Monday, December 07, 2009

JIM ingin bina kesatuan, cari titik persamaan

KUALA KANGSAR, 5 Disember - Usaha untuk mewujudkan kesatuan bukanlah sesuatu yang mudah; menjaga kesatuan pula lebih susah. Demikian antara intipati Ucapan Dasar Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pada Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) pertubuhan itu di sini pagi tadi. Perhimpunan kali ini membawa tema 'Membina Permuafakatan Ummah Alam Dilimpahi Rahmah'. 

Melalui pendekatan 'lain daripada biasa', Zaid mengajak lebih kurang 600 ahli JIM melayari kembara diri, merungkai persoalan 'siapa kita dahulu dan sekarang, hubungan kita dengan mereka dan di mana kedudukan kita', merujuk kepada ahli-ahli JIM sendiri. 

Menghimbau perjalanan dakwah JIM di persada tanah air, beliau menceritakan bagaimana dan kenapa JIM diasaskan dan bagaimana perjuangan ahli-ahli sebelum JIM ditubuhkan. 

Sebelum dan selepas JIM ditubuhkan, pelbagai cabaran pula dilalui dalam memperjuangan penegakan syariah. Pelbagai ideologi menghimpit di kiri dan kanan dalam usaha menampakkan kemurnian syariat Islam. Namun semua itu ditempuhi dengan tabah sehingga ke hari ini. 

Dalam era globlalisasi dunia kini, Zaid mengajak para ahli mengisi Rancangan JIM Ke-2 (RJIM2) yang telah dirangka dan sudah masuk ke tahun kedua pelaksanaannya. 

"Ingatlah tanggungjawab kita sebagai pendakwah, dan sentiasalah memakai topi dakwah," katanya. 

"Demi ingin melihat matlamat syariah Islam tertegak dalam negara yang disasarkan maju menjelang 2020, beliau mengingatkan ahli JIM supaya mencari titik pertemuan yang paling asas supaya semua orang Islam boleh bersama, beriman kepada Allah dan Rasul, berpegang kepada al-Quran dan sunnah serta mengetengahkan apa-apa yang disepakati dan bukan keistimewaan yang mungkin membedakan. 

PPN yang diadakan saban tahun bukan sekadar perhimpunan perwakilan, ia seolah-olah satu perhimpunan tahunan sebuah keluarga besar. Pada saat ahli-ahli JIM bermuktamar, anak-anak remaja dan kanak-kanak mengikuti program tarbiah tersendiri. 

Biarpun saiznya tidak besar, gerai-gerai jualan tetap menghiasi perhimpunan tiga hari ini. Setahun sekali berhimpun bukan sekadar membicarakan pencapaian JIM, bahkan ahli-ahli yang membuka gerai mendapat manfaat untuk menambahkan duit poket. 

PPN tahun ini berlangsung dari 4 hingga 6 Disember di Kolej Islam Darul Ridzuan di Bandar Diraja ini. Boleh dikatakan semua hotel, motel dan homestay di sekitar Kuala Kangsar habis ditempah oleh perwakilan dan permerhati yang datang dari seluruh negara. 

PPN kali ini juga menyaksikan pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusat baru, yang keputusannya dijangka diumumkan esok.Turut hadir dalam perhimpunan ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Hulu Kelang, YB Saari Sungib yang juga merupakan mantan Presiden JIM yang pertama, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat, V Sivakumar dan mantan Presiden JIM kedua, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/nasional-category/184-bina-kesatuan-cari-titik-persamaan-zaid-

No comments: