputusan mahkamah itu sekali pengarah pendaftarannya adalah orang Islam.
Sudah acap PAS sejak pimpinan Haji Yusof Rawa membangkit isu murtad itu hinggalah rang usul menghalang murtad itu dikemukakan untuk dibahas di Parlimen, kerajaan BN tidak pernah melayan malah tidak ada sedikit sensitiviti pun dari anggota UMNO yang berjuta itu tertarik dengannya.
Hanya selepas gereja diserbu Jais kerana ada orang Islam hadir dalam jamuan makannya bersemarak sedikit rasa anti murtad itu. Mufti Perak Tan Sri Harussani yang pernah membangkit isu beribu orang Islam murtad satu masa dulu, menggesa supaya akta murtad diperkenalkan.
Reaksi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri ialah cadangan itu mesti dibincang secara menyeluruh sebelum ia dibentangkan.
Adalah betul cadangan itu mesti dibincang secara menyeluruh. Bukan sesuatu undang-undang itu terus dibuat begitu saja apabila ada cadangan mengenainya.
Bukan sekadar rang murtad, apa jua undang-undang yang hendak dibuat di Parlimen mestilah dibincang secara serius dan menyeluruh. Parlimen Britian misalnya kadang-kadang mengambil masa bertahun membincangkan sesuatu isu dengan orang ramai dan semua pihak sebelum ia dijadikan rang.
Tidaklah seperti hendak mendakwa Dato Harun Idris, Menteri Besar Selangor satu masa dulu. Di bawah peraturan mana dia hendak didakwa kerana dikatakan rasuah, maka serta merta rang pindaan undang-undang dibentang dan diluluskan.
Atas isu murtad ini, orang Islam yang sah menentang hudud dan berkata itu dan ini tentang undang-undang itu boleh jadi murtad. Jika undang-undang itu ada, tiadalah lagi orang boleh berdalih dan mempersenda undang-undang hudud, satu dari seribu ajaran Islam PAS cuba perkenalkan.
Jika rang itu hendak diperkenalkan maka secara terbuka PAS bertanggungjawab menyokong. Jika ada perbezaan pendapat antara PAS dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, maka perbezaan itu dibenarkan. Bolehlah masing-masing membuat pendirian sendiri tanpa mempengaruhi muafakat yang sudah terjalin.
Seperti isu hudud, sekutu Pakatan Rakyat bersetuju tentang perbezaan pendapat. Tetapi muafakat Pakatan tidak terjejas kerana banyak lagi yang mereka kongsi bersama.
Cuma yang menjadi perhatian ialah reaksi kerajaan mahu hal murtad itu dibincang secara menyeluruh dulu, tetapi ia mungkin tidak akan dibincang. Mungkin ia sekadar jawapan kepada pertanyaan media.
No comments:
Post a Comment