SEMPORNA 7 Dis. - Semua imam yang dilantik di negeri ini diminta tidak mengehadkan peranan mereka hanya untuk memimpin sembahyang jemaah semata-mata.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran berkata, sebaliknya mereka hendaklah memainkan peranan penting sebagai pemimpin masyarakat Islam di kariah masing-masing.
"Mereka hendaklah memainkan peranan penting meningkatkan aktiviti masjid dan mendidik umat Islam ke jalan yang diredai di kawasan masing-masing.
"Malah masjid juga bukan sahaja dijadikan tempat beribadat semata-mata tetapi merupakan markas pertemuan dan perbincangan dalam merancang strategi meningkatkan syiar Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan kursus pemurnian akidah imam kariah peringkat daerah di sini hari ini.
Menurutnya, peranan semua pihak khususnya imam-imam masjid amat penting dalam berhadapan pelbagai cabaran yang menggugat perpaduan umat Islam kini.
Justeru, katanya, para imam harus berperanan mendidik umat Islam di kawasan masing-masing khususnya dalam memperkasakan akidah mereka.
"Pada hari ini umat Islam sering ditonjolkan dengan perkara bid’ah yang bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah dan para Sahabat.
"Jadi akidah yang mantap sahaja akan dapat membantu umat Islam daripada dipesongkan oleh musuh Islam," katanya.
Ulasan: Mari kita pecahkan tembok sekularisme yang memisahkan agama dan kehidupan seharian. Di mana-mana pun orang yang baik dan beragama sepatutnya memimpin kampong, daerah, negeri dan negara.
No comments:
Post a Comment