Wednesday, December 02, 2009

Biar Nik Aziz kekal - Muhyiddin

PONTIAN 1 Dis. - Sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menimbulkan kucar kacir dalam masyarakat termasuk mengeluarkan fatwa songsang, mencerminkan hala tuju sebenar parti itu yang membimbangkan rakyat.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, disebabkan itu, Nik Abdul Aziz patut kekal menjadi pemimpin parti itu kerana banyak perkara yang dilakukannya dapat menunjukkan wajah sebenar Pas.

"Saya rasa biarlah Nik Aziz lama dalam Pas kerana ia berguna juga. Banyak perkara yang dilakukannya mencerminkan sikap sebenar Pas.

"Kalau ketua mereka timbulkan kucar kacir, rakyat khususnya orang Islam, tentu rasa tidak selesa dan bimbang kerana beliau buat pelbagai fatwa songsang yang bercanggah dengan agama," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Loji Janakuasa Tanjung Bin di Serkat dekat sini hari ini…

&

Himpunan desak Nik Aziz undur

KOTA BHARU 1 Dis. - Kemelut kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin membahang apabila orang ramai di sini hari ini secara terbuka menunjukkan rasa tidak senang hati mereka dan memintanya melepaskan jawatan.

Beratus-ratus orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darulnaim di sini mulai pukul 9 pagi ini. 

Mereka menyerahkan memorandum menyuarakan bantahan terhadap Menteri Besar Kelantan itu berhubung pelbagai isu yang timbul sejak kebelakangan ini terutama doa meminta kepada Allah supaya memusnahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO. 

Wakil JRPK, Che Johan Che Pa menyerahkan memorandum itu melalui Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakri Haron pada pukul 10.30 pagi dan kemudiannya bersurai.

Memorandum itu mengandungi dua tuntutan:

Pertama, mendesak Nik Abdul Aziz menarik balik kenyataan 'doa kemusnahan' dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini termasuk Perdana Menteri serta jemaah menterinya.

Kedua, memandangkan kekecohan berlarutan dan Nik Abdul Aziz telah lama memegang jawatan Menteri Besar sehingga pentadbiran Kelantan kaku, kehidupan rakyat terjejas dan isu penyelewengan dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), maka JPRK mendesak Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. 

Perhimpunan secara aman itu bersurai hampir sejam kemudian selepas arahan diberikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah bekas Ahli Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd. Noor Idris; Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Afandi Mohd. Yusoff; Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Zahari Kechik; Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kelantan, Mohd. Rosdi Abdul Aziz dan beberapa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian di negeri ini. 

Sementara itu, Che Johan berkata, perhimpunan itu adalah permulaan desakan kepada Mursyidul Am Pas itu supaya sedar dengan tindakannya yang telah memecah belahkan umat Islam dengan pelbagai kenyataan serta isu moral melibatkan menantunya dalam PMBK. 

"JRPK adalah sebuah badan yang ditubuhkan secara ad hoc melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negeri ini yang membawa suara rakyat. 

"Kami rakyat Kelantan yang prihatin mewakili pelbagai lapisan masyarakat Melayu Islam Kelantan dan NGO merasa kesal yang amat sangat terhadap kenyataan doa kemusnahan.

"Kepimpinan Nik Abdul Aziz di peringkat pentadbiran Kelantan yang sekian lama telah kucar-kacir dan terbaru skandal yang berlaku dalam PMBK melibatkan menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman telah menimbulkan kekecohan, penyelewengan dan kemelut yang berpanjangan," katanya. 

Kemelut mula melanda pentadbiran Kelantan, apabila media mendedahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Ariffahmi pada 5 November lalu. 

Susulan itu, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan haji bersama keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi berharga RM65,000 setiap seorang tetapi beliau kemudian membuat keputusan menolak tajaan tersebut disebabkan tekanan dari pelbagai pihak. 

Ekoran desakan pelbagai pihak dan nasihat daripada kepimpinan Pas Pusat yang diketuai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz bersetuju mengarahkan menantunya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK. 

Pada Hari Raya Aidiladha, Nik Abdul Aziz meminta orang ramai mendoakan agar Najib mengubah fikiran supaya memberikan royalti minyak dan jika tidak doakan supaya pemimpin nombor satu negara itu bersama konco-konconya diturunkan bala.
   
Ulasan: Kenapa PM sukar sangat nak tunaikan janji royalti minyak seperti perjanjian asal? Adakah Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa terbarunya menyatakan Nik Aziz sudah menimbulkan kucar kacir, rakyat khususnya orang Islam, rasa tidak selesa dan bimbang kerana beliau buat pelbagai fatwa songsang yang bercanggah dengan agama?

Janganlah mendahului Majlis Fatwa Kebangsaan. Ingatlah serangan akan dilakukan berulang kali tanpa letih oleh UMNO dan mereka yang tidak sukakan keadilan dan kebebasan memerintah di negara ini. Semoga Allah menggagalkan segala usaha UMNO untuk menjatuhkan PAS dan Nik Aziz. 

No comments: