PUTRAJAYA 10 Dis. – Lebih ramai lagi individu termasuk ‘jerung’ akan didakwa dalam masa terdekat berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, seorang lagi iaitu jurutera Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Law Jenn Dong merupakan individu yang bakal dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.
“Ini baru permulaan, apa yang telah diselesaikan (siasatan) akan diteruskan untuk kesalahan-kesalahan lain dan bukan bermakna dengan mendakwa tiga atau empat orang ini maka kes tutup.
“Apa yang saya tahu, semua yang disiasat merupakan ‘ikan besar’ kerana melibatkan jumlah wang yang besar,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed.
Di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, tiga individu didakwa iaitu bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O. C. Phang; Ketua Eksekutif KDSB, Steven Abok dan seorang arkitek, Benard Tan Seng Swe.
Projek PKFZ yang menelan belanja besar menimbulkan tanda tanya apabila harga pembelian tanah mencecah RM1.088 bilion dan dengan mengambil kira tempoh bayaran balik 15 tahun kadar faedah 7.5 peratus setahun, kos keseluruhan pembelian tanah meningkat kepada RM1.807 bilion.
Kos keseluruhan PKFZ ialah RM4.6 bilion setelah mengambil kira pembelian tanah, kerja-kerja pembangunan dan faedah 7.5 peratus bagi bayaran tertangguh selama 10 tahun.
Bagaimanapun, Abdul Gani enggan mendedahkan identiti individu-individu terbabit walaupun mereka sudah dikenal pasti kerana bimbang akan mengganggu proses siasatan oleh polis dan SPRM.
Jelasnya, banyak lagi isu dan transaksi melibatkan skandal tersebut yang perlu disiasat secara lebih terperinci.
‘‘Namun, saya bagi jaminan ia akan selesai dalam tempoh terdekat kerana saya menganggapnya sebagai satu perkara yang amat serius,” katanya…
&
KLANG 10 Dis. - Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Oi Choo Phang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Stephen Abok, 51, iaitu syarikat pemaju projek tersebut dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, dari syarikat perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu.
Choo Phang, 63, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan wang RM254.85 juta milik lembaga tersebut dalam satu akaun di RHB Bank Bhd. di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini antara 1 Oktober 2004 dan 13 Januari 2006.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.
Sementara Abok dan Seng Swee masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menipu LPK membabitkan tuntutan sebanyak RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.
Kedua-duanya didakwa memperdayakan LPK untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precinct 2 dan Precinct 8 bagi PKFZ di Pulau Indah telah dilaksanakan.
Perbuatan itu telah mendorong LPK mengesahkan pembayaran tersebut kepada KDSB sedangkan mereka tahu bahawa kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.
Ulasan: Apa definisi jerung dalam konteks jenayah? Betul kalau orang yang terlibat membabitkan jumlah wang banyak tapi bukan itu saja. Tapi tidak cukup setakat itu saja. Bagaimana dengan pembabitan orang politik ternama atau yang membabitkan seseorang yang ada kabel dengan orang yang ternama? Rakyat masih ternanti-nanti bagaimana hasil siasatan 18 kes rasuah berprofil tinggi sebagaimana yang pernah diwar-warkan oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim dulu?
No comments:
Post a Comment