Thursday, December 10, 2009

Siapa suruh Umno makan lada!

Barisan nasional (BN) tidak layak mengurus harta terutama wang hasil kazanah bumi negara iaitu petroleum. Ini kerana, kalau dikirakan pendapatan hasil minyak negara sudah cukup untuk memakmurkan rakyat hidup dalam keadaan senang dan barakah.

Sebaliknya Umno lupa pemberian Allah SWT dalam menjaga harta yang diamanah. Lihat sahaja negeri yang terdapat hasil petroleum tetapi tetap miskin. Terengganu, Sabah dan Sarawak paling miskin dan terkebelakang daripada negeri lain di Malaysia sedangkan ketiga negeri itu terdapat minyak.

Rakyat Terengganu bukan ramai, hanya 900 ribu orang tetapi menjadi rakyat miskin walaupun hasil pendapatan negeri antara yang tertinggi. Begitu juga Sabah dan Sarawak.

Ketiga negeri ini antara yang terbesar di Malaysia. Hasilnya bukan sahaja petroleum malah kayu balak menjadi hasil pendapatan kedua tetapi tetap miskin. Dimana silapnya?

Seorang ketua keluarga contohnya, si bapa berpendapatan RM10,000 sebulan, mempunyai seorang isteri dan hanya tiga anak. Namun begitu si bapa asyik bersungut tidak cukup wang untuk perbelanjaan keluarga. Apa kata isteri dan tiga orang anaknya?

Sudah tentu si isteri dan anaknya berkata suami atau bapanya tidak amanah atau songlap duit. Lebih parah lagi si isteri dan anak tadi mendakwa si bapa itu tidak pandai mengurus wang.

Tengok kerajaan negeri dibawah BN, apakah mereka pandai mengurus hasil atau celik wang sebab lebih 20 tahun negeri itu memperolehi royalti minyak tetapi rakyatnya tetap miskin.

Bukan royalti minyak sahaja bahkan hasil balak yang melimpah ruah umpama di Sabah dan Sarawak tetapi tidak mampu membaiki taraf ekonomi, sosial dan pendidikan bagi penduduk pendalaman. Mereka tidak ada elektrik. Sekolah macam kandang kambing. Bagaimana taraf pendidikan mahu maju?

Begitu juga dengan kerajaan Umno di Terengganu. Taraf pendidikan meningkat naik apabila PAS memerintah Terengganu pada 1999. Kenapa? Ini kerana royalti minyak ditukar kepada wang ihsan.

Wang royalti yang sepatut diberi kepada kerajaan PAS Terengganu mengikut perjanjian Petronas dan federalisme sebaliknya ditukar wang ihsan dan disalurkan kepada Jabatan Persekutuan melalui Pengerusi Umno ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh.

Sebahagian wang tersebut sepatutnya digunakan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri tetapi dirampas Umno untuk berbelanja demi kepentingan politik Umno termasuk dalam pemberian wang ihsan kepada sebahagian rakyat Terengganu.

Oleh kerana wang tersebut berlebihan maka disalur untuk pendidikan pelajar di negeri tersebut. Itu sebabnya pendidikan Terengganu antara terbaik semasa PAS memerintah tetapi merundum selepas Umno rampas pemerintahan PAS pada 2004.

Waris dan kroni Idris kaya raya di Terengganu. Malah kehilangan wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) lebih RM47 juta sebagaimana dilaporkan Ketua Audit Negara semasa pemerintahan Idris tetapi sampai sekarang senyap sepi.

Memandangkan demikian memang patut Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menuntut hak negerinya supaya kerajaan memberikan royalti petroleum dan bukan wang ihsan.

“Hari ni geger pasal doa. Kita doa hendak tuntut hak kita. Pasal apa dia takut. Dia makan lada dia pedas,” kata Nik Abdul Aziz selepas menyampaikan kuliah mingguannya di pejabat perhubungan PAS Kelantan, Kota Bharu, pagi tadi, 4 Disember.

"Buat stadium, runtuh. Buat masjid runtuh. Jadi memang Umno tak layak urus wang petroleum," tambah beliau.

Nik Abdul Aziz menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata Mursyidul Am PAS.

Nik Abdul Aziz mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

"Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut," katanya, disambut gelak ketawa penyokong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa wang itu tetap sama banyak dan digunakan untuk rakyat tetapi pengalaman di Terengganu jelas menunjukkan wang tersebut digunakan demi kepentingan politik Umno.

Wang ihsan memang betul dicurah kepada rakyat tetapi Umno mengambil kesempatan melakukan kebaikan tersebut dengan mengugut rakyat supaya tidak menghadiri program kerajaan negeri dan PAS.

Sekiranya antara mereka didapati berada dalam program kerajaan negeri dan PAS, nama mereka akan dipotong daripada senarai penerima wang ihsan.

“Kami ada spy akan perhati kamu di program PAS.” Ini antara kata-kata orang Umno yang mengutip senarai nama untuk diberi wang ihsan di Terengganu pada masa pemerintahan PAS.

Memang kesan dan pengaruh wang cukup kuat serta diakui sehingga PAS jatuh di Terengganu pada pilihan raya umum 2004. Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Hussein ketika bercakap dalam perhimpunan Umno menyifatkan kejayaan Umno Terengganu merampas negeri itu kerana wang ihsan.

Bagaimana Umno Kelantan boleh mendakwa mereka boleh mengurus wang ihsan dengan baik sedangkan mereka tidak memerintah dan tidak ada prosedur dengan kakitangan kerajaan negeri yang bertanggungjawab terus kepada rakyat.

Bajet dibuat kerajaan negeri dan Umno Kelantan sudah tentu tidak mampu membentang bajet yang adil kerana tidak ada amalan protokol dan prosedur tersebut.

Jika Umno Kelantan tetap meneruskan niatnya maka sudah pasti ia tidak memberikan keadilan sebagaimana penyaluran wang ihsan di Terengganu hanya orang Umno sahaja yang dapat.

Oleh yang demikian lebih baik Najib menukar niat buruk beliau. Tidak ada guna beliau meneruskan agenda wang ihsan bekas Perdana Menteri ke 4, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir sebenarnya telah jatuh kerana takut kepada bayangan kekalahan teruk menjelang pilihan raya umum ke 12 pada 2004. Secara diam beliau mengharapkan bekas Perdana Menteri ke 5, Tun Abdullah Ahmad Badawi memulihkan Umno.

Mahathir pernah menghina PAS selepas pilihan raya umum ke lapan pada 1990 apabila PAS Kelantan dapat menawan negeri itu daripada Umno. Kata Mahathir kerajaan PAS hanya mampu bertahan tiga bulan tetapi apa yang pastinya beliau jatuh dahulu sebelum Nik Aziz.

Ini adalah hasil berkat doa orang yang kena zalim. Hadis bermaksud: “ Sesungguhnya tidak ada hijab (penghalang) yang memisahkan diantara Allah dengan orang yang kena zalim.”

Jadi kalau Najib tidak takut dengan doa orang yang kena zalim terus sahaja niat beliau. Najib boleh minta tolong Mufti Perak, Datuk Harunsani Zakaria, Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dan rakan beliau.

Apakah Harunsani dan Noh serta kawan beliau bersedia menghadapi doa orang yang kena zalim? Kalau Nik Aziz mahu doa laknat kepada orang yang khianat dengan perjanjian, Harunsani boleh lawan dan doa balik.

Para mufti tidak payah kecoh dalam media. Kenapa! Apakah para mufti dan para juak Umno takut?

Sebagaimana Nik Aziz cerita tentang pihak tertentu mahu buat pesta arak 19 tahun dahulu, sebaliknya bila dengar doa pecah perut mereka membatalkan niat tersebut. Kalau orang bukan Islam boleh menghormati doa orang Islam kenapa tidak bagi orang Umno?

Sebaiknya Umno kembali pada Islam. Apakah Umno lupa bagaimana kejatuhan Mahathir sebelum perjuangannya selesai. Masih ingatkah dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, sampai sekarang tidak boleh bangkit dalam politik.

Musa Hitam menjadi Menteri Dalam Negeri dan dimasa beliau telah berlaku penganiayaan terhadap orang Islam di Baling sehingga berlaku pembunuhan di Memali pada 19 November 1985.

Setiap kali menjelang November, peristiwa Memali menjadi ingatan yang cukup sedih kepada orang Islam di Malaysia akibat tindakan gopoh pemimpin. Ia adalah doa orang yang kena zalim. Kesannya boleh dilihat sampai sekarang kemana pergi Musa dalam dunia politik?

Sebaiknya Harunsani nasihatkan Najib supaya bertemu dengan pemimpin kerajaan PAS Kelantan dan bertolak ansurlah dengan memberi royalti hak kerajaan negeri itu.

Lagipun Umno sudah jelas mempunyai rekod buruk dalam mengurus wang sebagaimana yang didedahkan dalam laporan Audit Negara sedangkan PAS tidak mempunyai rekod buruk.

Malah dalam keadaan kerajaan PAS tidak ada wang masih mampu memerintah dan membayar hutang kerajaan Pusat lebih baik daripada kerajaan negeri dibawah Umno dan BN.

http://wargamarhaen.blogspot.com/2009/12/siapa-suruh-umno-makan-lada-adnan.html

No comments: