Thursday, December 10, 2009

Jakim bidas DAP

PUTRAJAYA 9 Dis. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membidas kenyataan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming kerana mempertikaikan peruntukan kerajaan bagi membina 611 buah masjid sepanjang tempoh 2000 hingga tahun lalu. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz menganggap Ahli Parlimen DAP itu dengan sengaja tidak menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan yang hanya menyediakan peruntukan kepada pembangunan agama Islam. 

''Harus diingat! mengikut Perkara 12 (2), Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri hanya boleh mengeluarkan peruntukan kepada agama Islam dan bukannya kepada agama lain.

''Nampaknya sikap ihsan kerajaan selama ini (peruntukan kepada institusi ibadat agama lain) langsung tidak dihargai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksinya kepada kenyataan Kor Ming semalam yang mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina masjid sepanjang sembilan tahun sejak 2000. 

Perbelanjaan itu adalah melalui peruntukan khas Perdana Menteri. 

Sedangkan, kata Kor Ming, Kerajaan Pusat hanya memperuntukkan sebanyak RM9 juta untuk bantuan semua institusi ibadat bukan Islam bagi tempoh 2003 hingga 2008. 

April lalu, Kor Ming pernah mencetuskan kontroversi apabila menggunakan ayat al-Quran dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak. 

Wan Mohamad berkata, kenyataan Ahli Parlimen DAP itu bukan sahaja tidak menghormati umat Islam malah kepada penyokong pakatan pembangkang dan ahli-ahli DAP yang beragama Islam. 

''Jika peruntukan kepada pembangunan agama Islam termasuk masjid terus dipertikaikan, kerajaan wajar mengkaji balik semua bantuan yang telah disalurkan selama ini kepada agama lain.

''Malah, kesuraman ekonomi global sepatutnya menjadi asas terbaik untuk menamatkan bantuan tersebut," katanya.

Beliau turut mengajak rakyat membuat perbandingan bagaimana umat Islam di Singapura membuat potongan sebanyak RM1 setiap bulan bagi mengumpul dana membina masjid.

Jelasnya, umat Islam yang merupakan kumpulan minoriti di republik itu melakukan langkah tersebut sejak 36 tahun lalu ekoran tiadanya peruntukan khas daripada kerajaan mereka.

''Jadi, saya juga fikir sudah tiba masanya penganut bukan Islam di Malaysia membuat potongan RM1 sebulan bagi membina rumah ibadah mereka tanpa perlu meminta sumber dana daripada kerajaan," katanya.

No comments: