Wednesday, December 02, 2009

298,000 penghidap AIDS di Indonesia

JAKARTA 1 Dis. - Disebabkan kes HIV/AIDS yang semakin menular di Indonesia, kerajaan semalam menggandakan usaha untuk membanteras penyakit berbahaya itu dalam sebahagian aktiviti bersempena Hari AIDS Sedunia hari ini.

Kementerian Kesihatan, Komisi Menangani AIDS (KPA), Badan Koordinasi Perancangan Keluarga Nasional (BKKBN) dan beberapa syarikat pengeluar kondom telah menandatangani perjanjian untuk memerangi HIV/AIDS.

Rekod rasmi menunjukkan terdapat 298,000 penghidap HIV/AIDS di Indonesia namun angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Walaupun bilangan kes baru di negara ini semakin meningkat, kerajaan Indonesia berasa optimistik yang ia akan dapat ditangani dengan usaha serius dan kerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan rakyat secara keseluruhannya.

Menteri Koordinator Kesejahteraan Rakyat, Agung Laksono berkata, beliau yakin kerajaan akan dapat mengurangkan jangkitan HIV/AIDS kepada 1.2 juta orang pada 2015.

"Sebelum 2015, usaha kerajaan diharap meminimumkan jangkitan HIV/AIDS kepada 1.2 juta orang," kata beliau semasa melancarkan Minggu Kondom Kebangsaan (PKN) di sini semalam.

Katanya, antara usaha yang dijalankan untuk mencegah penyebaran penyakit berbahaya itu adalah mengadakan hubungan kerjasama dengan pergerakan kebangsaan yang memberi pendidikan kepada orang ramai mengenai bahaya ancaman HIV/AIDS.

Usaha itu turut disertakan dengan langkah promosi dan pencegahan menerusi aktiviti PKN yang akan menerangkan penggunaan kondom untuk mengurangkan penyebaran HIV/AIDS.

Kerajaan juga akan mengambil pendekatan penyembuhan melalui rawatan dan penyelidikan dalam kes HIV/AIDS di Indonesia. – BERNAMA

Ulasan: Yang tentu buat untung ialah syarikat pengeluar kondom. Kondom tidak pun mengurangkan bala Allah. Bersama-sama menjauhi zina dan memohon keampunan Allah biasa menyelamatkan negara. Ingatlah bahawa Pompey dan Rome dulu hancur bila maksiat melanda.

No comments: