Monday, December 07, 2009

Parameter tindakan RASUAH harus sama untuk semua

Parameter tindakan harus sama untuk semua - SPRM 

PETALING JAYA, 25 November – Tindakan ke atas individu atau pihak-pihak yang mengamalkan rasuah haruslah menggunakan parameter yang sama, sama ada individu tersebut ‘orang besar’ atau ‘orang kecil’, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Dato Jaafar Mahad malam tadi. 

“Parameter atau garis panduan dalam tindakan kita terhadap perasuah sepatutnya diguna pakai untuk semua orang, termasuk menteri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu wacana isu semasa anjuran Jawatankuasa Siyasah Syar'iyyah & Keadilan Sosial (SAKSI) di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di Hotel Singgahsana di sini. Turut diundang selaku ahli panel adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, YB Teng Chang Khim dan Presiden JIM, Zaid Kamaruddin, manakala Pengerusi JK SAKSI, Syed Ibrahim Syed Noh bertindak sebagai pemudah cara. 

Menurut Jaafar (gambar), Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia semakin buruk sekarang, tetapi sebahagiannya mungkin disebabkan di negara kita isu rasuah banyak dibangkitkan dan tindakan kerap diambil berbanding dengan negara-negara lain. 

Ogos lalu, CPI yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menunjukkan kedudukan Malaysia merudum apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding ke-43 pada tahun lepas. Kedudukan ini meletakkan Malaysia di tahap lebih buruk berbanding negara haram Israel (33) yang dilabel pengganas antarabangsa, bahkan di bawah negara-negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana (36) dan Bhutan (45). 

Isu rasuah melibatkan enam komponen iaitu sokongan ahli politik, sistem pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, sistem kehakiman, setakat mana agensi yang ditugaskan membanteras rasuah bebas untuk bertindak dan sokongan daripada orang ramai dalam memerangi gejala ini. 

“Orang-orang politik mesti telus dan dilihat telus oleh masyarakat kerana rasuah begitu sinonim dengan tadbir urus (good governance) dan siapa yang memegang kuasa,” tambah Jaafar. 

“Rasuah menjejaskan imej negara kerana para pelabur pasti mengira, daripada jumlah wang yang mereka laburkan di sini, berapa banyak yang benar-benar digunakan untuk perniagaan dan berapa banyak pula yang masuk ke poket orang-orang yang tidak berkaitan.” 

Manurutnya lagi, antara perkara yang sering menjadi ‘barah’ rasuah adalah isu perolehan, tanah, penguatkuasaan dan undang-undang. 

SPRM pula biasanya menerima laporan apabila sesuatu kes telah berada pada peringkat akhir. Misalnya kes yang dikenali sebagai skandal PKFZ atau Zon Bebas Cukai Pelabuhan Kelang yang apabila sudah ‘parah’ baru dilaporkan kepada SPRM. Beliau berpendapat, SPRM sepatutnya terlibat sejak peringkat pencegahan lagi. 

Wacana bertajuk “Cekap, Amanah & Telus (CAT): Sejauh mana pelaksanaannya?” itu berlangsung selama hampir tiga jam dan mendedahkan banyak pengetahuan berguna kepada para hadirin.
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/nasional-category/174-parameter-tindakan-harus-sama-untuk-semua-termasuk-menteri-jaafar

No comments: